OLEH KU SEMAN KU HUSSAIN
PILIHAN Raya Umum (PRU 15) pada 19 November ini adalah petunjuk daripada persekitaran dan landskap baharu politik yang dibentuk oleh pengaruh media sosial yang begitu besar. Hal yang demikian telah mengubah persepsi khususnya pengundi terhadap parti politik.
Ini adalah kemuncak kuasa media sosial yang berupaya membentuk mentaliti massa (mob mentality) secara besar-besaran dan berterusan. Sifat kelompok majoriti inilah yang mengubah landskap politik yang sedia ada sebelum kemuncaknya penguasaan media sosial.
Media sosial menjadi penggerak utama sikap khalayak terhadap parti politik. Semua hal ini membentuk aliran utama di mana yang kurang maklumat akan terikut-ikut dengan sikap majoriti. Akan tetapi sangat sedikit wacana yang melintas di garis masa media sosial berbanding sikap terhadap parti.
Sungguhpun PRU 12 pada 2008 sudah memperlihatkan kesan awal perang siber dalam persekitaran politik tanah air, akan tetapi PRU 15 adalah kemuncaknya. Dengan penembusan Internet dan penggunaan media sosial yang tinggi, persekitaran baharu ini yang membezakan PRU 15 dengan PRU 14 dan sebelumnya.
Kadar penembusan Internet sebanyak 80 peratus daripada populasi atau 28 juta pengguna adalah tinggi. Inilah yang menjadi ekosistem memperkukuhkan kedudukan media sosial dalam masyarakat. Dalam banyak perkara media sosial menjadi faktor yang sangat mempengaruhi, termasuk menunjukkan sikap serta pendirian politik.
Facebook, Twitter, Instagram serta kumpulan Whatsapp menjadi jaluran baharu dalam rangkaian sosial maya yang membentuk arus utama dalam kalangan massa. Keadaan sedemikian telah membayangi pengaruh media konvensional seperti televisyen, radio dan surat khabar sama ada fizikal atau digital.
Media sosial menjad gelanggang perdebatan politik. Akan tetapi kandungannya lebih menguasai emosi berbanding hujah bernas dan membina. Emosi pengguna boleh dilihat pada garis masa yang ketara dengan sikap terhadap parti politik.
Sihir media sosial sebenarnya amat mujarab serta boleh mengalih naratif kebenaran dan kepalsuan menjadi sebaliknya. Era pasca kebenaran (post truth) menjadi pantas berlaku dengan penembusan media sosial yang luar biasa ini. Maka bukanlah suatu memeranjatkan kalau tanda aras majoriti sebagai bukti kebenaran terhadap sesuatu.
Mencipta majoriti pula adalah salah satu sifat media sosial. Yang kurang maklumat atau rendah daya fikir akan terperangkap dalam bingkai majoriti kemudian menjadi pak turut. Tidak sekadar pak turut malah mempunyai kuasa menular sesuatu yang difahami sebagai ‘kebenaran.’
Memang awalnya media sosial menjadi ruang alternatif meraikan kebebasan bersuara. Semua pemilik akuan media sosial bebas bersuara kepada dunia. Masa yang sama menjadi pentas debat seumpama warung tepi jalan, semua orang boleh ikut serta atau meninggalkan apabila sudah bosan.
Kuasa media sosial dalam PRU 15 didukung pula oleh perlaksanaan peraturan had usia pengundi pada 18 tahun berbanding 21 tahun sebelum ini. Menurut statistik, sebanyak 1.4 juta pengundi berusia antara 18 hingga 20 tahun manakala 4.6 juta pengundi berusia antara 21 hingga 29 tahun pada PRU 15.
Keberadaan 1.3 juta pengundi baharu itu memberi kesan yang besar dalam pembentukan landskap politik pada pasca PRU 15 nanti. Hampir semua pengundi muda yang pertama kali mengundi adalah pencandu media sosial. Maknanya sikap pengundi berkenaan terhadap parti, individu dan fahaman politik adalah terjemahan daripada yang dipetik di media sosial.
Dalam keadaan yang sedemikian, media sosial menjadi teraju penting untuk mendapat undi golongan muda, termasuk yang kali pertama mengundi pada usia 18 tahun. Mereka adalah generasi yang terbina daripada jaringan sosial di pelantar maya.
Pengaruh media sosial terhadap pemikiran dan sikap politik khalayak bukanlah suatu yang baru. Hal ini sudah lama berlaku, akan tetapi hanya pada PRU 15 keadaan itu berada di kemuncak. Pemangkinnya tentulah penembusan Internet yang membawa pada kebergantungan yang tinggi pada media sosial.
Menjelang PRU 12 pada 2008 dan seterusnya sudah bermula era media sosial yang sekaligus membentuk landskap baharu politik. Hegemoni politik arus utama sejak merdeka tergugat dan faktornya adalah ruang maklumat yang lebih besar dengan wujudnya blog.
PRU 15 mengingatkan kembali PRU 12 yang menjadi pentas kemunculan pertama media sosial iaitu blog. Blog adalah satu-satunya media alternatif yang memberi ruang komunikasi terutama aliran politik di luar arus perdana. Blog politik pun tumbuh di merata-rata dan sangat ketara.
Kesannya telah berlaku perubahan drastik dalam landskap politik di negara. Itulah pukulan blog yang ketika itu tidak diendah akan pengaruhnya oleh sesetengah pihak dalam politik arus perdana. Hasilnya Barisan Nasional (BN) hilang tradisi majoriti dua pertiga di Parlimen.
Perubahan landskap ini disebabkan beberapa faktor, akan tetapi paling besar adalah wujudnya jaringan komunikasi yang lebih besar. Di mana-mana negara sekalipun landskap politik ditentukan oleh hala tuju yang dibentuk media. Dalam konteks hari ini adalah media sosial.
Pada 2008 dianggarkan tidak kurang 500,000 blog yang tumbuh dan aktif sebagai rangkaian maya pertama yang sangat berpengaruh. Ruang kebebasan bersuara secara tiba-tiba berada di depan mata.
Akan tetapi tidak semua anjakan pada landskap baharu politik ini menjanjikan kematangan dan demokrasi yang tulen. Terdapat sisi yang kelihatan teranjak padahal hakikatnya berada dalam lingkaran yang telah dibina.
Hal ini kelihatan wujud dalam landskap baharu yang menuju PRU 15. Misalnya majoriti adalah bayangan kebenaran. Hal ini membuka ruang kepada parti-parti politik meningkatkan penguasaan terhadap media sosial. Hal ini sama dengan keadaan sebelum PRU 12 di mana pihak berkepentingan berebut untuk mengawal media arus perdana. (Utusan Malaysia 14 November 2022)