Penulis bergaya dengan Volkswagen Beetle

OLEH KADIR JASIN

1. Dalam catatan kali ini, saya hendak cerita sesuatu yang ringan iaitu mengenai orang Malaysia dan kereta. Ikut istilah permotoran, Malaysia dikategorikan sebagai negara “gila kereta” (car crazy country).

2. Menurut beberapa laporan dan perangkaan, kita negara membangun nombor tiga di dunia yang paling banyak kereta per kapita selepas Brunei dan Uruguay. Di dunia kita menduduki tempat ke-22 dengan sebanyak 678 buah kereta bagi setiap 1,000 orang penduduk. 

4. Negara gila kereta nombor satu adalah San Marino  dengan 1,606 buah bagi setiap 1,000 penduduk. Brunei mencatatkan 805 buah dan Uruguay 738 buah bagi setiap 1,000 penduduk. 

5. Ada beberapa sebab menjadikan kita negara berkereta (motoring nation). Antaranya pembangunan sosio-ekonomi yang baik, pembiayaan kenderaan yang mudah, harga bahan bakar yang berpatutan dan penghijrahan penduduk dari kampung ke bandar.

6. Tidak tahulah sampai bila cinta kereta ini akan berterusan memandangkan   dasar menaikkan harga petrol dan diesel, kesesakan jalan raya yang semakin teruk dan peningkatan kemudahan pengangkutan awam.

7. Saya tidak pasti sedalam mana cinta rakyat Malaysia dengan kereta. Rasanya majoriti yang memiliki kereta menganggapnya tidak lebih daripada utiliti.

8. Tidak macam dulu-dulu, tidak banyak lagi pemilik kereta yang menyelenggara sendiri kenderaan mereka. Mereka serah kepada pusat servis, bengkel, stesen minyak dan pencuci kereta. 

9. Dulu-dulu, pada hujung minggu, kita boleh tengok orang mencuci dan memperbaikki kereta atau motosikal di hadapan rumah.

10. Walaupun saya memiliki kereta sejak tahun 1969 dan menggunakan pelbagai jenis, saya rasa saya masih “passionate” dengan setiap kereta yang saya miliki atau guna.

11. Seperti pernah saya sebutkan, kereta pertama saya adalah Volkswagen Beetle berinjin 1,200cc dan sistem elektrik enam volt dengan nombor plat KA 7200.

12. Kereta-kereta lain yang saya miliki sendiri atau disediakan oleh majikan termasuklah MG Salon 1100 terpakai dua warna (two-tone, hijau dan putih susu) yang saya beli di Kuala Lumpur pada tahun 1972. 

14. Waktu itu, kereta MG, khususnya jenis sport, cukup diminati oleh orang muda. Jenis salon adalah kereta orang tua atau orang muda yang sudah berkeluarga. 

15. Asal MG adalah kereta jenama Morris. MG adalah kereta Morris yang di”tuned-up” untuk lebih laju. MG adalah singkatan kepada “Morris Gerages” (Garaj Morris).

16. Sekarang jenama MG dimiliki oleh SIAC Motors Corporation Limited, China dan dikeluarkan di Nanjing, Ningde dan Shanghai. Ia sudah mula dipasarkan di Malaysia. 

17. Saya jual MG dan beli Ford Escort baru. Pada tahun 1977 jual Escort dan beli Ford Cortina GL baru. Waktu itu, pembiayaan kenderaan bermotor sukar. Kena tunjuk banyak dokumen bagi membuktikan kemampuan. Tempoh bayar balik hanya tiga tahun. 

18. Beberapa tahun selepas beli Ford Cortina, saya beli kereta Volvo 144 terpakai sebagai kereta kedua. Waktu itu Volvo terkenal dengan bumper besar (big bumper) untuk keselamatan.

19. Dengan kereta buatan Sweden itulah saya melakukan “road trip” membawa keluarga saya melancong seluruh Tanah Melayu dari Johor, ke Pahang, Terengganu, Kelantan dan, melalui Lebuh Raya Timur-Barat yang baru dibuka, untuk ke Kedah, Pulau Pinang, Perak dan balik semula ke Selangor. 

20. Kereta-kereta lain yang saya beli atau disediakan oleh majikan adalah Toyota Corona, Peugeot 505SR (majikan), Volvo 240 (majikan), Mercedes E Class (majikan), BMW 728i (majikan), BMW 740i (majikan), Proton Perdana (majikan), Audi A4, Proton Satria Neo R3, Jaguar S-type, Mitsubishi Pajero, Toyota Landcruiser Prado, Lexus GS350, Proton Perdana/Honda Accord (majikan) dan sekarang Toyota Camry Hybrid. Ini adalah kenderaan yang saya guna sendiri.

21. Saya mengambil berat mengenai spesifikasi mekanikal, elektrikal dan elektronik kenderaan yang saya miliki. Pada tahun-tahun awal pemilikan kenderaan bermotor, saya lakukan sendiri kerja-kerja penyelenggaraan (maintenance) yang mudah seperti menokok dan menggantikan minyak enjin, minyak brek dan transmisi automatik, “flushing” sistem penyejukan dan “tuning” karburator.

22. Kereta dulu pakai karburator, gear manual dan stereng tanpa bantuan servo. Sistem moden seperti suntikan gas (fuel injection), gear automatik, power steering, brek ABS dan airbag datang kemudian.

23. Saya nasihatkan pemilik dan pemandu kenderaan bermotor, khususnya yang muda-muda, agar fahami mekanisme dan kemampuan kenderaan anda. Pandu cermat, berdisiplin dan sabar. Kelajuan tidak semestinya membunuh. Yang membunuh adalah kebebalan.

Nota: Tulisan ini kali pertama disiarkan di Facebook A Kadir Jasin.

  • DATUK A KADIR JASIN adalah Tokoh Wartawan Negara dan mantan Ketua Pengarang Kumpulan NSTP

Please follow and like us:

Author / Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *