Kemiskinan global dicipta oleh negara kaya dengan cara manipulasi ekonomi yang licik (Gambar hiasan)

Oleh Ku Seman Ku Hussain

PADA asasnya dunia mempunyai kekayaan yang lebih daripada cukup untuk mengeluarkan negara terutamanya di sub Sahara daripada belenggu kemunduran dan kemiskinan tegar. Negara-negara ini bukan sahaja berdepan masalah kemiskinan, malah tahap penjagaan kesihatan paling rendah dan politik yang sentiasa bergolak.

Menurut laporan Tabung Kanak-Kanak Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF), daripada populasi penduduk dunia 7.8 bilion pada 2020, sebanyak 2.2 bilion daripadanya tidak mendapat akses air bersih dan 4 bilion tidak ada penjagaan kesihatan. Inilah yang berlaku di negara-negara mundur yang dibelenggu kemiskinan.

Hal ini diperkukuhkan lagi oleh kenyataan Pengarah Data, Penyelidikan dan Dasar UNICEF, Laurence Chandy, “Tanpa tindakan segera dijangka 56 juta kanak-kanak bawah umur lima tahun akan mati menjelang 2030, separuh daripadanya yang baru dilahirkan.”

Beliau mengakui, UNICEF memang banyak menganjurkan program menyelamatkan kanak-kanak di negara miskin sejak tahun 1990, tetapi berjuta-juta lagi masih diserang penyakit disebabkan kekurangan makanan berzat, ubat-ubatan dan air bersih. Malah, mendapatkan air bersih menjadi masalah utama selain makanan.

Semua ini seperti sudah jatuh ditimpa tangga – sudahlah kemiskinan membelenggu, penyakit menular kerana ketiadaan air bersih dan ketidakmampuan mendapatkan ubat-ubatan. Kemiskinan menjadi punca kepada segala-galanya. Namun, tidak semua kemiskinan disebabkan faktor alam. Banyak juga kemiskinan yang diolah secara sistematik oleh ketamakan negara-negara kaya.

Perangkaan terkini mencatatkan Burundi sebagai negara paling miskin dengan pendapatan perkapita hanya AS$263.67. Kedua, Sudan (AS$303.15), diikuti Malawi (AS$399.10), Congo (AS$456.89) dan Nigeria di tangga 10 teratas dengan pendapatan perkapita AS$535.85). Nigeria paling kaya dalam sepuluh negara paling miskin.

Sekiranya disalurkan 10 peratus daripda peruntukan ketenteraan global, hasilnya boleh menyelesaikan  masalah kemiskinan global paling kurang selama 15 tahun. (Gambar hiasan)

Bagaimanapun dengan kekayaan global yang disumbangkan negara kaya seperti Amerika Syarikat (AS), China serta negara-negara Kesatuan Eropah (EU), Arab Saudi, Emeriah Arab Bersatu (UAE) dan Britain misalnya, mustahil masih wujud negara miskin. Macam tidak masuk akal juga masih ada negara yang rakyatnya menunggu mati kerana kemiskinan.

Tambahan pula Pertubuhan Pertanian dan Makanan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFAO) memberikan jaminan bahawa jumlah pengeluaran makanan global bukan sahaja mencukupi untuk ‘semua manusia di atas muka bumi’ malah berlebihan.  Maknanya tidak akan ada kebuluran berlaku di mana-mana pelosok dunia.

Namun, kewujudan negara mundur yang terlalu miskin itu satu realiti. Kebuluran kerana tidak cukup bahan makanan juga bukan rekaan.  Walaupun UNFAO yakin pengeluaran makanan mencukupi, tetapi sikap negara kaya antaranya menjadi punca makanan tidak sampai kepada negara miskin.

Kisah tragis manusia yang hanya tinggal tulang dan kulit bukan dongeng. Ini benar-benar berlaku di negara miskin, bergolak dan politik pula disertai oleh negara kaya. Memang benar pada sudut matematiknya jumlah pengeluaran makanan mencukupi, malah berlebihan. Namun, dengan wujudnya kepentingan tertentu oleh negara kaya, kebuluran akhirnya menjadi cerita yang klise.

Menurut The Stockholm International Peace Research Institute (SIPRI) pula, kalau sepuluh peratus sahaja diambil daripada peruntukan ketenteraan yang mencapai AS$1.7 trilion, jumlah ini mampu menyelesaikan kemiskinan global setidak-tidaknya selama 15 tahun. Bayangkan, itu baru sepuluh peratus daripada belanja ketenteraan global.

Institut penyelidikan yang berpangkalan di Stockholm itu menambah, AS sahaja memberikan peruntukan ketenteraan sebanyak AS$596 bilion, iaitu yang tertinggi, diikuti China sebanyak AS$125 bilion serta Arab Saudi negara ketiga tertinggi, Rusia keempat dan Britain negara kelima. Bayangkan jika negara-negara kaya ini mengurangkan belanja ketenteraan untuk disalur kepada tabung melawan kemiskinan global.

Bagaimanapun bagi negara kaya seperti AS, China atau Rusia, peruntukan ketenteraan bukan sahaja untuk mempertahankan negara, tetapi juga menceroboh dan mengaut keuntungan di negara yang mundur. Semua ini telah dimurnikan dengan istilah yang menjurus bantuan kemanusiaan dan menegakkan demokrasi serta memerangi keganasan.

Negara mundur dimomok sebagai tidak demokratik, lubuk pengganas serta mempunyai sistem ekonomi yang lemah. Maka, atas alasan itu negara kaya menawarkan diri demi kemanusiaan, kononnya. Namun, yang dilakukan ialah penstrukturan politik dan manipulasi sistem ekonomi. Dengan sistem ekonomi yang tidak adil, rakyat terus menderita dan hasil bumi dijarah oleh syarikat dari negara kaya.

Sebenarnya bukan sahaja negara mundur, malah negara yang kaya hasil bumi dan stabil politiknya juga tidak terlepas dibelenggu. Kekayaan hasil bumi menjadi tarikan negara kaya untuk merampasnya. Inilah yang berlaku kepada Iraq – rakyat dihasut menumbangkan pemimpin untuk menaikkan pemimpin boneka.

Selepas kejatuhan Iraq kepada AS, berapa banyak hasil minyak yang mengalir  ke poket AS sebagai imbuhan mendirikan ‘demokrasi’ di Iraq. Walaupun sebelum neokolonialisme Iraq sebuah negara kaya tetapi menjadi miskin selepas berada di bawah kuasa AS.

Negara-negara sub Sahara memang mudah terdedah dengan taktik begini dan sebahagian besar pemimpin boneka ialah proksi negara kaya. Keadaan rakyat bukan sahaja tidak berubah malah semakin teruk. Pemimpin boneka hanya menjaga kepentingan AS dengan mendapat sedikit imbuhan.

Ini membuktikan neokolonialisme, manipulasi ekonomi dan propaganda media yang menormalisasi campur tangan Barat menjadi faktor menyumbang negara mundur terus dibelenggu kemiskinan. Geopolitik dan manipulasi ekonomi membuatkan yang miskin dan mundur terus dengan keadaan sedia ada berdekad-dekad lamanya.

Apabila ada yang tidak tahan dengan tekanan hidup yang melampau, mereka terlibat dengan penjualan kokain, heroin, khidmat seks, hingga tahap menjual darah dan juga organ. Malah, ada yang sanggup menjual anak untuk dijadikan buruh.

Sehingga kini dianggarkan 40 juta penduduk dunia menjadi hamba dan 150 juta kanak-kanak terpaksa menjadi buruh. Kemiskinan dan ketidakadilan yang menimpa negara-negara mundur ialah senjata pembunuh. Mereka dibunuh dengan helah sistem ekonomi yang tidak adil oleh negara kaya.

Maka, benarlah seperti kata bekas Presiden Afrika Selatan, Nelson Mandela bahawa kemiskinan itu bukan warisan. Sebaliknya sama seperti penghambaan dan aparteid yang diciptakan manusia untuk kepentingan manusia. Sebagai pejuang melawan aparteid berpuluh tahun lamanya, Mandela amat arif manipulasi sistem ekonomi oleh negara kaya terhadap negara miskin termasuk di Afrika Selatan. 

Please follow and like us:

Author / Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *