SUDAH hampir 67 tahun negara ini merdeka, namun isu penggunaan bahasa kebangsaan masih menjadi polemik yang adakalanya mencetuskan perbalahan dalam kalangan masyarakat berbilang bangsa.
Penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan diperuntukkan oleh Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dan dimantapkan dengan Akta Bahasa Kebangsaan 1967. Namun, pada masa sama, Perlembagaan Persekutuan membenarkan penggunaan bahasa ibunda oleh kaum-kaum lain.
Akan tetapi, entah apakah silapnya, kegagalan menguasai bahasa Melayu, baik dari segi lisan ataupun tulisan, masih menjadi isu utama yang membelenggu usaha pengukuhan bahasa kebangsaan di negara ini, dan masalah ini merentasi semua kaum termasuklah orang Melayu sendiri yang mengambil mudah bahasa ibunda mereka.
Perkembangan bahasa pijin, iaitu bentuk bahasa yang ringkas dan mengetepikan aspek tatabahasa – lazimnya dituturkan oleh warga asing atau bukan penutur asal – memburukkan lagi nasib bahasa kebangsaan.
Sikap ambil mudah tentang penggunaan bahasa yang betul ini bukan sahaja dari segi komunikasi harian, tetapi turut melibatkan papan tanda iklan, nama premis dan lain-lain lagi yang gah terpampang di depan mata, namun ‘dimaafkan’ lalu menjadi norma dalam masyarakat.
‘Bukan kacau orang’
“Kami bukan kacau orang, kami tawarkan servis kepada masyarakat.” Demikian jawapan seorang lelaki yang mengusahakan perniagaan fotostat di Lembah Klang apabila diajukan soalan oleh Bernama tentang papan tanda kedainya yang menggunakan bahasa Inggeris.
Menurut lelaki itu, papan tanda kedainya sudah wujud sejak sekian lama dan dia tidak pernah ditegur oleh mana-mana pihak.
Sememangnya isu papan tanda yang tidak menggunakan bahasa Melayu atau tatabahasa yang betul bukan isu baharu, namun belakangan ini timbul pula masalah lain yang dilihat semakin menular, iaitu sengaja mencampuradukkan bahasa dan menggunakan ejaan bersifat kolokial atau bahasa basahan, demi menarik perhatian.
Megah terpampang pada papan iklan gergasi di Petaling Jaya, Selangor, sebuah syarikat pengeluar minuman tenaga berkongsi slogannya “Kipid 100, Sentiasa Onz, Bila 100” dengan masyarakat”.
Strategi pengiklanan itu mencetuskan perdebatan dalam kalangan pengguna media sosial dengan ada yang menyindir pihak berwajib, khususnya Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) kerana gagal mengambil tindakan terhadap syarikat terbabit.
Kebanyakan pengguna platform media sosial itu juga tahu yang tindakan syarikat berkenaan bertentangan dengan Undang-undang Kecil Iklan di bawah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), namun persoalannya bagaimanakah lesen iklan itu boleh diluluskan oleh PBT terbabit?
Penguatkuasaan lesu?
Bermula 2015, PBT mewajibkan pengiklan dan agensi pengiklanan mendapatkan pengesahan bahasa Melayu yang baik dan betul daripada DBP sebelum diberikan lesen menyiarkan iklan, papan tanda atau papan premis perniagaan di tempat awam.
Selain itu, DBP juga diberikan tanggungjawab memantau penggunaan bahasa di tempat awam yang perlu dilaksanakan menerusi arahan, ulasan, nasihat, bantuan, bimbingan, latihan dan pengawasan, seperti yang digariskan dalam Akta DBP (Pindaan dan Perluasan) 1995.
Namun, menurut Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) DBP Md Johari Hasan, tanggungjawab tersebut tidak disertakan kuasa untuk DBP bertindak ke atas pihak yang gagal menggunakan bahasa dengan betul.
“DBP tidak ada kuasa mutlak. Semua itu melibatkan banyak pihak (pengiklan dan PBT). Biasanya DBP akan beri kerjasama kepada pihak-pihak (pengiklan dan PBT) dari segi penggunaan bahasa yang betul dalam iklan,” katanya.
Beliau berkata, ketiadaan kuasa itu juga mengekang fungsi DBP dalam memperkukuh kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi Malaysia.
“Pada awal Januari lalu, kita buat pemantauan di pusat bandar raya, iaitu sekitar kawasan Pudu Raya. Kita ronda dan dalam tempoh sehari itu, hanya di kawasan tersebut sahaja, kita kesan ada 30 hingga 40 kesalahan bahasa (di papan tanda),” ujar beliau.
Menurut beliau, ada kemungkinan papan tanda terbabit didirikan secara haram, iaitu tanpa kelulusan lesen daripada PBT.
“Kita katakan demikian kerana, untuk sesebuah iklan itu diberikan lesen, pengiklan perlu mendapatkan pengesahan bahasa daripada kami, selepas itu barulah PBT boleh luluskan permit untuk disiarkan.
“Orang ramai boleh tengok nombor kelulusan PBT pada iklan tersebut. Kalau tak ada, maknanya iklan itu tidak dapat kelulusan dan boleh dikategorikan sebagai iklan haram,” jelas beliau.
‘Dapat keizinan untuk terjadi’
Sementara itu, pensyarah kanan di Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi Mara Kampus Melaka, Siti Najah Raihan Sakrani melihat perbuatan mencampuradukkan bahasa serta penggunaan slanga dalam iklan berleluasa disebabkan tidak ada penguatkuasaan yang serius.
“Keadaan ini ‘dibenarkan’ untuk terjadi dan ‘mendapat keizinan’ untuk terjadi. Sama seperti konsep bekalan dan permintaan (selagi ada yang suka dengan iklan sedemikian, maka selagi itu akan wujud iklan begitu),” jelas Siti Najah.
Akibatnya kata beliau, khalayak akan terus dihidangkan dengan sesuatu yang sebenarnya salah, namun disebabkan oleh penerimaan ramai, hal itu dianggap betul.
“Jika tidak dibendung, perbuatan mengadukkan bahasa dalam iklan akan terus berleluasa dan seterusnya mensia-siakan usaha mendidik generasi muda dengan penggunaan bahasa yang betul.
“Sebagai contoh, kita diajar di peringkat sekolah, universiti bahkan organisasi untuk menggunakan bahasa dan tatabahasa yang betul serta baik, tetapi usaha ini diganggu oleh keadaan sebegini, yang akhirnya merosakkan kemurnian bahasa kebangsaan,” ujar beliau.
Pakar bahasa daripada Universiti Kebangsaan Malaysia Prof Madya Dr Fazal Mohamed Sultan pula berkata, hingga kini tidak ada kesungguhan pihak berwajib dalam memelihara kemurnian bahasa Melayu.
“Kita tidak ada modul-modul yang membantu untuk menguatkuasakan atau mempertingkat kecekapan individu dalam menggunakan bahasa Melayu itu, walaupun ada akta yang mengawal.
“Sebenarnya perkara ini berlaku sebab DBP tidak diberikan kuasa penuh untuk menyelia penggunaan bahasa Melayu dan saya cadangkan agar perkara ini diubah, iaitu berikan kuasa sepenuhnya kepada DBP untuk menyelia dan menguat kuasa,” saran beliau.
Cabaran
Dalam pada itu, DBP melihat kurangnya keprihatinan masyarakat terhadap kesalahan bahasa di papan tanda dan iklan, menyukarkan organisasi itu membuat “pembetulan” yang sewajarnya.
“Kalau kita ada rasa cinta kepada bahasa kebangsaan, kita akan ada sikap tanggungjawab memelihara kemurnian bahasa kebangsaan dan seterusnya melaporkan kepada kami tentang kesalahan bahasa yang mereka temukan.
“Namun, ini tidak berlaku, mungkin disebabkan masyarakat juga tidak sedar akan kesalahan itu,” kata Md Johari, mengulas tentang cabaran yang dihadapi oleh DBP dalam memartabatkan bahasa Melayu.
Beliau juga tidak menolak ada yang menganggap bahasa Melayu tidak mempunyai nilai ekonomi, justeru lebih gemar menggunakan bahasa lain dalam iklan atau papan tanda premis mereka demi menarik perhatian ahli masyarakat.
“Tidak salah untuk turut menggunakan bahasa asing, namun ada syaratnya, iaitu tidak menenggelamkan perkataan bahasa Melayu, baik dari segi saiz huruf, warna dan kedudukan. Ringkasnya, perkataan dalam bahasa Melayu mesti lebih menonjol berbanding dengan bahasa asing,” jelas beliau.
Menurut beliau, usaha memartabatkan penggunaan bahasa Melayu harus merentasi semua kaum agar dapat meningkatkan semangat nasionalisme dalam kalangan rakyat, sekali gus mencetuskan perasaan keterangkuman dalam satu keluarga besar, iaitu sebagai rakyat Malaysia. – BERNAMA