Tidak semua lorong kehidupan indah dan damai. (Gambar Unspalsh)

MASA lalu adalah sebuah wilayah yang tidak dapat kita diubah dan terus hidup dalam ingatan. Ada masa lalu yang manis membuatkan kita tersenyum setiap kali mengenangnya. Tidak kurang juga yang pahit dan membuat hati pedih dan jiwa terluka.

Berdamai dengan masa lalu bukan satu perkara yang mudah. Hal itu menuntut keupayaan untuk menerima hakikat bahawa sesuatu yang telah berlaku tidak akan berpatah balik. Misalnya kita pernah gagal dalam mencapai cita-cita atau menjalani kehidupan yang hitam.

Orang yang enggan berdamai dengan masa lalu pasti terus hidup dalam penjara kenangan. Sebaliknya, orang yang berdamai dengan masa lalu memilih untuk menutup bab yang usang, lalu menulis bab baharu dengan lebih matang.

Masa lalu adalah anugerah yang sangat tinggi kepada setiap manusia. Tidak kiralah sama ada pahit atau manis. Kedua-duanya mempunyai peranan yang tersendiri dalam mencorakkan kehidupan pada masa kini dan masa depan. Masa lalu adalah pengalaman, masa depan adalah peluang untuk membetulkan kehidupan.

Lihatlah deritanya mereka yang diuji dengan hilang ingatan atau ingatan singkat disebabkan kecederaan di kepala atau masalah-masalah lain. Mereka hilang kemanisan mahupun kepahitan untuk dikenang.

Peristiwa yang manis dijadikan kenangan dan aspirasi dalam meneroka kehidupan. Sementara yang pahit pula sebagai kompas untuk tidak melalui laluan yang sama dalam membina masa depan. Itulah iktibar masa lalu yang perlu dilihat dengan sangka yang baik.

Masa lalu adalah lorong mrnuju masa depan. (Gambar Unspalsh)

Kita perlu realistik bahawa tidak semua lorong kehidupan dipenuhi taman-taman yang indah. Ada ketikanya laluan kita penuh dengan duri dan kepahitan. Semua itu ditinggalkan pada garis masa lalu. Sekalipun begitu ada kalanya yang pahit kembali menjelma di layar ingatan.

Apabila berada dalam keadaan sedemikian, ada memilih untuk melarikan diri daripada ingatan pahit itu. Tidak kurang juga cuba membenamkan sedalam-dalam supaya terputus dari ingatan. Bagaimanapun hakikatnya, masa lalu tidak pernah mati. Ia hidup dalam diri dan sentiasa hadir sebagai bayangan yang pernah dilalui.

Ada sesetengah orang berkata, “Lupakanlah masa lalu.” Saranan itu tidak menyelesaikan masalah tentang masa lalu yang pahit. Lagi pula kita tidak mampu menafikan yang masa lalu itu pernah wujud. Cara terbaik berdamailah dengan masa lalu yang sebenarnya adalah pengalaman hidup yang berharga.

Sekalipun begitu banyak menjadikan masa lalu itu sebagai halangan untuk terus melangkah ke depan. Banyak yang masih terikat dengan kegagalan semalam dan menafikan esok adalah hari baharu yang terbentuk daripada hari-hari sebelumnya. Menafikan hakikat itu hanya membuatkan kita terus terpasung dalam belenggu yang tiada penghujung.

Sikap dalam kalangan masyarakat juga menjadikan masa lalu yang pahit itu bukan sebagai pengalaman yang berharga. Banyak yang menganggap individu yang pernah melalui pengalaman hitam tidak mempunyai ruang untuk mencorakkan masa depan.

Hal yang demikian menjadikan ada yang mahu melupakan pengalaman pahit itu untuk selama-lamanya. Tetapi hakikatnya bahagia yang sebenar bukanlah melupakan, tetapi berdamai dengan masa lalu. Berterusan menafikan hanya menjadikan kita terpenjara dalam sejarah sendiri.

Berdamai dengan masa lalu tidak bermakna merestui setiap kesilapan yang dilakukan. Tetapi mengakui bahawa sesuatu itu sudah berlaku. Masa yang sama tidak wajar membiarkan keadaan sedemikian merampas bahagia yang dikecapi hari ini.

Mengambil sikap yang sedemikian juga mengajar kita memahami erti syukur. Barangkali kalau tidak disebabkan kepahitan yang dulu, mungkin kita tidak mengenal makna ketabahan yang menyimpulkan banyak hikmah daripadanya.

Percayalah bahawa bahagia itu tidak datang daripada kisah-kisah yang indah sahaja, tetapi juga daripada kemampuan kita menerima sesuatu yang luka dan pahit. Bahagia yang lahir daripada tindakan itu adalah suatu yang realistik dan matang.

Tindakan itu memberikan ketenangan kerana kita tidak lagi berperang dengan diri sendiri. Tidak lagi membenci siapa diri kita yang dahulu, sebaliknya menghargai kepahitan sebagai pemula sebuah kebahagiaan yang baharu.

Percayalah, bahagia yang sebenar bukanlah dengan menunggu hingga dunia menjadi sempurna. Tetapi menerima hakikat hidup yang tidak akan pernah sempurna. Berdamai bukan menunjukkan kita lemah, tetapi keupayaan kita membuat pilihan untuk merdeka.

Setiap dalam kalangan kita tetap mempunyai peluang kedua. Peluang itu datang daripada kesedaran akan kuasa takdir. Apabila menerima hakikat yang masa lalu tidak dapat diubah, kita akan segera berhenti daripada membazir waktu. Masa depan dan masa lalu adalah sepasang layar bahtera yang membawa kita mengembara dalam kehidupan yang ada hitam putih dan suka dukanya.

Berdamai dengan masa lalu adalah hadiah yang diberikan kepada diri sendiri. Bukan untuk melupakan kisah yang pernah menggores hati, tetapi menerima bahawa semua itu adalah sebahagian daripada kehidupan. Hidup ini terlalu singkat untuk terus terikat dengan bayangan semalam. Dengan hati yang tenang kita dapat melangkah menuju esok yang lebih bermakna.- KU SEMAN

Tulisan ini kali pertama disiarkan di portal step.com 12 September 2025.

Please follow and like us:

Author / Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *