
Oleh Ku Seman Ku Hussain
DALAM politik Amerika Syarikat (AS), Donald Trump sentiasa diingat sebagai presiden terburuk dalam sejarah negara itu. Trump menjadi bukti kegagalan sistem demokrasi – memilih populariti bukan kualiti. Daripada sistem itulah Trump menjadi paradoks, sebuah kuasa besar dunia dipimpin oleh bintang program televisyen realiti.
Di mana-mana juga begitulah sistem demokrasi yang mengangkat calon popular yang tidak semestinya berkualiti. Sekiranya mendapat yang berkualiti, itu hanya satu kebetulan kerana sistem demokrasi memilih individu yang mendapat undian terbanyak.
Fenomena Trump akhirnya memberitahu kita satu kesimpulan bahawa demokrasi tidak lagi memilih pemimpin berdasarkan kualiti kepimpinan, tetapi berpaksikan populariti. Sistem demokrasi yang kononnya mendukung kebebasan politik dalam memilih pemimpin juga melahirkan pemimpin terburuk seperti Trump.
Trump adalah manifestasi paling jelas kegagalan sistem demokrasi. Malah mencerminkan sistem politik itu semakin berubah menjadi pertandingan mencari calon pemimpin paling popular. Selagi demokrasi bergantung pada emosi massa, selama itulah individu seperti Trump sentiasa berpotensi dipilih sebagai pemimpin.
Dalam demokrasi kemenangan tidak selalu milik individu yang paling bijaksana. Pemimpin tidak lagi dinilai pada kedalaman pemikiran, tetapi sejauh mana kemampuan mencetuskan emosi, menarik perhatian media dan mudah melekat dalam ingatan massa.
Trump menguasai semua itu dengan cemerlang. Slogannya ringkas. Bahasanya kasar, tetapi mudah difahami oleh semua lapisan rakyat. Retoriknya tidak kompleks, tetapi sangat menguasai emosi massa.
Trump digambarkan presiden paling tidak konvensional dalam sejarah AS. Sebenarnya istilah ‘tidak konvensional’ itu terlalu lunak kerana yang lebih tepat adalah kepimpinan yang kacau bilau, implusif dan tidak berakar daripada strategi geopolitik yang jelas.
Dalam keadaan yang sangat bercempera itu, logik kejayaannya sangat mudah – siapa paling menarik perhatian, dialah yang menang. Trump memahami logik itu dengan sempurna. Sebelum menjadi presiden sebanyak dua kali, Trump sudah lama membina persona sebagai bilionaire flamboyan dan bintang program televisyen realiti.
Kalau presiden AS yang lain sering dikritik kerana dasar luar yang agresif atau kegagalan domestik, tetapi Trump dikritik disebabkan kegagalan sesuatu yang sangat asas – kepimpinan yang keliru dan kacau bilau. Dia lebih sesuai beraksi sebagai bintang program televisyen realiti daripada menjadi presiden AS.
Di situlah tragedi pada sistem demokrasi bermula. Demokrasi sepatutnya menjadi mekanisme memilih pemimpin yang paling berwibawa dan bijaksana. Tetapi pada era media sosial, demokrasi semakin menyerupai pertandingan menyukat populariti. Politik berubah menjadi drama dan Trump adalah pelakon utamanya.

Tindakan menyerang Iran menjadi bukti paling nyata di mana sebuah keputusan paling besar dibuat pada asas logik yang sangat kabur. Serangan yang bermatlamat menunjukkan kekuatan AS menimbulkan lebih banyak persoalan daripada jawapan.
Antara persoalan yang tidak dijawab Trump adalah kekaburan pelan jangka panjang daripada tindakan menyerang Iran. Apakah sekadar menunjukkan satu lagi demontrasi kuasa yang lahir daripada naluri politik spontan? Dalam politik antarabangsa, keputusan perang lahir daripada perkiraan yang sangat teliti.
Penganalisis dan pemerhati keselamatan menggambarkan pendekatan Trump sebagai ‘commander-in-chaos’ mengendalikan konflik dengan mesej bercanggah dan tanpa hala tuju strategik yang jelas. Trump mencatat nama sebagai presiden yang paling buruk pernah dipilih menerajui negara kuasa besar itu.
Pada era Trump keputusan atas sesuatu tindakan lebih menjurus pada improvisasi yang tidak mendalam dan tidak ada perancangan. Apabila pemilik kuasa nuklear terbesar dunia berimprovisasi dalam geopolitik, dunia tidak melihatnya sebagai keberanian, tetapi kekacauan.
Trump tidak muncul daripada tradisi kepimpinan AS yang biasa. Malah dia bukan produk sekolah diplomasi, bukan juga hasil asuhan birokrasi politik Washington. Sebaliknya Trump muncul daripada dunia kapitalisme hiburan — dunia televisyen realiti, penjenamaan peribadi dan sensasi di media.
Konflik Iran memperlihatkan kelemahan paling ketara dalam kepimpinan Trump. Dalam sejarah AS, semua peperangan besar disertai naratif moral yang kuat sekalipun hanya dibuat-buat. Perang Dunia Kedua dinaratifkan sebagai perjuangan menentang fasisme. Perang Dingin dilihat sebagai pertarungan ideologi antara kapitalisme dan komunisme.
Tetapi serangan ke atas Iran tidak memiliki naratif sedemikian. Tanpa naratif moral yang jelas, tindakan ketenteraan terhadap Iran kelihatan seperti keputusan seorang presiden yang menunjukkan kekuatan tanpa memikirkan implikasi jangka panjang.
Lebih buruk lagi, tindakan seperti itu berisiko mengulangi kesilapan sejarah seperti pencerobohan Iraq pada tahun 2003. Perang Iraq yang kononnya bertujuan membawa kestabilan dan demokrasi akhirnya menjerumuskan rantau Asia dalam kekacauan yang panjang.
Sejarah selalu mengingatkan bahawa kuasa besar jarang tumbang kerana kurang kekuatan, tetapi jatuh disebabkan kurang strategi. Itulah AS pada zaman Trump. Untuk memahami Trump, kita tidak boleh sekadar melihat individu berkenaan sahaja. Trump hanya simptom daripada suatu krisis yang lebih besar yang melanda sistem demokrasi itu sendiri.
Demokrasi sering dipuji sebagai sistem terbaik untuk memilih pemimpin. Tetapi hakikatnya demokrasi tidak pernah menjanjikan bahawa rakyat bebas memilih pemimpin yang berkualiti. Demokrasi hanya menjamin satu perkara sahaja iaitu kebebasan memilih daripada yang terpilih.
Masalahnya, kebebasan memilih tidak semestinya menemukan hasil pilihan yang bijaksana. Dalam masyarakat yang dibanjiri propaganda media, persepsi selalu menggambil tempat menggantikan realiti, individu yang paling hebat menguasai naratif awam mempunyai potensi mencapai kemenangan.
Trump memahami perkara itu lebih awal daripada kebanyakan ahli politik AS lainnya. Dia tidak cuba untuk kelihatan seperti negarawan klasik , tetapi memilih menjadi pemberontak sistem yang melingkarinya. Akhirnya sistem yang sama memilih pemberontak menjadi presiden.
Trump juga memperkenalkan gaya politik yang semakin dominan pada era moden. Daripada mengekalkan kestabilan naratif, dia mencipta kontroversi secara berterusan. Setiap hari ada kenyataan baharu. Strategi itu sebenarnya memberikan kesan psikologi yang sangat kuat.
Apabila rakyat dibanjiri terlalu banyak kontroversi, akhirnya mereka menjadi letih untuk menilai semuanya secara kritikal. Dalam keadaan yang sedemikian, pilihan politik tidak lagi bergerak atas hujah yang rasional, tetapi mengikut gelombang emosi massa yang sentiasa berubah.
Adalah satu kesilapan besar kalau ada yang menganggap Trump sebagai sejarah yang malang. Dia bukan malang tetapi satu hasil logik daripada sistem demokrasi yang semakin dipengaruhi oleh kapitalisme media. Siapa yang paling mampu menguasai perhatian awam mempunyai kuasa politik yang besar.
Trump memahami perhatian itu dengan sangat baik. Dia sangat tahu bahawa kontroversinya lebih kuat daripada hujah rasional. Malah dia juga tahu bahawa sensasi lebih cepat menyebar daripada analisis yang mendasar. Hakikatnya Trump belum berubah daripada bintang program televisyen realiti kepada seorang presiden.
Maka tentulah bukan suatu yang menghairankan apabila Pengarah National Counterterrorism Centre, Joe Kent meletakkan jawatan pada Selasa kerana menentang tindakan Trump menyerang Iran. Hal itu membuktikan Trump tidak mengambil kira pandangan orang yang ahli, dia membuat keputusan yang besar seperti improvisasi di pentas teater. – KAYANG POST