
Oleh Ku Seman Ku Hussain
Suatu senja malam minggu beberapa hari lalu saya berlama-lama di beranda Masjid Jamek Kuala Lumpur sambil melihat matahari pulang ke bingkai malam. Senja yang berkaca jingga itu indah dengan imej siluet bangunan pencakar awan berselang seli neon yang mulai menyala. Aliran air Sungai Kelang yang paling hampir dengan masjid itu agak kuat dan tenggelam timbul dalam deru kereta di sekitarnya.
Lebih kurang seratus meter di depan ada persimpangan yang mempertemukan Sungai Kelang dengan cabangnya, Sungai Gombak. Pertemuan dua sungai itu menjadi lokasi yang ikonik di Kuala Lumpur kerana keindahan dan juga sejarahnya. Malam itu permukaan dua sungai yang membelah kota raya itu terbias oleh cahaya lampu berwarna biru yang dipasang di sepanjang tebingnya.
Menyusuri segenap urat nadi Kuala Lumpur adalah rutin saya sejak dulu. Daripada itu saya ditemukan dengan tempat atau sudut yang menarik untuk dikunjungi lagi apabila ada waktu. Sekalipun Kuala Lumpur dikenali sebagai kota batu, tetapi tetap terdapat kawasan yang alamnya yang memberikan ketenangan pada jiwa.
Di sekitar tempat itu adalah antara lokasi terindah di Kuala Lumpur, diperindahkan lagi dengan laluan jalan kaki serta lampu-lampu yang bukan sahaja untuk menerangi malah menambahkan pesona pada waktu malam.
Dulunya, sepuluh atau 20 tahun lalu, Sungai Kelang dan Sungai Gombak turut membawa sampah yang hanyut dari hulu. Ada kala ketika airnya mengalir lesu, sampah sarap itu terapung dan memberikan pemandangan yang kurang indah. Bagaimanapun kini keadaan sudah berubah – sekalipun airnya keruh tetapi tidak membawa sampah.
Beberapa kali juga saya berpengalaman melihat kedua-dua sungai itu mengganas dengan aliran air yang banyak dan sangat deras. Kemudian menjadi tidak tertampung dan melimpah ke tebing menjadi banjir kilat. Deruan air yang ganas itu juga pernah mengorbankan nyawa mangsa yang terjatuh di situ.
Demikianlah apabila alam berbicara tentang kegelojohan segelintir manusia yang menganggu ekosistem dengan pembangunan yang tidak diselarikan tanggungjawab pada keperluan manusia untuk jangka yang panjang. Banjir kilat yang menjadi antara masalah utama di Kuala Lumpur sebahagian faktornya disebabkan oleh sikap manusia, termasuk menjadikan sungai sebagai ‘tong sampah.’
Daripada pengalaman peribadi, sekalipun sudah lebih 40 tahun menjadi warga Kuala Lumpur, saya sentiasa terasa seperti ‘pendatang baharu’ apabila menyusur beberapa tempat di Kuala Lumpur. Salah satunya di sekitar pertemuan dua sungai berdekatan Masjid Jamek.

Malah kedua-dua sungai yang bertemu di belakang Bangunan Sultan Abdul Samad itu mempunyai sejarah khususnya mengenai sebuah pekan lombong bijih timah yang dikenali sebagai Kuala Lumpur. Pekan yang dulunya dibuka oleh Sutan Puasa, pemimpin masyarakat Mandailing kini menjadi pusat perdagangan dan ekonomi terbesar negara ini.
Sebenarnya di pertemuan dua sungai itu yang mewujudkan Kuala Lumpur sebagai pusat pelombongan bijih timah pada sekitar 1800-an. Selebihnya ada signifikan dengan sejarah negara ini misalnya Dataran Merdeka yang dulunya Padang Kelab Selangor yang menyaksikan turunnya bendera penjajah, Union Jack. Bendera Union Jack diganti dengan bendera Persekutuan Tanah Melayu pada pukul 12.01 malam 31 Ogos 1957.
Pelancong yang berpusu-pusu datang dengan bas persiaran ke Dataran Merdeka melimpah ke kawasan di sekitar lain termasuk di pertemuan Sungai Kelang dan Sungai Gombak. Di situ ada Masjid Jamek yang berusia 115 tahun, dibina oleh pedagang India muslim yang bermastautin di sekitar kawasan berkenaan. Malah menjadi antara mercu tanda Islam kedua terawal di Kuala Lumpur selepas Masjid India yang berusia 161 tahun.
Bahagian hulu Sungai Kelang bermula di Genting Kelang, Gombak yang bersempadan dengan Pahang, kira-kira 25 kilometer di timur laut Kuala Lumpur. Sungai yang panjangnya 120 kilometer itu berpecah pada 11 anak sungai utama iaitu Sungai Gombak, Sungai Batu, Sungai Kerayong, Sungai Damansara, Sungai Keruh, Sungai Kuyoh, Sungai Penchala dan Sungai Ampang. Sungai Kelang mengalir ke arah barat ke lautan di Selat Melaka.
Ketika zaman penjajahan, Kuala Lumpur menjadi pusat pentadbiran British di Selangor selain kawasan perlombongan bijih timah. Tinggalan sejarah itu boleh disaksikan hingga kini dengan berdirinya Bangunan Sultan abdul Samad, Perpustakaan Kuala Lumpur, Muzium Tekstil, Kelab DiRaja Selangor serta beberapa bangunan lain di sekitar kawasan berkenaan. Semua bangunan itu menjadi pejabat pentadbiran British di Selangor.
Sungai Kelang pernah menjadi satu-satunya laluan mengangkut bijih timah dari Kuala Lumpur hingga ke muara untuk dibawa ke England. Itulah ‘lebuh raya’ utama sekaligus laluan membangunkan Kuala Lumpur sebagai pusat perlombongan, pentadbiran British dan perdagagangan yang penting.
Seorang ahli sejarah, J.M. Gullick pernah menggelarkan Sungai Kelang sebagai ‘satu-satunya lebuh raya yang memintas hutan belantara.’ Tongkang-tongkang besar dan kecil digambarkan bertali arus menghilir dan memudik Sungai Kelang. Menghilir membawa bijih timah dan memudik pula membawa barang dagangan ke Kuala Lumpur.
Sebenarnya tidak dapat dipastikan sebanyak manakah warga Kuala Lumpur sudah menikmati keindahan sekitar sebahagian tapak projek River of Life yang mengubah wajah tempat berkenaan menjadi indah dan menenangkan itu. Atau mungkin juga pelancong luar negara lebih banyak yang sudah menikmati keindahan kawasan itu sekaligus menyusuri sejarahnya berbanding warga Kuala Lumpur sendiri.

Ketika menyusur dengan berjalan kaki dari Masjid Jamek ke Central Market kemudian melintas jambatan yang menghubungkan Dayabumi dengan Central Market dan balik semula ke Masjid Jamek di Jalan Tun Perak melalui belakang Bangunan Sultan Abdul Samad, kilauan sejarah dan masa kini silih berganti. Air sungai yang bermanik-manik apabila terbias cahaya lampu jalan memberi kesan yang indah di sebalik sejarah luka apabila hasil bumi kita dijarah penjajah.
Malam itu, di pertemuan Sungai Gombak dan Sungai Kelang saya terhantar ke perdu sejarah awal Kuala Lumpur. Generasi yang membuka pekan Kuala Lumpur tidak pernah membayangkan pekan lombong itu menjadi bandar raya itu seperti yang kita saksikan hari ini. Di sebalik gemerlapan dan suasana yang indah, sejarah tetap menjadi guru – selalu mengingatkan kita supaya mengambil iktibar daripada masa lalu. Sekalipun kita tidak boleh mengubah sejarah, akan tetapi kesedaran terhadap sejarah boleh mengubah masa depan. (Kayang Post)