Judul buku:  Kata Ku Seman

Harga: RM50 (potongan 10 peratus – RM45.

Kos pos laju: RM8

Terbitan : Putih Rona Dagang

Tahun terbitan: 2023

Tebal: 379 halaman (memuatkan 96 tulisan)

SEBAGAI individu yang selama hampir empat dekad menyerap peranan sebenar seorang wartawan, Ku Seman bukanlah hanya pelapor kejadian atau keluh-kesah masyarakat; kerana segala tragedi dan kisah tersebut bagaikan daun kering dari sepohon kayu yang besar yang sakit – terus gugur saban waktu.

Tulisan Ku Seman merungkai masalah akar, supaya kerja-kerja menyapu dan membersihkan taburan daun yang gugur tidak terus meragut kesejumlah masa pemimpin dan masyarakat memikir dan mempolemikkannya.

Dalam dunia kepengarangannya, beliau mengutarakan pendapat secara merdeka, apa yang perlu ditegur akan terbaca dalam tulisannya; tanpa mengira yang ditegur itu boleh menjejaskan kedudukannya. Katakan yang benar walaupun ia pahit.

Bagai panah yang dilepas dari busurnya, kata-kata beliau dilepaskan dalam bahasa yang ringkas padat, menancap matlamat penulisannya. Sasarannya mereka yang mampu membongkar akar yang berpenyakit; tidak kira ia penguasa atau seorang marhaen yang daya fikirnya amat tinggi – kedua-duanya akan memahami saranan yang diselitkkan dalam langgam bersahaja.

Jiwa kewartawanannya yang sentiasa berpaut pada tiang kebenaran menjadi kekuatannya untuk terus mempertahan nilai sejati bidang yang diceburi supaya tidak dijadikan alat bagi sesetengah pihak. Hal ini diulas dalam tulisannya Filem the Post – Wartawan dan the fourth estate (halaman 120).

Bukan sekadar retorik, beliau pernah membuktikan betapa perlunya seorang wartawan mengorbankan kepentingan diri demi kebenaran yang diperjuangkannya; kerana bagi beliau wartawan itu adalah seorang pejuang kebenaran, bukan sekadar ayam tambatan yang dimiliki seorang juara laga.

Dalam karyanya kita dapati beliau sentiasa membetulkan arah kewartawanan supaya tidak mudah dibeli, justeru sentiasa menyentuh seputar kedudukan wartawan dalam kuasa keempat (fourth estate) yang sangat penting dalam sesebuah negara.

“Kedudukan wartawan dianjak ke depan ‒ tidak sahaja sebagai pelapor malah pencerah kebenaran, pemerhati tingkah gerak penguasa dan tanda aras demokrasi.

“… untuk mengukur demokrasi sesebuah negara, ukurlah luas atau sempitnya kuasa pena wartawannya.”

Prinsip ini juga dapat dilihat dalam tulisannya Zainuddin MaidinAntara Ketua Dan Mentor (halaman 242). Ku Seman mengatur tapak dalam kehidupan dengan keyakinan penuh seandainya keyakinannya pada sesuatu keputusan yang diambil itu sudah jitu. Beliau membiarkan sebarang agenda yang berlegar di pihak yang tidak menyenanginya pergi bersama salakan anjing dan terus berjalan ke destinasi.

Akrab dengan kisah yang menimpa masyarakat, beliau melontarkan teguran dan kritik sosial dengan harapan pemimpin menilai semula tindak-tanduk mereka yang sangat berkepentingan dalam menyantuni warga dalam derita dalam rencana Pagar Jangan Makan Padi (halaman 127).

Manakala dalam rencana Kelab malam cukup-cukuplah  (halaman 135) beliau berusaha menyedarkan masyarakat menilai semula cara berfikir dan menilai supaya tidak mudah dibuta tulikan oleh helah duniawi.

Tulis beliau, “Dalam masyarakat yang melihat kebendaan dan status sosial sebagai ciri-ciri kejayaan hidup, itulah pembaris yang digunakan untuk menilai individu. Kejayaan yang dinilai dari sudut ringgit dan sen. Kejayaan memiliki ilmu semakin tidak dipedulikan dan akhirnya terkeluar daripada senarai keutamaan hidup.”

Keupayaan membaca yang tersirat daripada realiti kehidupan yang berlaku memerlukan pemikiran tembus pandang. Sebagaimana yang ditulisnya dalam Membaca Isyarat Israel (halaman 101) beliau mendidik massa menilai tingkahlaku seseorang bukan hanya berdasarkan mata kasar.

“Perbuatan yang dilakukan oleh Israel ini boleh diibaratkan penceroboh siber (hacker) masuk dalam laman sesawang kita kemudian meninggalkan komen menunjukkan keberadaannya dalam laman itu. Walaupun tidak mengubah isi kandungan, tetapi kita faham itu satu provokasi.”

Kepekaan membaca tingkah manusia ini juga meletakkan beliau sebagai penulis yang mempunyai penilaian tersendiri terhadap seseorang atau sesuatu, bukan terpedaya dengan ‘mob mentality’. Namun ia bukanlah generalisasi yang semberono kerana beliau tetap rasional dan mengakui masih wujud insan berhati mulia dalam bobroknya masyarakat yang ada.

Hal ini terdapat dalam tulisannya Berdepan ancaman materialisme, konsumerisme (halaman 139). Kata beliau, “Bagaimanapun cash is king tidak benar dalam semua keadaan dan manusianya. Tidak semua jutawan kita berperangai haiwan malah menggunakan sebahagian besar kekayaan untuk membina dan membantu masyarakat. Namun, golongan jenis ini tidaklah mempromosi semua kerja-kerja amal di media sosial. Itu kerja selebriti.”

Sebagai wartawan yang tinggi jati dirinya dan sentiasa berusaha mencerdikkan bangsa, Ku Seman melalui tulisannya Buku Pendiri Peradaban Bangsa  (halaman 231) tidak jemu menyedarkan akan sifat tanggungjawab sesebuah penerbitan terhadap kemajuan dan pemikiran masyarakat.

“Buku bukan karipap yang intinya ditentukan oleh selera pembeli sepenuhnya.  Walaupun dari sudut pemasaran buku perlu mengambil kira cita rasa pembeli, tetapi penerbit yang bertanggungjawab tidak memberikan hidung untuk dicucuk oleh kehendak pasaran.”

Menaakul apa yang mampu dicapai segala inderanya, Ku Seman menyatakan pendapatnya, mengemukakan kerisauannya terhadap apa yang berlaku serta cuba membetulkan keadaan dengan menyeru masyarakat supaya mempertingkatkan kualiti diri dengan mata penanya.

Lebih utama dari itu, segala teguran kepada penguasa yang disampaikan melalui aksara itu bertujuan supaya wujud kesedaran dan keinsafan untuk merawat akar segala penyakit yang ada. Dan itulah tugas sebenar seorang wartawan yang bebas merdeka, hasilnya di luar kemampuan mereka.

Sebagaimana ungkapan Ku Seman, “Namun sebahagian masyarakat sudah tidak mengukur manusia dengan sifat padi. Mereka mengukur dengan sifat bunga lalang, semakin kosong semakin tinggi menggamit perhatian,” (Memburu gelaran sifat kebendaanhalaman 321)

“Maknanya melahirkan khalayak berkualiti mesti menjadi matlamat utama. Inilah benteng untuk menahan rempuhan gelombang ganas era langit terbuka. Bagaimanapun tidak dapat dipastikan sama ada pemimpin kita cakna akan hal-hal yang tidak bernilai di pasaran politik,” (Ilmu, celik media, cakna ideologi).

  • MAKLUMAN: Untuk mendapatkan buku ini boleh hubungi penerbit menerusi Whatsapp 019-3974889. Setiap buku yang dibeli akan ditandatangan oleh penulis.

 

Please follow and like us:

Author / Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *