Buku Memoir Seorang Penulis ini lebih 30 tahun berada dalam perpustakaan mini saya. Semalam saya mengulang baca buku yang ditulis oleh salah seorang pejuang kemerdekaan Abdullah Thani Raja Kecil (Ahmad Boestamam). Buku nipis ini diterbitkan oleh DBP pada 1979. Pertalian Boestamam dengan saya adalah Utusan Melayu. Boestamam juga salah seorang wartawan Utusan Melayu era Tunku Abdul Rahman sebagai Perdana Menteri.
Memoir Seorang Penulis merupakan sebuah catatan ringkas secebis daripada pengalaman panjang Boestamam dalam kewartawanan, kesusasteraan dan politik. Walaupun ringkas memoir ini memperjelaskan sosok pemikiran dan perjuangan Boestamam untuk memerdekakan negara dengan wadah kewartawanan, kesusasteraan dan politik.
Perjuangan politik Boestamam bermula pada tahun 1940-an dan menyertai badan-badan politik Melayu bergabung menentang Malayan Union di sekitar tahun 1945 dan 1946. Beliau mengetuai API (Angkatan Pemuda Insaf) cabang pemuda sayap kiri.
Boestamam menubuhkan Parti Rakyat Malaya yang kemudiannya bergabung dengan Parti Buroh sebagai Socialist Front. Hasilnya beliau memenangi pilihan raya bagi Parlimen Setapak pada 1959. Sungguhpun demikian kejayaan itu menuntut pengorbanan yang bukan sedikit.
Pada tahun 1941 beliau ditahan di bawah akta keselamatan tetapi dibebaskan sebaik sahaja Jepun menguasai Malaya. Kemudian ditahan semula pada 1948 hingga 1955 ekoran pengharaman API oleh penjajah Inggeris. Semua pergerakan politik diharamkan Inggeris kecuali UMNO.
Pada tahun 1963 hingga 1967 beliau dipenjarakan sekali lagi kerana dituduh menyokong pemberontakan Brunei dan membantu Indonesia melancarkan konfrantasi ke atas Malaysia.
Boestamam dalam konteks hari ini adalah pejuang kemerdekaan yang dipadamkan dari sejarah kemerdekaan negara. Bukan sahaja Boestamam malah tokoh seperti A. Samad Ismail, Pak Sako, Said Zahari dan Ibrahim Yaacob juga ikut terpadam. Demikianlah apabila sejarah ditulis dengan penuh prasangka dan dendam oleh pihak yang menang.
Saya tidak pasti adakah semua nama-nama ini dipadamkan dari sejarah kemerdekaan kerana mereka bukan dari UMNO. Memang benar mereka bukan UMNO tetapi perjuangan untuk memerdekakan negara. Kalau sang pencatat sejarah berjiwa besar sudah tentu mereka tidak memadamkan nama musuh politik yang pernah menyumbang untuk negara.
Boestamam seorang yang luar biasa, pada usia 16 tahun beliau diberi kepercayaan menulis pojok sebuah akhbar mingguan dan pada usia 19 tahun menjadi timbalan pengarang sebuah akhbar.
Saya memiliki buku ini sebelum menyertai dunia kewartawanan di Utusan Melayu. Saya menyertai Utusan Melayu tahun 1984. Secara kebetulan dalam satu bab buku ini Boestamam menulis tentang pengalaman berkerja di Utusan Melayu dan pengalaman pahit diarahkan meninggalkan Utusan oleh Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO, Tunku Abdul Rahman. Sebabnya Boestamam memilih menulis suatu yang benar walaupun tidak disukai oleh Tunku.
Tulis Boestamam:
Melan Abdullah datang menemui saya menyuruh saya memilih satu di antara dua – saya menulis surat meletak jawatan atau menunggu Utusan Melayu membuang saya dengan notis 24 jam. Saya memilih menulis surat meletak jawatan kerana saya tidak mahu orang menyangka saya begitu bergantung kepada Utusan.”
Memoir nipis ini sebenarnya sangat mengharukan sekaligus menginsafkan. Ketika menikmati kemakmuran dan kesenangan hasil daripada kemerdekaan pejuangnya kita padam, lupa dan benam dari sejarah. Kejamnya kita.
Benarlah bahawa sejarah ditulis oleh mereka yang menang. Sejarah negara ini ditulis oleh UMNO dari perspektif UMNO dengan menafikan sumbangan pihak lain dalam perjuangan menentang penjajah. Sejarah tulisan UMNO menafikan pejuang-pejuang lain sekaligus memadamkan mereka dari sejarah. Perjuangan golongan kiri termasuk daripada Parti Islam Malaysia (Pas) tidak sewajarnya dipadamkan oleh UMNO. Maka pejuang seperti Ahmad Boestamam sangat tidak adil dilabelkan kiri hanya kerana menentang penjajah British.
Saya pernah baca buku karya Ahmad Boestamam, “Bagaimana Menjadi Seorang Penulis? “. Rasa sungguh terkilan kerana buku yang saya beli itu hilang dalam simpanan.
Bukunya hanya nipis setebal 100 halaman. Tetapi banyak pengalaman dan panduan berguna yang dicurahkan Almarhum untuk bakal penulis.
Antara cerita menarik dalam buku itu adalah pengalamannya mendapat Diploma in Journalism di London setelah Almarhum gagal dalam usahanya meneruskan pengajiannya dalam jurusan Undang-undang.
Buku tersebut sudah tiada dipasarkan.