Kapal Pengawal Pantai China yang mencetuskan provokasi di Laut China Selatan sekalipun terkeluar jauh dari perairan negaranya, (Gambar hiasan)

Oleh Ku Seman Ku Hussain

CHINA  kelihatan lebih tegas berdepan dengan provokasi Amerika Syarikat (AS). Kedua-dua kuasa besar ini sentiasa berdepan dengan hubungan diplomatik yang pasang surut. Malah, sentiasa tegang dalam isu perebutan hak di Laut China Selatan, laluan laut yang paling sibuk di dunia.

China dan AS mendakwa mempunyai hak terhadap Laut China Selatan yang mempunyai kedudukan strategik sebagai laluan perdagangan dan hasil bumi. China yang terletak kira-kira 2,000 batu nautika dari Laut China Selatan tetap mendakwa mempunyai hak dari segi sejarah pada abad ke-15.

 Bagaimanapun dakwaan China ini bertentangan dengan Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Undang-Undang Laut 1982 (United Nations Convention on the Law of the Sea – 1982 atau UNCLOS).  Konvensyen ini antara lain menggariskan sesebuah negara hanya boleh memiliki kawasan laut sejauh 200 batu nautika (Exclusive Economic Zone) dari perairan negara.

Misalnya Spratly Island  sebelum ini ialah gugusan pulau-pulau kecil yang tidak mempunyai penghuni. Bagaimanapun telah diceroboh oleh China dan membina tujuh pusat ketenteraan yang dipanggil The Cabbage Strategy bertujuan melindungi kawasan tersebut. Hakikatnya pulau-pulau itu bukan milik China.

 AS pula mahu menguasai Laut China Selatan untuk mengimbangi kuasa dagang China. Ini kerana satu per tiga daripada perdagangan perkapalan dunia atau AS$3.37 trilion perdagangan antarabangsa dibawa melalui Laut China Selatan. Selain hasil bumi, Laut China Selatan juga sangat strategik sebagai pangkalan ketenteraan dan mempunyai hasil perikanan yang tinggi.

China melancarkan provokasi apabila menghantar kapal penyerang Haiyang Dizhi 8. Kehadiran kapal ini bersama-sama sepuluh kapal peronda Pengawal Pantai China (CCG)  tidak lama dulu telah mengganggu dan mengancam kegiatan penggalian minyak dan gas oleh kapal Eksplorasi dan Penggalian West Capella yang disewa Petronas.

 AS menyahut provokasi China apabila menghantar kapal penyerang, Amfibia (LHA) milik tentera laut AS ke Laut China Selatan. Kapal itu dikatakan berada pada kedudukan 100 batu nautika dengan kapal yang disewa Petronas. AS telah menghantar isyarat kepada China dan keadaan kini sangat tegang.

 Kedua-dua kuasa besar tidak mungkin bertolak ansur lagi. Laut China Selatan ialah kuasa dan kekayaan. Oleh sebab itu dua kuasa besar ini tidak mempedulikan semua undang-undang antarabangsa yang menghalang mereka memiliki Laut China Selatan.

Selain menjadi laluan perdagangan kapal yang bernilai AS$3.37 trilion, Laut China Selatan menjadi laluan 80 peratus import minyak China melalui Selat Melaka dan Indonesia. Bayangkan jika Laut China Selatan jatuh ke tangan AS. China bukan sahaja kalah dalam pertarungan geopolitik tetapi terpaksa membayar cukai untuk menggunakan Laut China Selatan.

Pihak berkuasa tenaga AS menganggarkan Laut China Selatan menyimpan sekurang-kurang 11 bilion tong minyak dan 190 trilion meter cubic gas asli. Malah, ada anggaran lain mencatatkan jauh lebih banyak daripada itu. Semua ini membuatkan masing-masing berebut untuk menguasai kawasan lubuk emas itu. Laut China Selatan juga mempunyai 10 peratus hasil perikanan dunia yang dapat menampung permintaan makanan beratus juta manusia.

Ketika seluruh dunia bergelut dengan pandemik COVID-19, AS dan China terus ‘berperang’. Tidak lama dulu Presiden AS, Donald Trump menyebut COVID-19 sebagai ‘virus China’. Tidak lama selepas itu ketika AS menjadi negara paling teruk diserang COVID-19, Trump menyalahkan China kerana didakwa menyembunyikan fakta pandemik tersebut.

Ketegangan sudah mencapai tahap yang sangat membimbangkan negara-negara yang berperairan Laut China Selatan. Malah, ini satu isyarat berlakunya perang yang mengundang kerosakan yang besar dan Laut China Selatan menjadi medan tempur ‘Perang Dunia Ketiga’.

Kenapa AS bersungguh-sungguh mahu menguasai Laut China Selatan dan sanggup berperang? Dari segi geopolitik, Laut China Selatan sangat strategik oleh AS untuk kepentingan pertahanan dan ekonomi. Ini kerana AS bimbang China akan mengatasi kuasa mereka dalam ekonomi dunia.

 AS juga sedang berdepan dengan krisis ekonomi yang menyebabkan nilai Dolar semakin menurun. Harga minyak West Texas Intermediate (WTI) menjunam pada paras negatif menyebabkan pendapatan negara turut menjunam. Kadar pengangguran tinggi – lebih 22 juta orang. Dijangka mencecah 44 juta sekiranya pandemik  tidak dapat dikawal. 

 Ditambah pula oleh kerenah pemimpin yang terkenal dengan sikap terburu-buru, cepat melatah dan tidak berfikir jauh mengenai kesan geopolitik seperti Trump, keadaan ini tentunya sangat membimbangkan. Lihat sahaja cara Trump berdepan COVID-19 di negaranya. Trump boleh sahaja mengarahkan tindak balas berperang hanya dengan satu hantaran Twitter saja.

 Kesan yang paling buruk adalah kepada negara-negara di wilayah sebelah sini – Malaysia, Vietnam, Thailand, Taiwan serta Brunei yang berperairan dengan Laut China Selatan.  (Petikan buku KATA KU SEMAN)

  • Makluman: Untuk mendapatkan buku Kata Ku Seman, sila hubungi penerbit Putih Rona Dagang (013-3544889)

 

Please follow and like us:

Author / Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *