Subbudaya punk yang pernah melanda Kuala Lumpur suatu ketika dulu.

Oleh Ku Seman Ku Hussain

KEPADA  pendatang baharu di Kuala Lumpur, saya percaya mereka bukan sahaja terpesona dengan bangunan yang tinggi mencakar awan, pusat membeli belah yang besar dan moden, malah terhadap sesetengah dalam kalangan warganya yang pelik dan unik.

Perkara seperti itu pernah berlaku kepada saya ketika baru menjejak kaki ke Kuala Lumpur 40 tahun lalu. Bagaimanapun saya diam sahaja kerana bimbang dikatakan ‘rusa masuk kampung.’  Buat macam biasa sahaja sekalipun amat terkejut dengan segerombolan anak muda berambut fesyen ala trojan,  penuh tindik di kening dan mata yang bercelak hitam.

Dalam diam saya mencari jawapan tentang segerombolan anak muda yang pelik itu. Tentulah mustahil kalau hendak dikatakan makhluk dari planet lain. Mereka juga minum teh tarik dan makan nasi lemak seperti saya, hanya penampilan sahaja yang amat berbeza.

Itu adalah budak-budak punk  zaman 1980-an yang tampil dengan amat yakin dengan kepelikan dan keanehan. Budak-budak itu mendukung idealisme punk yang kononnya menentang penindasan dan sistem yang korup. Bagaimanapun hakikatnya mereka mendukung gaya hidup yang berteraskan seks bebas, alkohol dan sebahagian daripadanya mengambil dadah.

Banyak yang tidak sanggup menggayakan fesyen punk dengan fesyen rambut trojan tercacak macam duri itu.  Tetapi itulah subbudaya punk yang sengaja tampil dengan ciri-ciri dan pola fikir yang bertentangan dengan nilai dan norma masyarakat setempat.

Sebenarnya Kuala Lumpur juga seperti banyak bandar raya lain di dunia yang berdepan dengan kemunculan subbudaya yang mendukung perwatakan, nilai dan norma yang berlawanan dengan  sebahagian besar dalam kalangan masyarakat.

Subbudaya wujud  daripada ekspresi ketidakpuasan hati terhadap norma-norma sosial yang ada serta keinginan menyatakan identiti yang berbeza. Golongan yang kerap terperangkap dengan subbudaya itu adalah anak-anak muda yang sedang mencari identiti dan  terputus dari  akar budaya yang melingkari kehidupan masyarakat setempat.

Kelompok  itu hidup dengan penuh ketidakpuasan terhadap sistem sosial, budaya serta memperjuangkan kebebasan hingga terkeluar dari garis yang diterima banyak dalam masyaralat.  Kebebasan mereka tidak berpaksi agama dan budaya masyarakat. Lalu tidak hairanlah apabila kebebasan itu difahami tidak bersempadan – termasuk mengamalkan seks bebas, alkohol dan dadah.

Kuala Lumpur  bukan sahaja menjadi lubuk subbudaya punk, malah banyak lagi subbudaya yang datang dari luar –  antaranya hippies, geek dan goth. Hippies muncul pada tahun 1960-an di Amerika Syarikat (AS). Ditandai kemuncaknya dengan festival muzik Woodstock tahun 1969.

Tetapi awal sebelum itu hippies  dikenal sebagai gerakan anak muda yang menentang kapitalisme, materialisme dan penglibatan AS dalam perang di Vietnam. Festival Woodstock tahun 1969 adalah itu kemuncak kegemilangan hippies yang membawa pesan perdamaian sebagai inti festival tersebut.

Ratusan ribu anak muda berkumpul menikmati muzik, seni dan menyalakan perjuangan kebebasan. Mereka menolak konflik bersenjata, menentang ketidakadilan sosial dan menyerukan perubahan yang lebih baik bagi masyarakat di seluruh dunia. Di tengah ketegangan politik dan budaya pada era itu, hippies menjadi suara alternatif yang menyerukan persaudaraan dan kebebasan.

Bagaimanapun disebabkan sifatnya yang menentang norma-norma sosial dan budaya  masyarakat, festival Woodstock 1969 juga amat dikenali sebagai medan mempromosi  gaya hidup seks bebas, alkohol dan marijuana di sebalik ekspresi seni dan muzik yang menyeru perdamaian.

Semua perihal hippies dipaparkan  dengan baik sekali dalam filem Easy Rider (1969)  arahan Peter Fonda dan dilakonkan oleh Peter Fonda sendiri, Dennis Hopper dan Jack  Nicholson. Easy Rider sebuah filem road movie yang mengambil latar sosial kemuncak subbudaya hippies di AS.

Filem itu bukan sahaja menjadi klasik dalam sejarah filem AS, malah turut bertindak sebagai dokumentasi sosial tentang subbudaya hippies pada masa itu. Easy Rider membawa penonton turut serta dalam perjalanan ikonik, Wyatt  dan Billy mencari makna kebebasan, pengembaraan dan kedamaian di tengah-tengah konflik  geopolitik dan  ketidakadilan sosial.

Subbudaya punk pula tidak hanya sekitar muzik punk, tetapi juga daripada segi pakaian, fesyen rambut, seni visual, malah membawa sikap politik dan pemikiran yang bertentangan dengan institusi atau pihak berkuasa dalam masyarakat.

Kumpulan seperti The Ramones, Sex Pistols, The Clash, dan The Dead Kennedys menjadi suri teladan pada subbudaya punk. Mereka menyanyikan lirik  yang keras dan kontroversial dengan sikap yang anti-establishment. Dalam hal fesyen pakaian, punk dikenal dengan gaya yang kasar dan provokatif.

Pakaian berwarna gelap, jaket kulit, seluar jeans koyak, kasut bot, dan aksesori seperti gelang, rantai dan pin yang menjadi identitinya.  Poster punk, seni album, stiker, graffiti dan fanzine merupakan  medium ekspresi kreatif daripada para pengikut punk.

Seperti hippies yang melaungkan kebebasan dan hak asasi manusia, punk juga menjadikan seks bebas sebagai salah satu ekspresi kebebasan. Hal yang demikian menjadikan punk tidak pernah selari dengan nilai dan amalan sosial dalam masyarakat.

Pada tahun 2000 dan ke atas, subbudaya hip hop pula mulai mempengaruhi anak muda di Kuala Lumpur dengan gaya berpakaian yang khas,  menggemari muzik rap dengan gaya tariannya. Hip hop mengekspresikan diri melalui seni dan muzik, serta mengembangkan kreativiti dengan mencipta pengenalan sosial yang unik.

Meskipun demikian,  seperti subbudaya lainnya,  hip hop juga memiliki sisi yang buruk –  tewas dengan rasukan konsumerisme yang melampau. Ternyata hip hop tidak sekadar satu aliran muzik,  malah mendokong adalah sikap hidup yang ada sesetengahnya bercanggah dengan norma masyarakat.

Kesimpulannya, semua subbudaya membawa idealisme yang baik-baik belaka – menentang sistem yang korup,  menyalakan kesedaran hak asasi manusia dan memperjuangkan kebebasan berekspresi. Tetapi masa yang sama mendukung gaya hidup seks bebas dan alkohol atas alasan kebebasan peribadi.

Anak muda  menjadi golongan yang mudah tergoda dengan idealisme subbudaya  yang singgah dalam masyarakat kota harus memahami  kesan buruk yang terlindung di sebalik semua itu.

Tidak salah untuk anak muda memperlihatkan cakna terhadap  sistem sosial yang korup,  rasuah dan sekatan terhadap kebebasan berekspresi dan bersuara.  Bagaimanapun hakikatnya banyak pendukung atau pengikut subbudaya  yang singgah itu tidak cakna pada garis-garis sosial dan budaya yang menjadikan sesuatu kebebasan itu sentiasa terpimpin dan bermanfaat kepada masyarakat terbanyak.

 

Please follow and like us:

Author / Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *