Oleh Ku Seman Ku Hussain

ANTARA pemandangan indah waktu pagi di Kuala Lumpur suatu waktu dulu adalah melihat naskhah surat khabar bergantungan di gerai dan kedai runcit di tepi jalan yang sibuk dengan orang lalu lalang menuju ke tempat kerja. Tajuk muka depan boleh dilihat dari jauh. Begitulah cara ‘menjual’  surat khabar pada zaman gemilannya dekad 1980-an dan 1990-an.

Pemandangan begitu boleh dilihat di Jalan Lebuh Ampang, Jalan Lebuh Pasar, Jalan Raja Alang malah di sekitar Jalan Tuanku Abdul Rahman. Apabila meletus sesuatu peristiwa penting, esoknya sejak pagi lagi surat khabarlah yang  dicari kerana memuatkan laporan yang lebih lengkap.

Ada yang terus membaca sementara menunggu bas mini. Tidak kurang juga yang membaca ketika bersarapan di warung. Surat khabar dan teh tarik menjadi pasangan sejoli yang sukar dipisahkan. Kalau bersembang pun sekitar isu yang disiarkan dalam surat khabar.

Bagaimanapun semua itu hanya cebis-cebis ingatan manis zaman kegemilangan surat khabar. Zaman itu sudah berlalu apabila teknologi digital merempuh, dan surat khabar hilang upaya untuk bertahan.  Maka menyerahlah pada keadaan yang lebih cenderung pada digital,  dan telefon pintar menjadi peranti  menggantikan surat khabar.

Rempuhan digital  itu telah mengubah landskap media di negara ini dalam beberapa tahun mutakhir. Penembusan Internet yang tinggi dan akses digital yang mudah mendorong organisasi media beralih pada format digital – portal dan aplikasi berita dan tidak kurang media sosial.

Perubahan itu tidak dapat ditahan dan semula jadi sifatnya. Masyarakat  lebih condong mendapatkan maklumat dan berita melalui laman portal yang boleh diakses pada masa sebenar (real time). Hal itu tentunya satu pengalaman yang dinamik kepada masyarakat.

Bagaimanapun rempuhan digital tidak sahaja mengalih platform maklumat tradisional  seperti surat khabar pada digital. Masa yang sama membuka laluan pada media sosial yang ternyata lebih interaktif. Pada era media itulah yang  lahirnya istilah baharu –  berita palsu.

Sebenarnya yang lebih tepat bukan ‘berita’ kerana sebaran tidak menepati  ciri, disiplin dan etika berita.  Tetapi sebaran itu diterima sebagai maklumat,  pada hal yang sebenarnya tidak lebih butir-butir sembang  kosong di warung kopi sahaja.

Tahap kebolehpercayaan sebaran itu amat rendah kerana tujuan asalnya media sosial adalah mengait semua dalam kalangan masyarakat dalam satu  jaringan sosial. Bagaimanapun disebabkan sifatnya yang interaktif dan boleh akses video,  media sosial mencipta arus besar yang membentuk ikutan pada isu-isu yang sohor kini.

Bagaimanapun kecenderungan itu bukan suatu yang baik, malah menimbulkan kebimbangan rendahnya kualiti bahan sebaran yang diterima oleh masyarakat  pengguna media sosial. Kalau dulunya  masyarakat mengikuti perkembangan semasa melalui media utama, kini cenderung  ikut berada dalam pusaran arus besar isu-isu picisan.

Pada era digital, media sosial telah memainkan peranan yang penting dalam membentuk landskap maklumat dan perbincangan awam. Malah maklumat yang sebahagian besarnya berkualiti rendah itu disambut dan menjadi topik perbincangan yang serius.

Sebelum media sosial merebak,  maklumat utama melalui media seperti surat khabar.  Bagaimanapun ketika media sosial begitu mendominasi, tumpuan diberikan pada isu remeh atau picisan. Hal itu membuatkan  masyarakat terlepas membincangkan isu-isu yang lebih penting dan mempunyai kaitan dengan kehidupan mereka.

Dahulu, surat khabar merupakan saluran maklumat utama yang memberikan liputan mendalam mengenai berbagai-bagai isu semasa seperti ekonomi, politik, alam sekitar, dan lain-lain. Pembaca dapat mengakses maklumat dengan teliti dan menganalisis secara mendalam.

Bagaimanapun pada era media sosial, pendekatan itu berubah  dengan drastiknya. Kini,  sebahagian besar dalam kalangan masyarakat mendapatkan maklumat berbentuk hujah-hujah ringkas yang dicurigai ketepatannya. Sementara gambar, video, atau tulisan -tulisan pendek seringkali pula dipengaruhi oleh kepentingan tertentu.

Akibatnya, yang dikatakan maklumat itu mencetus keraguan dan membingungkan. Salah satu akibat buruk penyebaran maklumat  tidak berkualiti di media sosial adalah mencuri tumpuan masyarakat yang sepatutnya diberikan pada isu-isu yang memerlukan perhatian mendesak.

Kegawatan ekonomi yang mungkin sedang berlaku, perubahan iklim yang memberi kesan kepada alam sekitar, dan isu-isu sosial yang memerlukan cakna daripada masyarakat seringkali terlepas daripada perhatian. Sedangkan semua isu itu memberikan kesan yang langsung kepada masyarakat.

Media sosial  ternyata amat mempengaruhi cara masyarakat memahami dan menilai sesuatu maklumat. Sebahagian besar daripada kandungan atau hantaran itu sebenarnya adalah arus besar  (mob mentality) yang sudah tersedia daripada fenomena media sosial.

Hal yang demikian membuatkan masyarakat terperangkap dalam ruang maklumat yang sedia ada, tanpa diberi pendedahan daripada sudut yang berbeza untuk membawa pemahaman yang lebih luas. Malah lebih cenderung  menghalang proses pemikiran  yang kritis dan pendirian yang mapan.

Disebabkan  hal itu, masyarakat mesti disedarkan bahawa  tumpuan yang berlebihan pada isu-isu yang tidak berfaedah tetapi sensasi  adalah mengambil ruang berfikir pada hal-hal yang lebih penting.

Itulah yang dikatakan sebagai sisi gelap zaman maklumat (infomation age) yang ditandai dengan kebergantungan melulu dan melampau pada teknologi  digital dalam cara berkomunikasi, bekerja dan berinteraksi sesama sendiri.

Media utama seperti surat khabar, portal berita, atau saluran televisyen menyampaikan maklumat yang telah  dipastikan ketepatannya. Sekalipun begitu arus besar media sosial menjadikan ketepatan dan kewiwabaan maklumat tidak diraikan lagi.

Masyarakat  yang maju dan berpengetahuan mesti bijak membezakan antara media sosial dan media utama, salah satu ciri yang jelas adalah ketepatan dan kewibawaan.  Media utama berpaksikan ketepatan sedangkan media sosial hanya menyebarkan tanpa ada tanggungjawan terhadap sesuatu yang disebar.

Sebagai satu paksi gaya hidup,  media sosial menjadikan masyarakat lebih cenderung memperuntukkan masa yang banyak untuk hal-hal yang tidak penting. Sikap itu secara tanpa sedar telah mengabaikan banyak isu yang mempunyai kaitan dengan kehidupan serta dan menuntut perhatian.

Fenomena sedemikian menyebabkan masyarakat hilang keupayaan untuk menganalisis  dengan kritis,  sebaliknya hanya menerima dari satu sudut pandang  yang luaran, tanpa berfikir tentang sesuatu dengan mendalam.

Hal itu kerana kemerosotan kualiti maklumat boleh menjejaskan kemampuan membuat keputusan  dengan tepat dan berfaedah terhadap sesuatu perkara. Kesimpulannya bukan sahaja surat khabar yang terancam dengan pengaruh media sosial, tetapi juga portal berita di platform digital yang akhirnya menjadikan maklumat yang bergumpal dalam masyarakat tidak tepat dan rendah kualitinya.

 

Please follow and like us:

Author / Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *