Oleh Staff Writer Kayang Post

BALADA Angsa Hitam adalah satu-satunya cerpen karya Sasterawan Negara Datuk Noordin Hassan yang disiarkan kepada umum. Bahkan banyak dalam kalangan rakan terdekat mengandaikan itu adalah satu-satunya cerpen yang ditulis oleh Noordin yang paling menonjol sebagai penulis naskhah dan pengarah teater.

Cerpen itu disiarkan dalam majalah Dewan Sastera keluaran Mei 2003. Kemudian  dipilih memenangi kategori eceran Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM) bagi tahun 2002/2003. Walaupun diangkat dalam HSPM cerpen  tunggal oleh Noordin itu tidak banyak diperkatakan berbanding naskhah teaternya.

Noordin yang kini berusia 94  tahun terkenal sebagai pelopor teater  bercorak eksperimental pada tahun 1970-an. Karya teaternya, Bukan Lalang Ditiup Angin (1970) banyak diperkatakan, apa lagi  menjadi reaksi Noordin terhadap tragedi rusuhan 13 Mei 1969.

Dr Anwar Ridhwan

Balada Angsa Hitam yang  sudah berusia 20 tahun itu menarik perhatian aktivis teater dan pengkritik filem, A Wahab Hamzah untuk diadaptasi ke pentas.  Sejak setahun lalu A Wahab mula menulis naskhah adaptasi sekalipun belum ada pihak yang mementaskannya.

Akhirnya Persatuan Badan Budaya DBP  berminat untuk mementaskan naskhah berkenaan dan sekarang pasukan produksi sedang giat mengadakan latihan. Teater Balada Angsa Hitam akan  dipentaskan pada 1 hingga 4 November depan di Balai Budaya Tun Syed Nasir di Wisma DBP. Pementasan itu mengambil sempena 30 tahun Noordin dianugerahkan Sasterawan Negara.

Persatuan Badan Budaya DBP yang memberi kesanggupan mementaskan teater ini mempunyai sejarah yang cukup panjang dalam bidang teater di Kuala Lumpur, juga di negara ini. Sudah ada jenama yang disenamakan dengan pementasan teater berskala besar selepas bermula dengan Tamu Di Bukit Kenny (1967) arahan Sasterawan Negara Datuk Usman Awang.

Para pelakon dan petugas produksi teater Balada Angsa Hitam

Pada sesi sidang media  di DBP baru-baru ini, A Wahab memberitahu, teater berkenaan berkisar mengenai pergolakan dan peperangan yang berlatarkan garis masa Perang Dunia Kedua hingga awal abad ke 21. Penuh dengan tragedi dan krisis kemanusiaan termasuk pencerobohan Israel di Palestin.

“Imbasan tragedi yang berlaku di Palestin adalah secara kebetulan dengan konflik terbaru yang meletus di Tebing Barat dan Semenangjung Gaza.  Perancangan mementaskan Balada Angka Hitam sudah lama,” jelas A Wahab. Lebih seminggu lalu meletus keganasan terbaru di Semenanjung Gaza dan mengorbankan beribu-ribu nyawa yang tidak berdosa.

Bukan sahaja di Palestin, malah teater ini juga meminjam latar Perang Dunia Kedua di Jerman di mana tentera Nazi melakukan pembunuhan beramai-ramai  terhadap bangsa Yahudi. Garis masanya cukup panjang dan bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain.

A Wahab Hamzah

Ada tiga watak yang bukan utama, tetapi sangat signifikan dengan persoalan yang diangkat dalam karya ini. Mereka adalah watak Penulis, Ismail Zain dan Rahim Che Teh. Watak Penulis dipercayai Noordin sendiri dan mereka berkawan baik ketika menuntut di London tahun 1960-an.

Allahyarham Ismail Zain adalah bekas Ketua Pengarah Balai Seni Lukis Negara (BSLN) dan bekas Ketua Pengarah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) yang pertama.

Menurut Wahab, Balada Angsa Hitam tidak melibatkan negara ini kecuali  diwakili oleh tiga watak berkenaan. Bagaimanapun bukanlah sebuah autobiografi Noordin kerana perihal merema hanya sepintas lalu sahaja. Beliau juga memberitahu, ada ‘teater dalam teater’  dalam Balada Angsa Hitam yang menunjukkan babak pementasan teater klasik Yunani, Antigone.

“Dalam cerpen  ada disebut salah satu watak menonton pementasan Antigone dan saya mengangkat sebagai satu babak,” jelas A Wahab yang pernah mengarah naskhah teater Intan Yang Tercanai karya Noordin pada 2009.

Selain Intan Yang Tercanai, A Wahab juga pernah mengadaptasi novel Sungai Mengalir Lesu karya Sasterawan Negara Datuk A Samad Said dan novel Sandera karya Sasterawan Negara Arenawati ke pentas. Semua pementasan itu memperlihatkan A Wahab  teruji memandu arah karya yang berada di tangannya.

“Menuis adaptasi dan mengarahkan sekaligus ada keseronokan sekaligus cabaran yang tersendiri. Memang ada kesukaran tertentu, bagaimanapun akhirnya melahirkan sebuah karya baharu daripada karya asal,” beritahu A Wahab sambil menambah bahawa tidak dinamakan teater sekiranya tidak diiringi cabaran dan kepayahan untuk dizahirkan di pentas.

Menurutnya, beliau sentiasa berhubung dengan Noordin yang keuzuran untuk memaklumkan perkembangan terkini dan perubahan-peruhan yang dilakukan pada pementasan teater itu. Semua itu bukan permintaan Noordin sebaliknya atas rasa hormat terhadap seorang sasterawan besar.

“Naskhah sentiasa ada perubahan dan penambahbaikan, dan itu suatu yang biasa sehingga pementasan yang sebenar bermula. Saya maklumkan perubahan-perubahan berbanding salinan naskhah yang diberikan kepada Cikgu Noordin,” jelas A Wahab. 

Sdang media itu turut dihadiri oleh Pengerusi DBP, Sasterawan Negara Datuk Dr Anwar Ridhwan, Pengarah Jabatan Pengembangan Sastera, Haji Salahuddin Mohamad  dan Pengerusi Persatuan Badan Budaya DBP, Aris Othman  serta pelakon-pelakon.

Aris Othman

Mereka terdiri dariada Nesa Edrus  melakonkan watak Suhaila yang ibunya keturunan Yahudi dan ayahnya dari Palestin serta memilih menganut Islam. Pelakon teater veteran Rasdi Daud sebagai Orang Tua, Ard Omar (Pegawai Tentera Israel) dan Fairul Pujangga (pejuang Al Fatah).

Balada Angsa Hitan juga turut melibatkan pelakon antarabangsa; Tanya Mike melakonkan watak Nana dan Sabrina Abdulloeva sebagai Haleena.  Selain bahasa Melayu,  teater ini juga menggunakan empat bahasa lain seperti Jerman dan Hebrew.  Sekaligus menjadi cabaran kepada pelakon untuk menuturkan bahasa yang sangat asing dengan mereka. Sekalipun begitu difahamkan mereka yang melakonkan watak Israel, Jerman dan sebagainya dapat mengucapkan dialog dengan sebutan yang tepat.

Sementara itu Dr Anwar berharap DBP terus menjadi gelanggang pementasan teater bahasa Melayu yang hebat di Kuala Lumpur. Hal Ini kerana biasanya di kota-kota besar yang dihuni oleh masyarakat yang bertamadun mempunyai tempat pementasan teater yang hebat.

“Saya melihat pementasan teater ini sebagai kelangsungan Badan Budaya DBP yang berada pada kelas yang tinggi sebagai persatuan  seni yang mementaskan teater hebat sejak ditubuhkan pada 1967,” tegas Dr Anwar yang juga pernah mengarahkan teater Penghuni Paya tahun 1991, sebuah naskhah terjemahan oleh Shamsudin Jaafar daripada karya pemenang Hadiah Nobel, Wole Soyingka. – KAYANG POST

Please follow and like us:

Author / Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *