
Oleh Rokiah Ismail
Sungai Mengalir Lesu antara novel besar karya Sasterawan Negara A Samad Said yang mengungkapkan pergolakan sosial dan kemanusiaan berlatarkan Perang Dunia Kedua di Singapura. Novel yang diterbitkan pada 1967 ini adalah sebuah dokumentasi sosial yang penting tentang dekad-dekad perang di rantau ini.
Novel Sungai Mengalir Lesu melampaui sebuah karya kreatif, malah pada masa yang sama merakamkan pengalaman sebenar A Samad yang turut berada di tengah-tengah kehidupan pada zaman penuh konflik itu. Itulah zaman yang tidak memberikan rakyat banyak pilihan – yang ada hidup sengsara atau mati.
Perpustakaan Negara (PNM) menganjurkan pementasan teater Sungai Mengalir Lesu yang diadaptasi dari novel berkenaan dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada 1 hingga 4 Oktober ini. Inisiatif itu dilihat amat tepat sebagai wadah generasi masa kini menghayati konflik sosial dan kemanusiaan yang pernah berlaku di negara ini.
Naskhah adaptasi yang dihasilkan oleh Allahyarham Zakaria Ariffin itu kali pertama dipentaskan pada 1997 di Auditorium DBKL arahan A Wahab Hamzah. Selepas 27 tahun, pementasan kali ini memberi peluang kepada generasi muda yang menyaksikan pemikiran seorang sasterawan besar mengenai perang dan kemanusiaan.

Pada sidang media teater Sungai Mengalir Lesu di DBP Jumaat lalu, Timbalan Ketua Pengarah PNM, Anisatul Wahidah Abdul Wahid memberitahu, novel itu dipilih berdasarkan unsur-unsur perpaduan kaum yang erat ketika berdepan dengan zaman yang sangat mencabar.
“Novel itu menggambarkan derita zaman perang Jepun dilalui oleh semua kaum, tidak kira Melayu, Cina atau India. Kebersatuan semua kaum itu dilihat sebagai kekuatan rakyat bawahan yang berdepan hakikat hidup yang amat keras,” kata Anisatul Wahidah.
Turut hadir pada sidang media itu adalah Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera DBP, Abang Haliman Abang Julai dan pengarah teater Sungai Mengalir Lesu, Aris Othman.

Anisatul Wahidah menjelaskan, novel Sungai Mengalir Lesu antara 5,518 buku koleksi peribadi A Samad yang ada di PNM dan dipilih sebagai sebuah novel untuk dipentaskan menerusi program Pementasan Teater Koleksi Sasterawan Negara itu.
Katanya, PNM memilih bekerjasama dengan DBP bagi pementasan teater ini kerana birokrat bahasa dan sastera itu merupakan badan utama yang dipertanggungjawab menguruskan pemilihan, penilaian Anugerah Sasterawan Negara.
Sungai Mengalir Lesu membawa penonton mengintai hidup masyarakat marginal pada zaman perang yang bertekad meneruskan hidup. Kisah Mak Buruk, Tompang yang buta dan lumpuh, Basir terpaksa mencuri makanan di stor Jepun untuk hidup dan Tuminah janda muda yang terpaksa membayar diri atas budi Basir memberikan makanan adalah kisah manusia di sebalik ledakan perang.
Tidak kurang menyayat hati juga kisah persahabatan antara Irwan dan Mulyadi yang hidup merempat dan keadaan yang sakit. Mereka berdua merantau dari Indonesia untuk mencari hidup yang lebih baik, tetapi terperangkap dalam sengsara perang yang lebih teruk.
Keadaan Mulyadi semakin nazak dan dia berpesan kepada Irwan supaya menyampaikan berita kematiannya kepada isterinya di kampung. Dia mahu Irwan beritahu isterinya yang dia ditembak Jepun, bukan mati kerana hidup melarat. Mulyadi memberikan anak patung yang dijumpai di sungai untuk disampaikan kepada anaknya.
Anisatul memberitahu, memberi tanggungjawab kepada Persatuan Badan Budaya DBP mementaskan teater itu disebabkan kecemerlangan yang ditunjukkan sejak hampir enam dekad lalu. Persatuan Badan Budaya DBP bermula dengan pementasan pertama, Tamu Di Bukit Kenny tahun 1967 arahan Sasterawan Negara Usman Awang.
“PNM sangat yakin dengan legasi kecemerlangan lebih 50 pementasan teater sejak 1967. Teater Sungai Mengalir Lesu diangkat daripada antara novel terbaik dan dipentaskan oleh kumpulan yang teruji oleh zaman. Maka, jangan lepaskan peluang menonton teater ini, “ ujar Anisatul Wahidah.

Antara pelakon yang menjayakan teater Sungai Mengalir Lesu adalah Akmal Ahmad watak Basir) , Nesa Idrus (Tumirah), Shasha Fairus (Mak Buruk), Roydy Rokidy (Ahmad Jani), Khai Sabri (Katayama), Megat Adli (Jukichi), Badrul Hisham (Pak Syed), Fairul Pujangga (Tompang), Khal Isyaf (Mulyadi) dan Aloeng Silalahi (Irawan).
Pementasan Sungai Mengalir Lesu oleh PNM dan DBP bukan sahaja satu acara budaya, tetapi ini juga adalah sebuah penyataan tentang bangsa. Bangsa yang menghormati sasterawannya adalah bangsa yang sedar tentang sejarah dan akar budaya.
Hal itu juga mengingatkan bahawa karya sasterawan besar yang pernah kita miliki tidak seharusnya berakhir di rak perpustakaan. Karya itu perlu terus dihidupkan dalam bentuk yang boleh mendekati khalayak masa kini. Salah satunya adalah mengadatasi ke bentuk karya yang lain – teater dan juga filem. –KAYANG POST