Oleh Ku Seman Ku Hussain
MINGGU lalu ketika menyusuri Kampung Cina, sebuah petempatan awal Cina di tengah-tengah bandar raya Kuala Terengganu yang dipulihara sebagai lokasi wajib kepada pelancong, terutama luar negara, saya segera teringat pada Kampung Baru di Kuala Lumpur.
Kampung Cina dikelilingi pembangunan yang telah dan sedang dijalankan. Nilai tapak di sekeliling Kampung Cina yang berusia ratusan tahun itu sangat tinggi, tetapi kawasan petempatan awal Cina itu tetap dikekalkan keasliannya. Malah masih ada kedai runcit ala-ala zaman dulu di premis yang kekal struktur asalnya.
Kampung Baru adalah tanah anugerah Sultan Selangor pada tahun 1899 untuk dijadikan petempatan Melayu di tengah-tengah pekan lombong bijih timah bernama Kuala Lumpur. Majoriti penduduk awal Kuala Lumpur adalah pelombong yang datang dari China.
Kini Kampung Baru menjadi satu-satunya kampung Melayu di tengah-tengah Kuala Lumpur yang pesat membangun sebagai bandar raya metropolitan. Kuala Lumpur sudah beratus tahun meninggalkan status pekan kecil lombong bijih timah.
Sebenarnya Kuala Terengganu juga membangun dengan pesat, bagaimanapun Kampung Cina tidak menjadi sasaran agenda ‘pembangunan’ malah dipulihara dengan baik. Menyusuri lorong-lorong di Kampung Cina membawa kita pada terowong masa lampau dengan seni bina dan struktur rumah kedai yang diperbuat daripada kayu.
Beberapa pemilik premis ketika ditemui memberitahu, banyak kedai di situ mencapai usia lebih 100 tahun, struktur luaran dan dalaman dikekalkan sebagai satu khazanah warisan petempatan Cina di bandar raya itu. Pelancong luar negara datang bertali arus dan premis itu terus kekal sebagai kedai yang diusahakan oleh pemilik masing-masing.
Selain Kampung Cina di Terengganu, saya juga pernah menyusuri Concubine Lane di Ipoh, Perak yang di kiri dan kanan lorong dipenuhi dengan bangunan kedai dua tingkat berciri tradisi Cina yang diperbuat daripada kayu. Seni bina asalnya dikekalkan dan dan dipulihara keasliannya.
Kampung Cina dan Concubine Lane adalah rakaman sejarah dan tradisi dalam bentuk seni bina di tempat berkenaan. Keberadaan bangunan sedemikian mempunyai sejarah yang tersendiri dan memulihara keasliannya adalah mengekalkan sejarah warisan budaya yang sangat bernilai itu.
Maka saya pun terfikir, apakah amat mustahil untuk menjadikan Kampung Baru di Kuala Lumpur seperti Kampung Cina atau Concubine Lane, sekalipun kedua-duanya berskala kecil berbanding Kampung Baru? Adakah mustahil untuk dikekalkan seni bina rumah Melayu di Kampung Baru sebagai satu sejarah warisan budaya?
Kalau mustahil, apakah yang menjadi halangan utamanya? Adakah tidak mendatangkan pulangan daripada sudut ekonomi kerana tapak Kampug Baru bernilai emas – sangat tinggi dan menjadi rebutan pemaju. Atau mengekalkan keaslian Kampung Baru boleh ‘mencacatkan’ pemandangan Kuala Lumpur?
Kampung Baru kini berlatarkan bangunan moden yang tinggi di kawasan segi tiga emas termasuk Menara Berkembar Petronas. Disebabkan itu ada pihak menganggap wajah Kampung Baru sangat mundur berbanding kawasan di sekitar itu. Tetapi benarkah nilai-nilai warisan yang ada di Kampung Baru menjadi satu ukuran kemunduran?
Sama seperti Kampung Cina di Kuala Terengganu, kalau dilihat daripada sudut matematik, bangunan-bangunan lama itu tidak mendatangkan pulangan ekonomi yang tinggi. Tentulah lebih menguntungkan kalau tapak Kampung Cina didirikan premis perniagaan atau hotel yang bertaraf tujuh bintang. Tapak Kampung Cina sangat tinggi nilainya.
Sebenarnya begitu banyak premis kediaman di Kampung Baru masih kekal dengan seni bina tradisi orang Melayu. Rumah-rumah tradisi seperti itu sudah tidak ada di tempat lain, dan ketika ini Kampung Baru menjadi rujukan untuk melihat “Kampung Melayu’ apa lagi di Kuala Lumpur.
Oleh hal yang demikian, Kampung Baru perlu dikekalkan sebagai sebuah kampung Melayu dengan ciri-ciri traidisi pada premis, membaik pulih yang daif untuk mengelak daripada menjadi kampung yang tidak terurus. Hal itu menuntut keterlibatan kerajaan kerana memerlukan peruntukan tertentu untuk tujuan pemuliharaan.
Pemuliharaan maknanya membaik pulih mana-mana struktur yang daif atau rosak dengan mengekalkan seni bina yang asal. Kampung Baru boleh dijadikan sebagai ‘kampung pameran’ di mana pelancong dapat melihat warisan daripada seni bina. Masa yang sama pemilik pula boleh terus mendiami premis itu seperti sekarang dan menjaga pelestarian warisan itu.
Perkara itu selari dengan matlamat projek ‘Jejak Warisan Kuala Lumpur’ yang digerakkan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk memulihara bangunan yang ada nilai budaya dan sejarah. Kampung Baru yang ada sejarah dan budayanya perlu dimasukkan dalam projek berkenaan.
Ketika ini Kampung Baru menjadi lubuk makanan di Kuala Lumpur. Banyak makanan tradisi dari Pantai Timur – Kelantan dan Terengganu boleh didapati dengan mudah di situ. Untuk tujuan pemuliharaan warisan dan budaya, perlulah ada garis panduan tertentu misalnya hanya dibenarkan menjual makanan tradisi dari seluruh negara dan juga tradisi kaum-kaum lain.
Tujuannya supaya bangunan yang mempunyai nilai budaya dan warisan di sekitar Kampung Baru diperkukuhkan dengan kewujudan restoran yang menghidangkan makanan tradisi. Selain makanan banyak lagi kegiatan yang menjurus budaya dan warisan boleh dirancang di Kampung Baru.
Ketika saya mula bekerja di Kuala Lumpur tahun 1984, isu membangunkan Kampung Baru berulang kali mencetuskan kontroversi. Mungkin sudah kontroversi lebih awal daripada itu. Tetapi yang selalu dibangkitkan berpuluh tahun itu adalah tidak lain daripada soal duit – berapa harga sekaki persegi yang hendak dibayar kepada pemilik tanah Kampung Baru.
Apakah definisi ‘pembangunan’ dalam konteks Kampung Baru? Adakah pembangunan itu bermakna di tapak Kampung Baru berdiri berceracak bangunan moden dan hotel tujuh bintang? Atau adakah dengan menjaja ‘pembangunan,’ mewajarkan identiti sosial dan budaya sebuah kampung tradisi Melayu di Kuala Lumpur dihilangkan?
Kampung Baru tidak boleh disamakan dengan tanah yang diduduki setinggan. Pemilik tanah Kampung Baru juga bukan pemilik rumah setinggan yang dengan mudah dipindahkan ke Projek Perumahan Rakyat (PPR) apabila tapak rumah mereka hendak dimajukan.
Taraf pemilik dan tapak Kampung Baru sangat berbeza, tidak sepatutnya berulang kali timbul sesuatu yang boleh menganggu gugat pelestarian budaya hidup dan warisan di tanah milik mereka. Malah tidak boleh dengan sewenang-wenang menganggap kampung tradisi itu mencacatkan pemandangan Kuala Lumpur.
Oleh hal yang demikian, semua yang berkaitan Kampung Baru harus dilakukan dengan berhati-hati dan penuh tanggungjawab. Banyak pertimbangan yang mesti diambil kira kerana Kampung Baru tidak boleh diukur dengan nilai hartanah semata-mata. Kampung Baru melampaui hal-hal yang berkaitan pampasan sekalipun ada yang sanggup membayar dengan nilai yang tinggi.
Sultan Selangor, Sultan Alauddin Sulaiman Syah Raja Muda Musa (Sultan Sulaiman) berpandangan jauh ketika menganugerahkan tanah seluas 222 ekar itu kepada orang Melayu pada 1899. Maka selepas 125 tahun, pemimpin generasi masa juga mesti berpandangan jauh tentang Kampung Baru. Masa yang sama memahami makna ‘pembangunan’ dengan setepatnya. – KAYANG POST