Aris (kanan) pasa sidang media bersama Timbalan Ketua Pengarah PNM, Anisatul Wahida (tengah) dan Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera DBP Abang Haliman Abang Julai di DBP Jumaat lalu. Gambar PNM

Oleh Ku Seman Ku Hussain

Ketika pementasan teater Sungai Mengalir Lesu arahan Wahab Hamzah pada 1997, Aris Othman adalah ‘orang baharu’ di DBP yang turut terlibat di pentas Auditorium Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Bagaimanapun 27 tahun kemudian, Aris sendiri memegang teraju sebagai pengarah teater Sungai Mengalir Lesu yang akan dipentaskan pada 1 hingga 4 Oktober ini di Auditorium DBP. Ketika pementasan pertama dulu Aris menganggap dia hanya ‘budak tepi pentas’ yang tidak terlibat secara langsung dengan hal teknikal dan pengarahan.

Pementasan kali ini dianjurkan oleh Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) menerusi Inisiatif Bajet Ini Warisan Kita – Melestarikan Perpaduan serta mendapat kerjasama DBP. Persatuan Badan Budaya DBP diberi kepercayaan mementaskan naskhah yang diadaptasi daripada karya Sasterawan Negara A Samad Said.

Untuk pementasan kali ini Aris yang merupakan legasi karyawan yang dilahirkan oleh Persatuan Badan Budaya DBP memegang teraju dan membentuk dunia Sungai Mengalir Lesu di pentas. Kesatuan pengarahan, lakonan, sinografi terletak sepenuh di tangannya.

Aris Otman pengarah teater Sungai Mengalir Lesu. Gambar PNM

Sebagai pengarah pada naskhah yang diadaptasi daripada novel A Samad Said, Aris mengakui bahawa tanggungjawab itu memberikan gementar tetapi sesuatu yang manis. Dia gementar kerana naskhah itu terlalu besar, bimbang tidak terapung sepenuhnya. Manisnya pula kerana berpeluang menguji pengalaman yang dikutip selama ini bersama Persatuan Badan Budaya DBP.

“Saya hanya duduk di hujung pentas sahaja ketika pementasan 27 tahun lalu. Tidak terlibat sepenuhnya. Tetapi pengalaman itu adalah suatu yang berharga juga kerana berpeluang bergaul dengan orang teater. Pementasan kali ini adalah yang terzahir daripada saya dan penolong pengarah, Zaidi Omar,” ketika ditemui pada sidang media teater itu di DBP Jumaat lalu.

Aris tidak mahu dibandingkan pementasan ini dengan yang dulu kerana banyak perbezaan, terutama keadaan dan saiz pentas. Malah apabila diterajui oleh pengarah yang berbeza juga memberikan tafsiran pentas yang tidak sama.

Naskhah adaptasi Sungai Mengalir Lesu dihasilkan oleh Allahyarham Zakaria Ariffin seorang tokoh teater yang banyak mementaskan teater berskala besar bersama Persatuan Badan Budaya DBP.

“Saya mendapat banyak pengalaman daripada Zakaria Ariffin dan Wahab Hamzah selepas bekerja di DBP bermula 1992. Malah sebelum ini juga beberapa kali saya menjadi pengarah bersama dengan Wahab, antaranya Angsa Hitam (adaptasi cerpen Sasterawan Negara Nordin Hasan) dan teater Haji Murat (Adaptasi novel karya Loe Tolstoy),” kata Aris.

Mengenai Sungai Mengalir Lesu, teater ke 56 yang dipentaskan oleh Persatuan Badan Budaya DBP, Aris yakin naskhah itu mampu diangkat sebaiknya dengan dukungan daripada aspek lakonan dan sinografi dan lain-lain. Pasukan yang berada bersama-samanya bekerj keras dan mempunyai matlamat yang satu – kejayaan.

“Saya mengulang baca beberapa kali novel Sungai Mengalir Lesu untuk menempatkan rasa dalam dunia yang dibangunkan oleh Pak Samad. Walaupun naskhah sudah dihasilkan oleh Zakaria Ariffin, sebagai pengarah saya mesti merasakan karya asalnya,” ujar Aris.

Menurut Aris, dia bercadang mewujudkan sungai di pentas kerana itulah yang menjadi latar penting dalam novel Sungai Mengalir Lesu. Bagaimanapun hal itu tidak dapat diteruskan selepas mendapat nasihat daripada pihak yang bertanggungjawan terhadap hal ehwal keselamatan.

“Saya akur dan tidak bertolak ansur terhadap hal-hal yang boleh menjejaskan keselamatan penonton. Tetapi tidak ada sungai bukanlah kekurangan. Ada benda-benda lain yang kita pasti mengagkat kesan zaman itu seterusnya dirasakan oleh penonton,” kata Aris yang menjawab soalan tentang pementasan pertama dulu ada ‘sungai’ di atas pentas.

Aris adalah karyawan teater terbaru yang dilahirkan oleh Persatuan Badan Budaya DBP yang ditubuhkan oleh Sasterawan Negara Usman Awang pada tahun 1967. Malah Usman Awang sendiri mengarah teater pertama persatuan itu, Tamu Di Bukit Kenny karya beliau sendiri pada 1967.

Selama hampir enam dekad, Persatuan Badan Budaya DBP banyak melahirkan karyawan teater yang cemerlang dan terbilang dalam dunia teater tempatan. Antaranya Sasterawan Negara Baha Zain, Johan Jaaffar, Dinsman, Othman Haji Zainuddin, Ismail Dahaman, Sasterawan Negara Anwar Ridhuan, Zakaria Ariffin, Sabri Yunus, Wahab Hamzah dan Ghani Abdulah.

Kini Aris adalah ‘adik bongsu’ dalam keluarga besar Persatuan Badan Budaya DBP sekali gus memikul tanggungjawab meneruskan legasi yang panjang dalam dunia pementasan di negara ini. Dengan dukungan kepimpinan DBP sejak dulu hingga kini, Persatuan Badan Budaya DBP diyakini terus memperlihatkan keberadaan dalam dunia teater di negara ini.

Antara pelakon yang menjayakan teater Sungai Mengalir Lesu adalah Akmal Ahmad watak Basir) , Nesa Idrus (Tumirah), Shasha Fairus (Mak Buruk), Roydy Rokidy (Ahmad Jani), Khai Sabri (Katayama), Megat Adli (Jukichi), Badrul Hisham (Pak Syed), Fairul Pujangga (Tompang), Khal Isyaf (Mulyadi) dan Aloeng Silalahi (Irawan).

“Banyak pelakon yang diberi kepercayaan menjayakan teater ini bukan sahaja mempunyai pendedahan, tetapi juga sudah mantap dalam lakonan. Saya menganggap pementasan seperti ini adalah salah satu kaedah membangunkan pelakon-pelakon muda yang mempunyai masa depan,” tegas Aris yang tetap berasa kerdil apabila dibariskan dengan karyawan-karyawan teater yang pernah dilahirkan oleh DBP. – KAYANG POST

Please follow and like us:

Author / Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *