Selepas menonton untuk kali yang saya sendiri tidak ingat filem All The President’s Men (1980), terfikir pula untuk menulis tentang integriti dua wartawan The Washington Post yang membongkar skandal Watergate melibatkan Presiden Richard Nixon. Filem yang diadaptasi oleh Alan J Pakula dari buku judul yang sama sangat memukau saya.

Saya sangat tertarik tentang keterlibatan wartawan dan pengarang mereka untuk mendedahkan kebobrokan seorang Presiden yang sangat berpengaruh pada dekad 1970-an. Sangat luar biasa bukan sahaja usaha tetapi keberanian kerana Nixon seorang Presiden yang paling berpengaruh.

Nixon dikaitkan dengan Watergate tetapi dia bertegas tidak terlibat semua skandal itu. Bagaimanapun apabila kuncu-kuncu Nixon akhirnya mengaku sebagai “orang Nixon”, dia tidak ada pilihan. Dia terpaksa meletak jawatan dalam keadaan yang sangat memalukan. Nixon terpaksa berbuat demikian apabila mereka yang digelar “All the President’s Men” mengaku menerima arahan daripada Nixon.

Satu adegan filem All The President’s Men

Saya terpikat mengikuti perkembangan skandal Watergate ini agak lama iaitu ketika di tingkatan dua selepas Nixon meletakkan jawatan pada 8 Ogos 1974 akibat skandal itu. Perkembangan itu saya ikuti daripada laporan akhbar arus perdana kita yang dilanggan oleh pihak perpustakaan sekolah.

Skandal Watergate tercetus selepas sekumpulan pencuri memecah masuk pejabat Parti Demokrat pada 17 Jun 1972. “Watergate” adalah merujuk premis pejabat Demokrat di Kompleks Watergate. Nixon ketika itu dalam kempen pemilihan semula sebagai Presiden mewakili Parti Republikan. Semua pencuri itu ditangkap dan mereka didapati mempunyai akses dengan Nixon dan White House.

Nixon telah “memperkudakan” Biro Siasatan Persekutuan (FBI) dan Agensi Perisikan Pusat (CIA). Kedua-dua agensi yang berkuasa dalam hal ehwal penyiasatan dan perisikan ini bertindak melindungi Nixon termasuk skandal dana kempen pilihan raya Presiden. Sekiranya tanpa restu FBI dan CIA, tidak ada pihak yang boleh mengambil tindakan ke atas Nixon.

Bob Woodward sekarang

Persoalannya kenapa akhirnya Nixon terpaksa juga meletakkan jawatan dalam keadaan yang sangat memalukan iaitu mengaku terlibat dengan skandal Watergate? Ada beberapa faktor yang sangat ketara antaranya.

1 – Adanya wartawan yang memperjuangkan kebenaran, Pengarang akhbar yang menjulang kebebasan akhbar untuk kepentingan rakyat. Wartawan The Washington Post Bob Woodward dan Carl Bernstein komited untuk mengapungkan kebenaran walaupun nyawa mereka terancam.

Akhbar yang dipimpin oleh pengarangnya, Ben Bradlee menyiarkan tidak kurang 200 berita pendedahan tentang skandal Watergate sepanjang dua tahun isu itu. Maruah dan prinsip kewartawanan yang tinggi membuatkan Pengarang The Washington Post itu tidak membiarkan dirinya dikawal oleh Nixon. Dia bertanggungjawab kepada seluruh rakyat Amerika bukannya untuk menjaga kerjaya politik Nixon. Bradlee telah meninggal dunia pada 22 Oktober 2014 pada usia 93 tahun.

The Washington Post menjadi mercu tanda kemenangan para wartawan menjulang maruah dan prinsip kewartawanan untuk bangkit dan melawan kuasa politik yang bobrok.

Advertisement

Pada masa yang sama akhbar dan wartawan kembali diyakini oleh rakyat bahawa tidak semua (wartawan dan pengarang) boleh dibeli secara tidak bermaruah dengan wang ringgit. Tanpa penglibatan secara langsung wartawan dan pengarang The Washington Post, Nixon mungkin terus kaya raya dengan kebobrokannya.

2 –  Amerika ketika itu mempunyai Pendakwaraya Khas yang berani, Archibald Cox yang mensapina semua pita rakaman di White House. Bukan suatu yang mudah tetapi tidak mustahil untuk membentangkan semua rakaman percakapan di White House di mahkamah. Ini membuatkan Nixon cuba menggunakan kuasanya mengarahkan pemecatan Cox tetapi tidak berjaya.

3 –  Ada Peguam Negara yang menjunjung integriti berbanding pangkat, kuasa dan wang. Dia adalah Elliot Richardson dan timbalannya William D. Ruckelshaus yang sanggup meletak jawatan kerana enggan menurut arahan Nixon supaya memecat Pendakwaraya Khas iaitu Cox. Akhirnya usaha Nixon menggagalkan pendakwaan sia-sia. Cox tidak dipecat dan Peguam Negara yang menggantikan Richardson juga mempunyai integriti yang tinggi.

4.  –  Tampil manusia mulia yang sanggup mengambil risiko memberi maklumat kepada dua wartawan The Washington Post, Bob Woodward dan Carl Bernstein. Dia adalah Pengarah Bersekutu FBI, W. Mark Felt. Dia dan dua wartawan itu merahsiakan identitinya lebih tiga dekad. Ketika itu dia hanya dikenali sebagai Deep Throat. Bagaimanapun majalah Vanity Fair pada edisi 31 Mei 2005 menyiarkan pengakuan Mark Felt yang berusia 91 tahun bahawa dia adalah Deep Throat.

Penulis J. Anthony Lukas dalam bukunya Nightmare: The Underside of Nixon Years (1976) mengesyaki bahawa Deep Throat ialah Mark Felt. Bagaimanapun Mark Felt bertindak bijak, dia tidak memberikan apa-apa reaksi seolah-olah andaian Lukas itu tidak ada kena mengena dengan dirinya.

Yang tragisnya banyak individu berpengaruh disyaki sebagai Deep Throat dan meninggal dunia sebelum Mark Felt mendedahkan dirinya. Antara mereka ialah Penasihat Nixon, John Ehrlichman meninggal dunia pada 1999, Setiausaha Akhbar Nixon, Ron Ziegler meninggal dunia pada 2003, Ketua CIA, William E. Colby meninggal dunia pada 1996 dan Pemangku Pengarah FBI, L. Patrick Gray yang tinggal hanya empat blok dari tempat tinggal Woodward meninggal dunia pada 2005. Mereka dan Nixon yang meninggal dunia pada 22 April 1994 tidak tahu siapa sebenarnya Deep Throat.

Moral ceritanya untuk menangani skandal yang melibatkan penguasa yang besar lagi tinggi kuasanya memerlukan sokongan padu wartawan dan pengarang yang berintegriti, bertanggungjawab kepada rakyat bukan kepada Presiden. Mesti didokong pula oleh penguasa yang menjulang undang-undang misalnya Peguam Negara Amerika yang juga berintegriti bukan dilantik untuk melindungi Presiden. Kalau kepentingan rakyat diutamakan, penguasa sehebat Nixon boleh sahaja dijatuhkan kerana tiada integriti

Advertisement
Please follow and like us:

Author / Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *