Oleh Ku Seman Ku Hussain
KITA tentu pernah melihat pengulangan kehidupan yang dilakukan oleh generasi muda daripada yang lebih tua. Apabila si bapa misalnya mempunyai sesuatu sikap yang kurang enak, lalu anak atau cucunya mengulang kembali dalam kehidupan mereka.
Perjalanan hidup dalam kalangan kita adalah sebuah buku. Setiap yang dijalani adalah menulis semua sesuatu yang dilakukan, tanpa henti sedetik pun hingga ke akhir hayat. Bagaimanapun tidak semua orang membaca kembali buku kehidupan itu untuk membetulkan bab-bab yang kurang baik untuk diubah menjadi lebih baik.
Buku itulah yang akan dibaca oleh anak cucu dan kita sudah tidak kuasa menentukan bab, perenggan atau ayat manakah yang harus dipetik, diulang atau ditiru dalam kehidupan mereka. Tentulah amat malang sekiranya mereka memetik dan mengulang sesuatu bab yang tidak baik tentang kita.
Maka setiap daripada kita perlu berhati-hati dalam menjalani kehidupan. Sekiranya ada terselit sikap yang tidak baik dan boleh merentas generasi selepasnya, kita tidak punya kuasa untuk membetulkan. Anak, cucu dan seterusnya juga yang mengulang sesuatu yang kita lakukan.
Peringatan itu disampaikan dalam filem Perjalanan Pertama (2022) arahan Arief Malinmudo dan diterbitkan secara usaha sama oleh Mahakarya Pictures (Indonesia) dan D’Ayu Pictures (Malaysia). Dilakonkan oleh pelakon hebat Malaysia, Dato Ahmad Tarmimi Siregar dan pelakon kanak-kanak Indonesia, Muzakki Ramadhan.
Perjalanan Pertama adalah filem yang mengangkat sosiobudaya dan peradaban masyarakat Minang di Indonesia. Filem Minang jarang ditayangkan di negara ini kerana dimonopoli oleh filem-filem dari Jakarta. Masyarakat dan alam budaya Minang diangkat dengan penuh berseni dalam filem ini.
Pengarah Arief Malinmudo pernah menghasilkan filem Surau dan Silek (2017) dan Liam dan Laila (2018). Perjalanan Pertama memperlihatkan sebuah karya yang kaya budaya disampaikan dengan penguasaan sinematografi yang baik.
Bercorak filem perjalanan (road movie), Perjalanan Pertama mengangkat alam dan budaya sekitar Bukit Tinggi, Sumatera sebagai karakter penting yang menggerakkan cerita tentang perjalanan hidup seorang datuk dengan cucunya yang berusia lapan tahun. Perjalanan fizikal mereka adalah pesanan pada perjalanan hidup semua dalam kalangan kita.
Ternyata filem ini tidak sekadar menginsafkan, malah membawa kita melihat buku kehidupan yang kita tulis selama ini. Dalam Perjalanan Pertama hidup adalah sebuah buku yang kita tidak ada kuasa menentukan bab yang mana satu harus dipetik dan ulang oleh generasi selepas kita.
Gae Tan (Ahmad Tarmimi Siregar) adalah seniman sepenuh masa di sebuah kampung masyarakat Minang. Kerjanya membuat cincin dan melukis. Dia seorang tua berusia 70-an mempunyai seorang cucu, Yahya (Muzakki Ramadhan) berusia lapan tahun.
Hidup mereka amat sederhana dalam suasana desa tanah tinggi, tetapi tidak pernah memberitahu setepatnya di manakah ibu dan ayah Yahya. Cerita tentang kematian kedua-dua ibu dan ayah Yahya juga berbeza-beza. Gae Tan bagai ada menyimpan satu rahsia yang amat luka.
Penduduk dan jiran tetangga tidak menyedari bahawa di desa terpencil itu bermastautin seorang pelukis bertaraf dunia dalamnya. Gae Tan pelukis bertaraf dunia yang dulunya pernah menikmati kehidupan hasil seninya yang amat mewah di kota. Bagaimanapun sejak sepuluh tahun dia hilang dari radar seni lukisnya secara penuh misteri.
Wartawan dan masyarakat seni lukis tidak dapat mengesan kehilangan Gae Tan. Langsung tidak dapat dijejaki hingga timbul teori konspirasi bahawa kehilangan Gae Tan itu disebabkan pandangannya bertentangan dengan arus politik semasa. Kehilangannya disiarkan di surat khabar, kemudian dianggap sudah mati.
Gae Tan sebenarnya mengambil keputusan sukar. Dia membuang kemewahan dunia senimannya di kota dan pulang ke desa bersama cucu sebagai seorang tua yang tidak bernama. Semuanya kerana permintaan arwah isterinya supaya pulang ke desa untuk menemukan cucunya yang masih kecil dengan peradaban.
Nilai-nilai peradaban itu banyak disampaikan secara visual tentang cara hidup masyarakat yang berbudaya dan beragama. Menonton Perjalanan Pertama membawa kita ke satu kehidupan yang sederhana tetapi tidak terputus agamanya.
Menariknya hal-hal seperti itu tidak disampaikan secara didaktik atau khutbah, sebaliknya bersuara secara visual dengan persembahan sinematografi yang sangat baik. Begitu caranya dan bertepatan dengan kuasa visual yang seharusnya digunakan dalam karya filem.
Dalam perjalanan menghantar lukisan yang ditempah oleh seorang anak muda untuk dijadikan mahar perkahwinannya di sebuah tempat yang jauh dari desa itu menemukan Gae Tan dengan beberapa kejadian. Dia menunggang skuter Vespa buruknya berwarna merah yang sudah lama tersadai dalam stor.
Ketidaklancaran skuter itu di perlajanan membuatkan Gae Tan dan Yahya bertembung dengan beberapa insiden, menyebabkan urusan penghantaran itu menjadi panjang. Malah ada ketikanya perjalanan itu hampir tergendala apabila lukisan hilang ketika membaiki skuter.
Usaha datuk dan cucu menjejak lukisan bermotifkan kapal layar itu menjadi amat berharga kerana prinsip berjanji dengan pelanggan. Tidak dijual dengan harga setinggi mana sekalipun. Malah kapal layar itu juga membawa maksud sebuah perjalanan yang membawa Gae Tan secara zahir dan batin merentas laluan yang penuh berliku.
Landskap alam turut bercerita tentang perjalanan berliku Gae terutama ketika pengarah menggunakan sudut kamera dari atas merakamkan laluan berbukitan dan berliku di kawasan tanah tinggi. Di laluan kosong yang melingkar bagai ular itu ada sebuah skuter merah bergerak perlahan.
Tentu sahaja itu sebuah sokongan visual daripada persembahan sinematografi sebagai metafora perjalanan hidup Gae Tan yang tidak terlihat secara zahirnya. Semua liku hidupnya tidak terpamer pada bahagian awal dan pertengahan dan metafora di bahagian awal itu terkait pada bahagian akhir filem ini.
Bukan sahaja laluan berliku di kawasan tanah tinggi, malah skuter tua itu juga sentiasa merentas lorong-lorong kecil dan penuh halangan, di celah-celah deretan rumah yang semuanya membawa pada maksud di hujung filemnya.
Pesanan arwah isteri Gae Tan supaya kembali pada peradaban diperjelaskan secara visual juga oleh beberapa shot luas yang memperlihatkan kampung masyarakat Minang dengan bumbung runcing tanduk kerbau. Gae Tan pernah tersasar kerana kemewahan, kembali ke pangkal peradaban.
Tentu sahaja filem ini tidak berdiri dengan cerita yang mampu merembeskan airmata, akan tetapi wacana yang lebih besar tentang akhlak yang terabai. Perjalanan Pertama tidak menyampaikan nasihat, tetapi pesan bahawa kehidupan itu pengulangan.
Maka kalau diulang yang kurang baik, itulah yang menjadi hasil dituai pada generasi selepas kita. Kalau menghilangkan kasih sayang kepada anak ketika muda, anak pula tidak memberi kasih sayang ketika kita tua.
Sebagai penulis lakon layar, Arief Malinmudo kelihatan amat berhati-hari dalam mencipta dialog. Kata-katanya amat terpilih, bukan sahaja enak didengar tetapi membawa maksud yang melampaui sekadar berbasa basi. Semestinya begitu – pengucapan dialog filem adalah gugusan kata yang terpilih.
Sebagai pengarah pula, beliau faham berdepan dengan karya yang hendak dihasilkan. Kesederhana dalam banyak hal menjadikan Perjalanan Pertama suatu yang besar dan tertampil. Ia menjadi filem sosial untuk merujuk budaya fikir sebuah masyarakat.
Ahmad Tarmimi sememangnya antara pelakon Malaysia yang terbaik. Beliau telah membuktikan itu dalam banyak filem dan meneruskan dalam Perjalanan Pertama. Beliau menyampaikan watak seorang tua yang menyimpan lapis-lapis duka dalam jiwa dengan amat berkesan.
Tambahan pula Perjalanan Pertama banyak bergantung kepadanya untuk menerajui cerita selain pelakon kanak-kanak, Muzakki Ramadhan. Memilih Ahmad Tarmimi membawakan watak Gae Tan amat bertepatan sekali. Pada ketika tertentu lakonannya tidak memerlukan dialog, itulah ujian besar seorang pelakon.
Dalam beberapa adegan sedemikian, Ahmad Tarmimi melakukan dengan cemerlang – termasuk pada saat-saat akhir hayat Gae Tan. Adegan itu amat cantik dan terkeluar daripada kebiasaan. Beliau adalah pelakon yang memahami naskhah dan memberikan tafsiran yang terbaik kepada watak.
Tidak hairanlah melalui filem ini, Anugerah Pelakon Lelaki Terbaik Festival Filem Antarabangsa ASEAN (AIFFA) berpihak kepadanya. – KAYANG POST
- Nota: Filem Perjalanan Pertama akan disiarkan di TV AlHijrah pada 17 Mac (Ahad) pukul 9 malam.