
Oleh Ku Seman Ku Hussain
KUALA LUMPUR seperti juga kota-kota lain di dunia yang penuh dengan gemerlapan dan kemilau. Kehidupan masyarakatnya kelihatan dibeliti kemewahan yang tidak mungkin dialami oleh mereka yang tinggal di luar kota. Semmangnya begitulah sifat sesebuah kota dimana kehidupan mewah menjadi mercu tandanya.
Malah seolah-olah tidak ada ruang untuk yang kurang mampu menggapai kemewahan itu tumpang mendiami kota yang besar itu. Semuanya menuntut belanja yang bukan sahaja besar, malah terlalu besar. Sekalipun begitu hakikatnya ada sahaja golongan lain misalnya yang berpendapatan sederhana atau rendah hidup bahagia di Kuala Lumpur.
Lapisan sosialnya berbagai-bagai – daripada yang ultra elit hinggalah mereka yang tidak punya kediaman. Mereka bukan lagi tergolongan dalam B40 malah lebih rendah daripada itu. Semuanya menumpang hidup di sebuah kota yang bernama Kuala Lumpur
Suatu waktu dulu hidup di kota seperti Kuala Lumpur, kalau tidak kuat pendirian kita juga terjerumus dalam perangkap kebendaan. Semua perkara diukur dengan benda, padahal manusia mempunyai tanda aras yang lain untuk membezakan antara satu dengan yang lain.
Itu dilema warga Kuala Lumpur yang terpesona dengan kehidupan mewah golongan berada. Tetapi itu dulu, sekarang bukan di Kuala Lumpur yang menjadikan kebendaan sebagai ukuran hidup, sebaliknya media sosial yang menjadikan hidup hanya diukur dengan kebendaan.
Dulu orang di kampung tidak terdorong meniru kehidupan orang kaya di Kuala Lumpur. Hanya orang Kuala Lumpur yang daif berfikir merasa terbeban untuk menyamakan diri dengan golongan berada. Tetapi kini di mana-mana sahaja termasuk kampung khayalan kebendaan sentiasa mencari sasarannya.
Pada era digital, secara tanpa sedar media sosial telah mencipta khayalan kehidupan yang songsang kepada kita. Kalau golongan elit dengan kehidupan yang mewah, kita yang tidak tergolong dalam kelas itu juga berkhayalan sedemikan. Maka terhasillah golongan yang memancing perhatian dengan memperagakan perkara yang pada tanggapannya lebih mewah daripada orang lain.
Mereka adalah dalam kalangan yang teracun dengan sekian banyak kepalsuan yang diperagakan di media sosial. Mereka gagal membezakan antara khayalan kemewahan dengan kehidupan yang sebenar. Bahkan bukan sedikit pula yang bergaya di media sosial dengan harapan dianggap lebih tinggi kedudukan dengan yang lain.
Kehidupan sebenar bukanlah sebiji epal merah yang dilihat pada satu sisi sahaja. Kehidupan adalah gandingan hitam dan putih, kaya dan miskin serta suka dan duka. Maka lihatlah epal merah daripada berbagai-bagai sudut yang tentunya ada yang tidak sempurna kerana itulah cerminan kehidupan kita.
Tidak ada yang sempurna epal merah yang sengaja dilihat pada satu sisi sahaja. Hanya media sosial yang menyakinkan bahawa kehidupan kita seperti itu. Maka yang kurang berfikir pun mahu menjadi seperti yang dilihat di media sosial – kehidupan yang penuh mewah dan bahagia.

Kehidupan yang nyata adalah sulam seli hitam dan putih, tinggi dan rendah serta jatuh dan bangun. Semua yang bertentangan itu menjadikan kehidupan penuh kepelbagaian warna dan suasana.
Bagaimanapun amat sedikit kehidupan nyata terpapar di media sosial hingga kita terlupa akan kewujudannya. Media sosial mempengaruhi kita membentuk persepsi bahawa hanya kehidupan di situ sahaja yang sempurna, bahagia dan dikelilingi nilai-nilai yang semuanya menjurus kebendaan.
Terlalu sedikit, malah hampir tidak ada yang memaparkan kegagalan, kemiskinan dan kekurangan di media sosial. Di sosial untuk kelihatan bergaya walaupun amat jauh dari kehidupan nyata. Maka berkumba-lumbalah memperagakan khayalan yang pada tanggapan mereka adalah satu kebahagiaan.
Sebahagian besar warga maya yang perhatian dan sanjungan memperagakan khayalan kesempurnaan untuk mendapat pujian. Tambahan pula hal ini selari dengan budaya hidup di media sosial – mengangkat bakul supaya kelihatan lebih berbanding yang lain.
Pada mulanya media sosial hanya dilihat sebagai rangkaian hubungan sosial. Bagaimanapun menjadi jauh lebih besar dan mencipta khayalan kehidupan yang menggila dan penuh kebendaan. Masing-masing memperagakan kebendaan supaya kelihatan hidup mewah dan sempurna.
Bagaimanapun hakikatnya tidak semua yang terpantul di media sosial mewakili kehidupan sebenar yang penuh berwarna warni. Secara psikologinya media sosial membentuk gambaran dan wajah kehidupan yang tersendiri – setidak-tidaknya dalam kalangan warga maya yang malas berfikir.
Tanpa sedar pula telah menulis semula tata cara dan prasyarat kehidupan yang menepati definisi media sosial. Masa yang sama ia adalah ruang eskapisme untuk melarikan daripada kenyataan hidup yang mungkin tidak seindah diimpikan. Di media sosial, impian itu dijelma dan dihidupkan dengan memperagakan kegembiraan, kemewahan dan kebahagiaan.
Hal seperti itu berlaku kerana pengguna media sosial dipaksa melihat kehidupan orang lain yang secara terancang berpaksi kebendaan. Pengguna hampir terlupa hakikat diri sendiri kerana pantulan cerita orang lain yang lebih memukau, malah hampir tidak ada cerita duka dan sengsara.
Ketika media sosial giat mempertontonkan sisi epal merah yang sempurna, jangan lupa sisi yang satu lagi. Di sebalik media sosial yang mengangkat kehidupan yang indah-indah, makan yang enak-enak dan segala keperluan kebendaan tersedia, hakikatnya disisi yang lain bergelut untuk hidup. Salah seorannya mungkin kita sendiri.
Sisi itu tidak dipertontonkan kerana bertentangan dengan tatacara media sosial. Di sana hanya yang indah-indah yang mampu membuatkan orang yang daif alam fikirnya akan terpegun dan kagum.
Kehidupan yang dipaparkan di media sosial dengan yang nyata sangat berbeza antara satu dengan lain. Bagaimanapun media sosial ada kemilau yang luar biasa untuk memagut perhatian dan keterpesonaan. Ibarat sebutir lampu di tengah gelap malam yang menyihir kelkatu supaya mengerumuninya.
Oleh yang demikian, untuk melihat atau memahami kehidupan yang nyata, janganlah mencari di media sosial. Hal itu kerana media sosial mempunyai tara cara kehidupannya yang tersendri dan tidak mewakili kehidupan nyata di luar tabir lingkungannya.
Suatu hakikat yang tidak boleh dilupakan adalah kehidupan ini tidak semuanya penuh dengan keindahan. Walaupun keindahan itu yang menjadi impian, tetapi dalam kehidupan yang nyata, kita tidak mendapat semua yang diimpikan. Kita mendapat sebahagian yang indah dan selebihnya tidak indah.
Media sosial cenderung mendesak kita mengukur kehidupan daripada pembaris yang digunakan oleh orang lain. Memaksa tanpa sedar supaya menjadi seperti orang lain yang terpapar bahagia dan amat mewah kehidupannya.
Tetapi jangan lupa, semua itu tidak lebih sebuah album gambar. Hanya gambar yang dipilih sahaja dimasukkan dalam album. Semuanya tersaring dan sememangnya album gambar bukan sebuah rakaman kehidupan yang sebenar. (Kayang Post)