Rejim Zionis sekali lagi melancarkan provokasi apabila buat pertama kali selepas Perang Arab – Israel 1967, Israel   mengarahkan supaya masjid al Aqsa ditutup daripada diadakan sembahyang Jumaat pada 14 Julai lalu. Alasannya berlaku serangan terhadap anggota polis Israel di dalam kawasan majlis berkenaan. Seperti biasa   Palestin dituduh sebagai penyerangnya.

Provokasi terbaru ini kembali meningkatkan ketegangan antara Israel – Palestin, dilihat sebagai salah satu pendekaan mengubah status quo tempat suci umat Islam daripada dikuasai oleh Islam kepada Yahudi. Ini berlaku selepas lawatan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump ke Israel bukan kebetulan. Tidak ada kebetulan. Ini perancangan. Walaupun kini urus tadbir masjid dilakukan oleh sebuah badan Islam tetapi kawasan di sekitarnya dikuasai secara mutlak oleh Israel.

Sekalipun isunya hanya penutupan masjid al Aqsa daripada diadakan sembahyang Jumaat tetapi agenda tersiratnya memberikan kesannya amat besar kepada Islam dan dunia Islam. Ini membayangkan satu demi satu yang berkenaan dengan keagungan Islam akan dilenyapkan di negara asal Palestin ini. Selangkah demi selangkah pula hak Palestin terundur, selangkah demi selangkah Israel ke depan.

al-Aqsa menyimpan beribu-ribu manuskrip dan artifak yang bernilai tinggi dari segi ketamadunan Islam. Tindakan rejim Zionis mahu menguasai al-Aqsa membayangkan keselamatan beribu-ribu manuskrip dan artifak berada dalam keadaan yang sangat terancam. Kalau kubur sahabat Nabi Muhammad SAW pun boleh digali, apalah sangat dengan manuskrip dan artifak di dalam masjid.

Di mana Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan suara pemimpin-pemimpin negara Islam ketika Zionis melancarkan provokasi untuk mengubah status quo daripada tempat suci ketiga umat Islam kepada milik Yahudi? Bukan kali ini sahaja OIC mengambil pendekatan retorik – bersuara ala kadar dan sangat tidak bermaya. Malah sudah beberapa kali apabila berlaku sesuatu terhadap dunia Islam atau Palestin, OIC dilihat sangat tidak proaktif setaraf dengan kedudukannya sebagai badan dunia kedua selepas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Sebenarnya sejarah awal penubuhan OIC adalah untuk menyelamatkan al-Aqsa yang dibakar Yahudi pada 21 Ogos 1969. OIC adalah bukti tindakan proaktif pemimpin-pemimpin negara Islam ketika itu untuk menyelamatkan al-Aqsa. Hasilnya pada 25 September tahun yang sama 57 ketua negara Islam berpakat menubuhkan OIC iaitu Pertubuhan Persidangan Negara-Negara Islam yang sekarang dikenali sebagai Pertubuhan Kerjasama Islam. Ini bermakna agenda melindungi al-Aqsa daripada dicemari oleh rejim Zionis mesti menjadi keutamaan OIC.

Memikul tugas besar sebagai satu-satunya badan dunia yang memperjuangkan hal ehwal negara Islam, OIC mesti melihat provokasi ini di luar pandangan sambil lewa dan sempit. Provokasi ini adalah kesempatan yang diambil kerana kelekaan badan seperti OIC melindungi tempat yang mempunyai signifikan yang sangat besar kepada Islam. Siapa lagi yang hendak diharapkan bersuara dalam isu yang melibatkan kepentingan Islam kalau bukan OIC? Adakah OIC mengharapkan badan dunia seperti PBB atau Liga Arab yang condong kepada kepentingan AS dalam membuat sebarang ketetapan?

Pada 2015 lalu Israel telah melakukan provokasi menutup laluan ke al-Aqsa sekaligus melarang orang Islam mengerjakan sembahyang di masjid berkenaan. Ini bukan larangan biasa tetapi mempunyai agenda untuk mengubah status qou masjid berkenaan yang selama ini menjadi milik mutlak umat Islam. Peraturan terbaru itu mencetuskan ketegangan di Baitulmuqdis sekali gus membayangkan akan mengundang intifada terbaru Palestin untuk berjuang sampai mati mempertahankan al-Aqsa.

Briged al-Qassam

Ketika itu pejuang berani mati sayap kanan Hamas iaitu Briged al-Qassam berada di barisan depan. OIC masih terhegeh-hegeh mungkin baru bangun dari tidur ketika pejuang Briged al-Qassam gugur syahid mempertahankan al-Aqsa. Usaha menyelamatkan al-Aqsa daripada jatuh ke tangan Yahudi bukan sahaja tanggungjawab Palestin menerusi sayap Hamas iaitu Briged al-Qassam tetapi seluruh pemimpin-pemimpin negara Islam terutama OIC. Tidak cukup hanya dengan bangun tidur di bilik mewah kemudian menulis dia tiga baris “kecaman” di Twitter. Tidak cukup. Ini lepas tangan namanya.

Advertisement

Sebelum ini rejim zionis mengenakan peraturan yang tidak masuk akal iaitu jemaah yang berusia 50 tahun ke atas tidak dibenarkan masuk ke kawasan masjid al-Aqsa yang dikuasai oleh Israel. Padahal semasa Persidangan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) 1947 telah membuat resolusi membahagi Palestin menjadi dua, separuh wilayah Palestin menjadi milik Yahudi dan selebihnya Arab.

Setahun kemudian pada 1948 lahirnya negara Israel dan Tel Aviv menjadi ibu kotanya. Tetapi selepas Perang Arab – Israel tahun 1967, Israel menduduki wilayah Arab Palestin termasuk menguasai Baitulmaqdis di mana berdirinya al-Aqsa. Tidak lama selepas itu disebabkan kejahatan yang tidak terbendung, Yahudi telah membakar al-Aqsa meliputi kawasan di puncak Bukit Zaitun yang terdapat kubah besar, Dome of the Rock yang dibina Khalifah Abdul Malik Ibn Marwan.

Sebagai langkah proaktif menyelamatkan al-Aqsa, barisan pejuang berani mati Briged al-Qassam membuat persiapan dengan melatih lebih 1,500 rekrut yang terdiri daripada pemuda-pemuda Palestin. Ini telah menggerunkan rejim zionis dan memaksa Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu campur tangan menafikan tindakan menutup laluan itu bukan bertujuan mengubah status qou masjid al-Aqsa.

Pada Julai 2015 juga , rejim zionis melancarkan pembersihan etnik melalui serangan udara dan darat terhadap Gaza dan membunuh tidak kurang 1,500 orang awam serta memusnahkan sekolah, masjid dan hospital yang kerugian dianggarkan sebanyak RM19 bilion. Provokasi ini adalah tindakan susulan untuk mengusir Palestin dari tanah air mereka sekaligus menafikan al-Aqsa sebagai tempat suci dan kiblat pertama umat Islam.

Sikap berdiam diri pemimpin-pemimpin negara Islam dan OIC adalah sesuatu yang sangat dikesali. Kesempatan ini dipergunakan oleh rejim zionis untuk mengurangkan pengaruh Palestin antaranya percubaan menutup al-Aqsa daripada orang Islam dan mendakwa masjid tersebut tempat suci Yahudi. Sekiranya pemimpin OIC dan pemimpin-pemimpin negara Islam toleran dengan provokasi ini, agenda Yahudi untuk menawan sepenuhnya tempat suci ketiga orang Islam itu akan mencapai kejayaan.

AS yang selama ini memayungi Israel untuk mengekalkan kuasa di Asia Barat berjaya mengalih perhatian dunia dengan propaganda kewujudan Negara Islam (IS) di sempadan Syria dan Iraq. Kekejaman rejim zionis menyerang orang awam di Gaza tenggelam dengan limpahan berita oleh agensi berita Barat tentang kekejaman IS. Tidak ada seorang pun Presiden AS waima Barack Obama yang “dijulang” oleh sesetengah pihak di Malaysia membantu Palestin. AS kelihatan sangat “simpati” dengan rakyat Syria yang menjadi mangsa IS. Ini satu muslihat untuk mengalih perhatian dunia.

Al-Aqsa mencatatkan sejarah penting umat Islam dalam peristiwa Israk dan Mikraj Nabi Muhammad SAW seperti yang dicatatkan dalam al-Quran. Ini bermakna status quo al-Aqsa tidak boleh berubah sampai bila-bila sebagai tempat suci umat Islam. Al Aqsa tidak boleh berubah menjadi tempat suci Yahudi sekalipun kini dalam penguasaan rejim zionis Israel.

Percubaan pihak Zionis untuk menjadikan al-Aqsa sebagai tempat suci Yahudi telah dimulakan sejak lama dahulu apabila mereka menggali di bawah kawasan masjid itu serta memindahkan tulang-tulang sahabat Nabi Muhammad SAW yang disemadikan di situ. Ini satu bentuk penghinaan kepada tempat suci Islam yang dilakukan secara konsisten oleh Yahudi.

Di pihak Yahudi pula, sama ada Netanyahu atau rejin Zionis setakat ini masing-masing berdolak dalik dan menafikan percubaan untuk menukar status quo Masjid al-Aqsa menjadi tempat suci Yahudi. Penutupan itu tidak mempunyai alasan yang munasabah kecuali memberikan isyarat bahawa kedudukan al-Aqsa kini dalam penguasaan Israel.

Maka dalam konteks masjid al-Aqsa yang kritikal sekarang ini, OIC tidak perlu mengambil masa yang terlalu lama untuk bertindak. OIC mesti kembali kepada matlamat penubuhannya sekalipun banyak yang skeptikal bahawa OIC hanya akan “tunggu dan lihat”.

Advertisement
Please follow and like us:

Author / Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *