Kejayaan sains mencipta bom atom membuktikan sains mesti diselarikan dengan nilai-nilai kemanusiaan.

Oleh Ku Seman Ku Hussain

KHAMIS lalu (6 Ogos  2020) genap 75 tahun bandar raya Hiroshima bersama-sama manusia dan alamnya diranapkan oleh bom atom tentera bersekutu dalam Perang Dunia Kedua. Tragedi menghancurkan Hiroshima berlaku pada 6 Ogos 1945. Tiga hari kemudian bandar raya Nagasaki pula menjadi sasaran bom atom.

Pengeboman dan teknologi bomnya menjadi catatan sejarah yang penting tentang pertembungan nilai-nilai keinsanan dan kecemerlangan penemuan sains dan teknologi.  Barat mencatatkan ‘kejayaan’ melahirkan reka cipta yang boleh membunuh manusia sehebat itu.

Pada masa yang sama Barat juga dilihat sebagai gagal mengimbangi penemuan sains dan teknologi dengan nilai-nilai keinsanan. Perang Dunia Kedua bukan lesen untuk manusia dibunuh sekejam tragedi di dua bandar utama di Jepun itu. Malah, tidak ada mana-mana konvensyen yang memberi kelonggaran dan mewajarkan kekejaman seperti itu.

Khamis lalu juga berlangsungnya pelancaran novel The Ashes of Hiroshima terjemahan Debu Hiroshima karya allahyarham Dr. Othman Puteh dan pameran buku yang dikarang, disunting dan diterbitkan oleh Dr. Roosfa Hashim di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). 

Bom atom membuktikan sains yang tidak diselarikan dengan kemanusiaan.

Acara ini mengambil sempena ulang tahun ke-75 tragedi pengeboman di Hiroshima. Turut hadir ialah Duta Jepun di Kuala Lumpur, Hiroshi Oka yang memperkatakan mengenai 75 tahun tragedi Hiroshima dan Nagasaki.

Rektor UIAM, Profesor Emeritus Dr. Dzulkifli Abdul Razak dalam ucapannya mengingatkan dan menekankan bahawa penemuan dan pencapaian dalam bidang sains bertujuan memberikan kemudahan kepada kehidupan manusia. Bagaimanapun sains juga mendatangkan kemudaratan apabila tidak diurus dan diimbangi dengan nilai-nilai keinsanan.

Sebagai makluman, watak utama dalam novel The Ashes of Hiroshima ialah Razak, iaitu bapa Dr. Dzulkifli yang menjadi satu-satunya survivor bom atom di Hiroshima dari negara ini. Ketika itu Allahyarham Abdul Razak menjadi pelajar bahasa Jepun di Hiroshima.

Dr. Dzulkifli menzahirkan kekhuatiran apabila kelompok tertentu gagal menginsankan sains dan teknologi di mana soal keprihatinan dan kesejahteraan manusia yang sepatutnya menjadi pengimbang kepada sains tidak lagi menjadi keutamaan.

Dr Dzulkifli Abdul Razak

Gagasan menginsankan sains dan teknologi sepatutnya disambut dan diambil sebagai satu cabaran oleh para saintis serta pembuat dasar supaya manusia tidak menjadi hamba dan mangsa kejayaan dan keupayaan sains yang sangat luar biasa abad ini. Manusia mesti memandu sains bukan sains yang memandu manusia ke jalan kehancuran.

Bom atom ialah satu mercu tanda pencapaian sains yang luar biasa pada zamannya. Inilah kali pertama wujud bom bertenaga atom yang dibangunkan oleh sekumpulan saintis Amerika Syarikat (AS) dalam Projek Manhattan pada dekad 1940-an. Namun, apalah ertinya pencapaian sains yang luar biasa ini apabila akhirnya membunuh ratusan ribu nyawa dan kesan radiasinya berpuluh tahun selepas itu.

Saintis J. Robert Oppenheimer yang digelar Father of the Atomic Bomb  ialah orang yang bertanggungjawab mencipta Little Boy, bom atom yang menghancurkan Hiroshima dan Fat Man yang digugurkan ke atas Nagasaki berselang tiga hari.

Oppenheimer seorang ahli fizik yang menjadi pengarah Los Alamos Laboratory dan menjadi tonggak pembangunan bom pembunuh paling dahsyat itu melalui Projek Manhattan. Memanglah dari satu sudut, saintis ini mencapai kecemerlangan dalam bidangnya, iaitu mencipta bom atom.

Namun, dari sudut yang lain, kecemerlangan, kepakaran sainsnya yang luar biasa itu tidak menjurus kepada kelestarian manusia, jauh sekali untuk mewujudkan sifat yang prihatin dan sejahtera antara sesama manusia.  Maka sains dan teknologi perlu dipandu dengan nilai-niai keinsanan supaya dapat dinikmati dalam kehidupan.

Ilmu yang dikuasai Oppenheimer dalam bidang fiziknya boleh dialih untuk tujuan kebaikan kepada manusia dengan syarat mempunyai kesedaran mengimbangi antara teknoogi dengan nilai-nilai keinsanan. Tenaga atom bukan sahaja untuk menghasilkan bom tetapi punca tenaga dalam bidang lain.

Kita tidak pasti apakah yang dirasakan oleh Oppenheimer ketika ciptaan agungnya ‘berjaya’ membunuh begitu banyak nyawa yang tidak berdosa dan merosakkan alam sekitar berpuluh tahun lamanya. Mungkinkah dia berbangga kerana ujian itu berjaya?

Bandar Hiroshima dan Nagasaki lebur dan menjadi padang jarak akibat bom atom dalam Perang Dunia Kedua.

Daripada banyak catatan, Oppenheimer dikatakan menderita dan tertekan dibelenggu dosanya sendiri. Kesan kemudaratan yang tidak pernah terjangkakan antara yang mendorong dia menolak pembangunan bom atom seterusnya dan meletak jawatan pada tahun yang sama. Dia bangkit sebagai penentang projek bom hidrogen selepas ‘kejayaan’ bom atom.

Dia juga sempat melihat sendiri bagaimana ciptaan sainsnya gagal membunuh nilai-nilai keinsanan rakyat Jepun walaupun lebih 400,000 daripadanya terkorban di Hiroshima dan Nagasaki.  Oppenheimer meninggal dunia kerana barah kerongkong pada 18 Februari 1967.

Ketika itu Jepun telah bangkit dan Oppenheimer gagal menahan kemaraan Jepun menjadi negara teknologi dan pada masa yang sama melestarikan nilai-nilai keinsanan sebagai pengimbang.

Ironinya kita pula yang memperlihatkan kecenderungan menerima sains dengan melulu. Lihat sahaja fenomena Revolusi Industri 4 (RI4), sebahagian besar daripada pembuat dasar sangat teruja. Dalam ucapan kalau tidak sebut RI4 seolah-olah tidak mencapai piawaiannya.

Pada masa sama mereka tidak bersedia dengan nilai-nilai keinsanan untuk mengimbangi  ledakan yang luar biasa ini apabila terlalu banyak bercakap tentang keterujaan RI4. Mereka berkokok seperti ayam sahaja, kalau tidak berkokok nanti dikatakan tidak maju.

Semoga mereka cepat sedar dan pada tahun 2030 kita tidak menjadi hamba  robot dan nilai kebendaan yang menenggelamkan nilai keinsanan. Satu lagi untuk memahami kemusnahan dan sumbangan sains, jangan malas membaca. Bagi memahami ini, baca buku Sains Untuk Manusia tulisan Dr. Dzukifli Razak. (Petikan buku KATA KU SEMAN)

  • Makluman: Untuk mendapatkan buku Kata Ku Seman, sila hubungi penerbit Putih Rona Dagang (013-3544889)
Please follow and like us:

Author / Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *