
Oleh Ku Seman Ku Hussain
AHAD lalu Presiden Venezuela Nicolas Maduro dan isteri telah diculik oleh pasukan khas Amerika Syarikat (AS) untuk dihadapkan di mahkamah atas tuduhan mengedar dadah dan keganasan antarabangsa. Bagaimanapun banyak dalam kalangan penganalisis geopolitik melihat tindakan AS terhdap negara Amerika Latin itu sebagai mencabul kedaulatan negara yang merdeka.
Kalau diperhatikan secara mendalam penculikan Maduro dan isteri itu bukanlah disebabkan pengedaran dadah dan kganasan antarabangsa. Itu hanya alasan dangkal Presiden Donald Trump kerana tujuan utama adalah menguasai simpanan minyak Venezuela yang begitu besar.
Hubungan AS Venezuela merupakan contoh paling jelas bagaimana geopolitik, ideologi, sumber alam serta kuasa imperialis bertembung dalam arena antarabangsa. Kes tangkapan pemimpin Venezuela oleh AS bukanlah suatu yang mengejutkan. Ini adalah kemuncak daripada sejarah konflik yang panjang dan berlapis-lapis.
Ini juga mencerminkan pertembungan antara sebuah negara kuasa besar yang menganggap dirinya penjaga dunia, dengan sebuah negara Amerika Latin yang sejak sekian lama cuba membebaskan diri daripada bayang-bayang AS.
Sejak awal abad ke-20, Venezuela mempunyai kepentingan strategik yang luar biasa bagi AS, terutamanya disebabkan kekayaan hasil minyaknya. Penemuan simpanan minyak berskala besar menjadikan Venezuela antara pembekal tenaga utama dunia. Secara tidak langsung mengikat negara itu ke dalam sistem kapitalisme global yang dipimpin AS
Pada era Perang Dingin, AS menyokong rejim-rejim yang mesra pasaran dan anti-komunis di seluruh Amerika Latin. Walaupun Venezuela sudah merdeka dan demokratik untuk tempoh tertentu, tetap berada dalam lingkungan pengaruh ekonomi dan politik AS.
Campur tangan secara tidak langsung, tekanan diplomatik, dan pengaruh korporat minyak asing menjadi sebahagian daripada realiti geopolitik negara itu. Tetapi hubungan ini berubah apabila munculnya Hugo Chaves pada akhir 1990-an.
Kemenangan Chavez pada 1998 menandakan titik perubahan yang radikal. Dengan ideologi ‘Revolusi Bolivarian, Chavez secara terbuka mencabar dominasi AS dan mengkritik neoliberalisme dan menasionalisasikan industri minyak. Venezuela bawah Chavez bukan sahaja menentang secara retorik, tetapi juga membina pakatan alternatif dengan Cuba, Rusia, China dan Iran.
Cubaan rampasan kuasa pada 2002 yang kemudiannya gagal sering disebut sebagai bukti campur tangan geopolitik AS, sama ada secara langsung atau tidak langsung. Sejak itu, ketidakpercayaan Venezuela terhadap AS menjadi begitu mendalam dan sistemik.
Konflik itu bukan lagi sekadar pertikaian diplomatik, tetapi pertarungan ideologi antara sosialisme nasionalis Amerika Latin dan kapitalisme global yang dipimpin AS.
Selepas kematian Chavez, Maduro bukan sahaja mewarisi kuasa politik, tetapi juga konflik geopolitik yang belum selesai. Krisis ekonomi Venezuela dan ditambah dengan sekatan ekonomi oleh AS memburukkan keadaan sosial dan politik negara itu.
AS kemudiannya mengalihkan strategi daripada sekatan semata-mata pada pendekatan undang-undang dan mengaitkan dengan jenayah antarabangsa. Pendakwaan terhadap pemimpin tertinggi Venezuela atas dakwaan pengedaran dadah, rasuah dan pelanggaran hak asasi manusia membawa konflik itu pada tahap baharu.
Naratif ‘tangkapan pemimpin Venezuela’ membawa mesej bahawa AS bukan sahaja ingin menekan sebuah negara, tetapi juga menafikan keabsahan kepimpinan politiknya di mata dunia. Dalam konteks geopolitik, tindakan menahan atau mendakwa pemimpin negara asing bukanlah langkah neutral.
Sebaliknya membawa maksud penahanan secara undang-undang menjadi instrumen untuk melemahkan legitimasi kerajaan yang enggan tunduk kepada kepentingan geopolitik AS. Masa yang sama memberi isyarat kepada negara-negara Global Selatan bahawa penentangan terhadap orde liberal Barat menelan nilai yang tinggi.
Menormalisasi campur tangan undang-undang antarabangsa secara selektif oleh AS
adalah emperalatkan sistem perundangan sebagai lanjutan pada dasar luar sekalipun banyak menerima kritikan. Penahanan pemimpin tertinggi Venezuela dilihat sebagai lanjutan kolonialisme moden – melalui undang-undang, sekatan dan kuasa kewangan global.
Tindakan AS terhadap pemimpin Venezuela tidak berlaku dalam vakum. Rusia, China, Iran dan beberapa negara Amerika Latin melihatnya itu sebagai pencabulan kedaulatan negara. Konflik itu mempercepatkan polarisasi dunia kepada blok-blok kuasa yang saling mencabar legitimasi antara satu dengan yang lain.
Dalam konteks dunia multipolar, kes Venezuela menjadi contoh bagaimana konflik dua hala boleh memberi kesan pada global. Daripada pasaran tenaga, migrasi serantau hinggalah pada perbahasan tentang masa depan undang-undang antarabangsa.
Penahanan pemimpin Venezuela oleh AS tidak boleh dianggap sebagai peristiwa terpencil atau isu undang-undang semata-mata. Itu adalah manifestasi sejarah panjang konflik geopolitik, perebutan sumber tenaga, pertentangan ideologi, dan campur tangan kuasa global.
Apa yang berlaku antara AS dan Venezuela melahirkan persoalan lebih besar – siapakah yang berhak menentukan legitimasi kerajaan sesebuah negara? Adakah kedaulatan negara lain masih dikuasai oleh kuasa besar? Sejauh manakah undang-undang antarabangsa menjadi benar-benar bebas daripada kepentingan geopolitik kuasa global?
Dalam konflik ini, Venezuela mungkin kelihatan sebagai pihak yang lebih lemah, tetapi sejarah menunjukkan bahawa penentangan terhadap hegemoni sering bermula dari pinggir dunia dan kesannya mampu menggoncang pusat kuasa global itu sendiri. Ini satu peringatan kepada kuasa besar seperti AS bahawa penentangan pasti terus marak seperti kata pejuang, ‘semut dipijak lagikan menggigit, inikan pula harimau luka di pinggir belantara. – KAYANG POST