Pramoedya antara sasterawan dan sejarawan.

Oleh Ku Seman Ku Hussain

PADA 6 Februari 2025 lalu genap 100 tahun kelahiran sasterawan dan budayawan Pramoedya Ananta Toer. Satu hal yang harus dikagumi daripada Pramoedya adalah semangat yang luar biasa sebagai penulis. Beliau terus menulis dan tidak peduli apa juga tentangan kerana itu sahaja cara melawan kuasa yang lebih besar.

Bahkan ketika berhadapan keadaan yang amat menyeksakan sebagai tahanan politik, Pramoedya tetap menulis. Malah beliau berpesan, “Orang boleh pandai setinggi langit, tapi selama ia tak menulis, ia akan hilang di dalam masyarakat dan dari sejarah. Menulis adalah kerja untuk keabadian.”

Tetralogi Puau Buru yang monumental itu ditulis ketika ditahan di Pulau Buru dan menjadi bukti bahawa suaranya yang cuba dibungkam itu tidak terbenam. Tetralogi itu memuatkan novel Bumi Manusia diterbitkan pada 1980, Anak Semua Bangsa (1981), Jejak Langkah (1985) dan Rumah Kaca (1988).

Semua karya itu mengukuhkan kedudukan Pramoedya sebagai sasterawan bertaraf dunia dan sejarawan penting abad ke 20. Beliau percaya, berfikir dengan merdeka menjadi satu prasyarat untuk melawan penjajah dan pemerintah yang tidak adil dan menafikan hak bersuara.

Pramoedya yang menutup usia pada 30 April 2006 meninggalkan sejumlah karya yang membawa gugusan semangat juang memerdekakan pemikiran anak semua bangsa. Sempena ulang tahun ke 100 sosok kelahiran Blora itu berbagai-bagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam dan luar negara mengambil daya usaha menganjurkan acara memperingatinya.

Di negara ini, Gerak Budaya menganjurkan program ‘100 Tahun Pramoedya Ananta Toer’ pada 15 Februari 2025 lalu di premis di Petaling Jaya. Antara pembicara adalah pakar ekonomi Dr Jomo K Sundram dan ahli akademik yang juga sasterawan, Faisal Tehrani,

Di negara kelahirannya, Indonesia hampir semua portal berita menyorot kembali tentang sejarahnya – yang dilalui dan juga diciptanya. Keadaan itu menunjukkan Pramoedya tidak pernah ‘mati’ selepas kepulangan yang abadi.

Itulah yang membezakan beliau dengan Suharto yang tersungkur di kaki reformasi tahun 1998 dan menutup usia pada 27 Januari 2008. Suharto lebih diingati sebagai musuh rakyat berbanding pejuang. Semuanya disebabkan sikapnya yang tidak bertangguh sedikit pun untuk menghukum empunya suara yang berbeza – termasuk Pramoedya.

Disebabkan itu, 100 tahun kelahiran Pramoedya wajar menjadi penanda aras tidak ada lagi penindasan terhadap mana-mana individu yang menyuarakan pandangan bertentangan secara damai. Pelakuan sedemikian, tidak kira di negara mana sekalipun mesti ditentang dan dilawan.

Tetralogi Pulau Buru

Karya-karya Pramoedya amat menggugah kesedaran, antaranya disebabkan keupayaan menyingkapkan sejarah negara yang kerap disembunyikan. Tidak kurang juga mengangkat watak-watak yang mencerminkan tentang bangsa. Watak-watak itu sama ada imaginasi atau cerminan sosok nyata amat hidup dalam jiwa anak-anak muda semua bangsa selepas zamannya.

Empat novel yang ditulis semasa ditahan di Pulau Buru.

Karya agung terutamanya dalam Tetralogi Pulau Buru bukan sekadar cerita, tetapi yang utama sebuah kembara rohani, menyelami kehidupan, memaknakan peristiwa sejarah selain menyorot pada sisi kemanusiaan. Setiap karyanya pula menyimpan nyawa dan membawa suara bagi yang telah ‘dipotong’ lidahnya.

Lihat sahaja Bumi Manusia di mana watak utamanaya, Minke adalah bangsawan kecil Jawa yang tercermin daripada sosok nyata Tirto Adisuryo , tokoh pergerakkan massa zaman Belanda. Adisuryo mendirikan Syarikat Priyayi yang diperakui Pramoedya sebagai pertubuhan kebangsaan pertama.

Pramoedya menghabiskan sebahagian daripada usianya dalam penjara kerana menulis. Penjajah Belanda, rejim Orde Lama (Sukarno) dan rejim Orde Baru (Suharto) amat takut kepada penulis dan sasterawan. Pada 1947, Pramoedya ditangkap hanya kerana menyimpan dokumen gerakan sulit dan dipenjarakan hingga 1949 .

Di Pulau Buru, beliau amat terseksa, selain dipaksa kerja berat Pramoedya juga dihalang menulis. Tdak ada satu peralatan pun, hatta sebatang pencil dan kertas. Yang ada hanya kertas tandas. Lampu di kem tahanan pula ditutup pada pukul 8 setiap malam dan waktu siangnya penuh dengan kerja berat.

Dalam satu wawancara dengan surat khabar Indonesia, Pramoedya memberitahu, pada tahun 1972, Jeneral Soemitro melawat ke Pulau Buru dan bertanya apakah bantuan yang beliau perlukan? Pramoedya tidak meminta dibebaskan, sebaliknya dengan pantas menyebut – meja tulis, mesin taip, pencil dan kertas.

Permintaan tersebut segera dipenuhi oleh Jenderal Soemitro dan hasilnya adalah Tetralogi Pulau Buru. Berkarya adalah tugas mencabar yang melibatkan pemikiran yang secara tidak langsung berkait dengan keadaan di sekitar kehidupan penulisnya.

Maka keupayaan Pramoedya menghasilkan empat novel ketika tubuh dan jiwanya terseksa di Pulau Buru didorong matlamat perjuangan yang amat jitu. Itulah kekuatannya yang sebenar.

Tetapi malang, Tetralogi Pulau Buru diharamkan sebaik sahaja diterbitkan pada awal tahun 1980-an. Ketakutan melampau rejim Orde Baru itu berakhir selepas Suharto digulingkan pada 1998. Sejak itu semua karya Pramoedya bebas daripada sekatan. Malah beliau juga boleh bercakap kepada umum termasuk menjadi tetamu di luar negara.

Maka hadiah besar reformasi 1998 pada negara adalah membawa kembali Pramoedya ke depan umum dan menyebar luas karya-karya yang yang sebelumnya diharamkan. Suara Pramoedya yang cuba dibisukan kembali bergema seluruh dunia apabila diterjemah lebih 30 bahasa termasuk bahasa Inggeris, Jerman dan Perancis.

Terkait dengan Lekra

Namanya terkait dengan Lembaga Kebudayaan Rakyat (Lekra) yang didakwa proksi Partai Komunis Indonesia (PKI) memberikan kesan amat besar pada hidupnya. Hal itu membuatkan tanggapan serong dalam kalangan teman sasterawan dan wartawan sezaman tidak pernah berakhir.

Novel Keluarga Gerilya pernah dijadikan buku teks sastera di Malaysia tahun 1970-an.

Pramoedya kehilangan banyak kawan yang awalnya sama-sama berjuang dalam sastera dan kewartawanan. Keadaan itu didorong juga oleh pengaruh politik dan ledakan ideologi yang menjadikan Pramoedya sebagai pihak yang dicurigai dan dijauhi.

Beliau antara sasterawan malang yang terjebak dalam dinamika politik yang luar biasa pada zamananya – ketika penjajahan Belanda hingga Orde Baru. Apa lagi selepas Gestapu 1965 PKI diharamkan dan komunisme diperangi hingga ke akar tunjang. Pramoedya dilihat sebagai sisa komunisme yang ada, maka beliau ditentang semahunya.

Meskipun kontroversinya terus diperdebatkan hingga kini, sumbangannya pada negara yang terlalu besar sukar untuk dinafikan. Semua itu tidak terpadam dengan prasangka yang tidak berhujung oleh teman-teman yang berbeza pola fikir dan ideologi.

Keadaan itu menjadikan Promoedya hampir keseorangan berdepan halangan dan sekatan. Tokoh sastera dan wartawan misalnya menentang keras pemilihannya sebagai penerima Anugerah Ramon Magsaysay oleh kerajaan Filiina tahun 1995. Antaranya Mochtar Lubis dan Taufik Ismail.

Taufik Ismail mengingatkan penganjur anugerah itu tentang ‘siapa Pramoedya’ dan ‘sisi gelap’ yang tidak banyak diketahui umum. Mochtar Lubis pula mengugut memulangkan anugerah Ramon Magsaysay yang diterima pada 1958 sekiranya tidak membatalkan anugerah kepada Pramoedya.

Sekalipun begitu Pramoedya berulang kali menafikan tulisannya membawa pesan-pesan yang boleh difahami sebagai komunisme. Malah hingga akhirnya pemerintah tidak menemukan bukti keterlibatannya dengan PKI, biarpun ketika itu sudah 14 tahun Pramoedya dikurung termasuk 10 tahun di Pulau Buru.

Arok Dedes dan Suharto

Suharto adalah satu-satunya Presiden Indonesia yang tindakannya dllihat amat memusuhi Pramoedya. Beliau terlibat dalam menangkap dan menahan Pramoedya di Pulau Buru selepas peristiwa Gestapu pada 30 September 1965. Kemudian menduduki kerusi Presiden pada 1967, Pramoedya terus disunyikan dalam tahanan.

Aros Dedes novel pensejarahan baharu yang ditujukan kepada Suharto.

Sekalipun begitu, pada sisi Pramoedya pula hampir tidak sekali pun kecaman terhadap Suharto secara nyata. Banyak daripada karyanya mengambil latar zaman lampau terutamanya Belanda dekad 1930-an. Tetapi tidak ada karya yang berlatarkan pasca merdeka atau era rejim Orde Baru.

Bahkan ketika dalam keadaannya yang amat uzur pada hujung usia, Pramoedya bertanya tentang Suharto kepada teman-teman yang datang melawat. Beliau tersenyum apabila diberitahu Suharto masih hidup dan sihat. Seperti langsung tidak ada dendam peribadi sekalipun kuasa Suharto telah meragut sebahagian usia merdekanya di luar undang-undang.

Cuma Arok Dedes (1979), sebuah novel pensejarahan baharu yang diangkat daripada kitab purba Jawa, Parataton pada abad ke 12 yang dilihat terkait secara berseni dan halus dengan Suharto. Biarpun berkisar mengenai kudeta (rampasan kuasa) pertama di tanah Jawa, tetapi jalinan watak dan peristiwa mengingatkan cara Suharto menjadi Presiden.

Disebabkan itu, mengangkat kudeta zaman silam yang amat licik mengingatkan pada perkara sama yang melibatkan Suharto. Daripada novel Arok Dedes, Pramoedya menyelitkan bayangan Suharto di sebalik naratif kitab Parataton. Tidak hairanlah banyak dalam kalangan pemerhati politik percaya, itulah ‘peluru’ yang dihalakan secara agak terang kepada Suharto.

Arok Dedes tentang pakatan jahat antara orang istana dan orang awam yang cerdik dan berpangkat tetapi rakus. Masing-masing merangkak mencuba nasib menjadi raja tunggal di tanah Jawa. Kudeta itu amat terancang, , tangan Arok iaitu pelaku sebenar sedikit pun tidak tercemar kesan darah daripada kejahatannya.

Raja Tunggul Ametung dibunuh oleh isterinya sendiri, Ken Dedes hasil perancangan licik Arok yang kemudiannya menjadi raja pertama dan pendiri kerajaan Singasari. Pelaku sebenar kudeta itu dijulang sebagai manusia terhormat dan mendapat kuasa yang seluas lautan.

Pramoedya membawa rakyat menjelajah layar masa lalu dan memetik iktibar daripada sejarah. Bukan hanya tentang tokoh, tetapi juga kepemimpinan, upaya manusia, kepercayaan, dan sifat manusia yang cenderung mengulangi sesuatu pada masa depan. Salah satunya kudeta politik lanjutan Gestapu pada 1965 di mana Suharto didakwa menjadi aktor belakang tabirnya.

Indonesia banyak terhutang kepada Pramoedya yang mengangkat citra dan kekayaan sastera ke seluruh dunia. Sekalipun dijauhi, dipinggirkan malah dipadamkan daripada sastera Indonesia pada zamannya, Pramoedya hingga akhir hayatnya tetap gigih menulis demi negara.

Akhirnya, sesudah kita menyoroti sedalamnya sebahagian besar atau semua karyanya, Pramoedya seperti berbisik kepada kita, ‘Belajarlah daripada sejarah.’ Daripada sejarah kita melihat masa lalu sebagai kompas untuk menuju masa depan yang panjang.

Nota: Tulisan ini kali pertama disiarkan di portal Seni Malaya pada 1 Mac 2025.

Please follow and like us:

Author / Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *