Usung rumah menunjukkan nilai kerjasama yang menjadi teras dalam kehidupan berbudaya orang Melayu pada zaman dahulu. (Gambar hiasan Utusan Malaysia)

Oleh Ku Seman Ku Hussain

PENTADBIR  Inggeris   di Tanah Melayu, Frank Swettenham  pernah menulis perihal orang Melayu dalam bukunya The Real Malay (1900).  Buku itu memerihalkan sudut pandangan orang luar dari gugusan kepulauan Melayu di mana cara hidupnya berbeza sama sekali dengan orang Melayu.

Walaupun begitu sebagai orang asing, gambaran yang diberi berdasarkan pengalaman berinteraksi, melihat dan membaca  serba sedikit mengenai orang Melayu agak tepat.  Buku itu lebih daripada pengalaman berada dalam masyarakat Melayu sepanjang menjadi pegawai tinggi Inggeris di negara ini.

Negeri yang berada bawah pentadbiran Swettenhem sebagai Residen Inggeris ialah Selangor, Perak, Negeri Sembilan dan Pahang berpusat di Kuala Lumpur. Pengalaman berada dalam kehidupan budaya orang Melayu di negeri-negeri berkenaan membentuk sudut pandangannya mengenai Melayu.

Dalam The Real Malay Swetthenham menulis: 

Sifat-sifat orang Melayu secara am adalah baik, beradab sopan dan menyenangkan. Tidak pernah berundur, mereka suka merendah diri dengan orang yang tidak dikenali dan berprasangka walaupun tidak ditunjukkan.  Mereka petah bertutur, berkias, suka menggunakan perumpamaan dan sangat berwaspada. Mereka suka berjenaka dan sangat menggemari lawak jenaka. Sifat konservatifnya ketara, bangga dan menyukai negaranya, mengagungkan adat resam dan tradisi lamanya, menghormati Raja-rajanya dan mempunyai sikap hormat kepada pemerintah.

Hal-hal yang dituliskan oleh Swettenham adalah sesuatu yang dilihat daripada orang Melayu adalah budayanya.  Sebagai orang asing, Swettenham mengenali atau membuat tanggapan  mengenai Melayu melalui hal-hal yang terzahir dalam kehidupan budaya.

Budaya sesuatu bangsa memancarkan sikap, pemikiran dan kebijaksanaan yang memperkenalkan  dan dilestarikan oleh bangsa berkenaan.  Walaupun defiisi budaya adalah suatu yang rumit untuk dihuraikan,  tetapi secara mudahnya boleh dianggap sebagai kepercayaan dan nilai-nilai asas  hidup bermasyarakat.

Nilai-nilai asas itu menjadi pegangan sebuah masyarakat, kaum atau bangsa.  Inilah ‘undang-undang’ sosial yang tidak terasa sifatnya sebagai  belenggu sebalikya lebih pada amalan dalam kehidupan.  Kalau nilai-nilai dalam budaya itu dilanggar akan terasa janggal pada mata masyarakat.

Orang tua-tua selalu menegur apabila sesuatu yang  kita lakukan melanggar etika budaya  dengan mengungkapkan, “Tidak pernah dibuat orang.”  Maksud frasa ini ialah tidak mengikut tata cara dalam budaya Melayu.  Ia janggal dalam konteks kehidupan berbudaya.

Maknanya dalam menjalani kehidupan,  manusia dilingkungi undang-undang  yang digubal khusus untuk mengekang perbuatan buruk  dan bertentangan dengan nilai manusia. Pada masa yang sama mesti patuh pada nilai-nilai yang digariskan oleh budaya masyarakat.

Nilai budaya inilah yang memandu manusia hidup berkumpulan atau bermasyarakat dengan garis peraturan yang diwarisi sejak berzaman  daripada generasi terdahulu. Oleh hal yang demikian keutuhan budaya diukur pada tahap kelangsungan yang dilestarikan oleh generasi semasa.

Inilah peraturan dan rukun hidup sesebuah masyarakat yang secara kolektifnya diterima kerana nilai-nilai yang menjurus kebaikan. Pada masa yang sama ia juga membezakan antara masyarakat atau kelompok  kerana masing-masing mempunyai peraturan dan tata cara kehidupan yang  tersendiri.

Nilai dalam konteks budaya adalah kepercayaan yang berterusan dan diamalkan oleh sesuatu kelompok. Nilai inilah yang memanjangkan jangka hayat sesuatu budaya sebelum nilai-nilai yang baharu diterima sebagai satu peraturan hidup.  Nilai-nilai baharu itu selalunya datang dari luar tapak budaya asal menggugat masyarakat yang cair jati diri.

Advertisement

Faktor yang lebih hebat melunturkan budaya tradisi sesebuah masyarakat adalah kemajuan teknologi komunikasi yang menjadikan  dunia sudah tidak lagi bersempadan dan semakin ‘kecil.’   Sesuatu yang berlaku di seberang benua cepat  diketahui dan berubah menjadi ikutan di benua yang lain.

Inilah globalisasi yang menjadikan sebuah ‘kampung global’ yang besar tanpa disempadani oleh garis budaya sesuatu kaum atau bangsa. Globalisasi adalah musuh utama budaya tradisi kerana menjadi pemangkin menularnya budaya yang lebih berpengaruh dan menelan yang lemah dan kurang pengaruh.

Dalam konteks Malaysia misalnya,  banyak nilai budaya tradisi sudah pupus dengan wujudnya kemajuan prasarana dan sosial, ditambah oleh teknologi komunikasi yang sangat mempengaruhi massa  Banyak cara  dan disiplin hidup yang tradisi sifatnya semakin hilang dan diganti dengan nilai yang dibawa dari luar.

Masyarakat kampung pada dekad 1960-an misalnya masih kukuh dengan nilai-nilai budaya tradisi. Daripada pengamatan saya,  suatu yang menarik ialah nilai-nilai Islam menjadi teras dalam semua amalan budaya – daripada sebesar-besar perkara hingga sekecil-kecilnya. 

Disebabkan dominannya  nilai-nilai Islam, banyak unsur  asing  dalam budaya Melayu yang  bertentangan dengan Islam  disaring dan digugurkan daripada amalan.   Maka dalam konteks budaya Melayu Islam adalah batu tanda persimpangan  antara yang selari dan bertentangan dengan Islam.

Tetapi budaya tradisi Melayu tidak kukuh melawan badai modeninasi yang mengasak  tanpa henti.  Banyak yang telah ditelan zaman.  Manusia juga  berubah dan menerima nilai-nilai baharu  dan menjadi satu amalan dalam masyarakat.  Demikianlah dinamiknya kehidupan.

Dalam keadaan ini kita memerlukan masyarakat yang tegar melestarikan budaya tradisi dalam kehidupan moden.  Banyak nilai-nilai  budaya tradisi boleh  dijadikan teras dalam kehidupan moden.  Ia tidak bercanggah dengan matlamat untuk mencapai kemajuan malah pada masa yang sama menyediakan tapak identiti yang kukuh.

Walaupun agak mustahil untuk mengekalkan semuanya dalam kehidupan moden, tetapi beberapa terasnya boleh dilestarikan kedudukannya. Itu boleh dijadikan pemangkin kehidupan bermasyarakat di bandar-bandar besar. Kerjasama  dan tolong menolong misalnya adalah teras budaya tradisi Melayu.

The Real Malay mewakili sudut pandangan Barat  terhadap budaya tradisi Melayu  yang mempersonakan.   Perkara yang disebut oleh Swetthenham  bahawa orang Melayu itu unik, merendah diri, bertolak ansur, hidup bermasyarakat dan beradab sopan  adalah hasil  dibentuk oleh kehidupan budayanya.

Inilah nilai sejagat budaya tradisi Melayu yang wajar diangkat dalam kehidupan moden.  Budaya tradisi Melayu tidak pernah kolot atau  memusuhi zaman.  Malah sentiasa relevan dengan semua zaman. Cuma nilai budaya itu semakin ditinggalkan oleh pendokong-pendokongnya yang  kolot dan menganggap  sesuatu yang dibawa dari luar itu sebagai maju dan moden. – KAYANG POST

 

 

Advertisement
Please follow and like us:

Author / Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *