KITA tidak ada alasan lagi untuk tidak membaca, terutama sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan hingga 31 Mac. Ini kerana Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) menawarkan 13.2 juta bahan bacaan digital secara percuma.  Tentu tidak ada rungutan, “Tidak tahu nak buat apa sepanjang dua minggu.”

Sepanjang dua minggu ,  kempen ‘Sila Duduk Rumah dan Baca Buku’ ini boleh dimanfaatkan dengan membaca, dengan harapan tabiat itu akan berterusan selepas ini. Caranya tidak susah,  tidak perlu menyelongkar almari untuk mencari buku.  Klik sahaja link ini:  http://www.u-pustaka.gov.my

Budaya membaca di negara ini tidak selari dengan taraf kemajuan dari segi ekonomi dan prasarana. Sementara Kuala Lumpur muncul sebagai antara ibu negara moden di dunia.  Bagaimanapun  budaya membaca dan industri perbukuan tidak dapat hidup subur setaraf kedudukan Kuala Lumpur di mata dunia.

Sekiranya sebahagian daripada warga mengambil peluang yang ditawarkan PNM,  ini menjadi satu permulaan yang baik untuk meningkatkan budaya membaca khususnya dalam bentuk digital.  Dengan penembusan Internet yang tinggi iaitu sekitar 80 peratus, mengakses bahan bacaan digital tentunya tidak menimbulkan masalah.

Gambar hiasan (Tehran Times)

Satu kajian menunjukkan  secara purata pengguna  menghabiskan lapan jam lima minit sehari untuk urusan berbelanja dalam talian. Tetapi tidak ada pula masa yang pengguna peruntukkan untuk mengakses bahan bacaan.  Mungkin ada tetapi barangkali terlalu kecil.

Lagi mendukacitakan apabila kajian mendapati secara purata pengguna Internet menghabiskan masa dua jam 59 minit sehari untuk mengakses media sosial. Ini disebabkan kedudukan Malaysia pada kedudukan keempat di dunia dalam penembusan media sosial mudah alih.

Singapura berada pada kedudukan keenam dan meninggalkan beberapa negara Asia Tenggara yang lain – ,Thailand (kelapan) dan Filipina (kesepuluh).  Daripada statistik ini sudah tentu suatu yang mengembirakan sekiranya Malaysia juga mengungguli kedudukan sebagai negara di depan dalam budaya membaca buku di platform digital.

Secara mudahnya daripada populasi 32 juta,  sebanyak 21 juta daripadanya memiliki telefon pintar yang tersedia sambungan Internet.  Ini membuktikan hanya perubahan sikap sahaja  yang dapat meningkatkan kadar membaca khususnya secara digital kerana prasarana sudah lama tersedia.

Maka yang perlu dilakukan sekarang adalah  menyuntik kesederan untuk beralih daripada tabiat ketagih media sosial terutama Facebook serta grup komuniti maya menerusi Whatsapp kepada membaca buku secara digital.  

Advertisement

PNM misalnya telah membangunkan kemudahan apabila mendigitalkan 13.2 juta bahan bacaan untuk diakses dengan peranti yang paling popular – telefon pintar. Sekarang ini perpustakaan bukan lagi bangunan yang menghimpunkan buku  tetapi juga menyediakan khidmat membaca secara digital – di mana-mana dan bila-bila sahaja.

Ilmu tidak banyak diperoleh di media sosial seperti Facebook dan grup komuniti maya. Walaupun mempunyai berpuluh grup komuniti maya, sebahagian besarnya tidak diberikan hala tuju – masih bersembang perkara-perkara tidak membina pemikiran.  

Buat masa ini ilmu terkandung dalam buku. Maka untuk  meluaskan pemikiran dan memajukan diri,  membaca buku adalah satu-satunya kaedah yang tepat. Bahan bacaan digital pula adalah kemudahan yang ditawarkan oleh penembusan teknologi komunikasi. Oleh hal yang demikian kemudahan ini mesti dimanfaatkan dengan sebanyak-banyaknya.

Kempen PNM dianggap suatu yang boleh membentuk tabiat baru dalam kalangan masyarakat,  selagigus memanfaatkan kemudahan teknologi  mudah alih untuk membaca secara digital.  Kempen ini suatu yang sangat bermanfaat sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan kerana tidak sekadar mengisi masa malah menyuburkan budaya membaca.

Inisiatif PNM ini juga selari dengan pemilihan Kuala Lumpur Kota Buku Dunia 2020 oleh UNESCO.  Acara perbukuan yang diisi sempena pemilihan Kuala Lumpur ini bermula April 2020 hingga April 2021.  Jadi, sepanjang tahun ini Kuala Lumpur adalah kota buku.  Masyarakat mesti mengambil bahagian, atau setidak-tidaknya ambil peduli bahawa buku akan menjadi topik utama di bandar raya ini. – KU SEMAN KU HUSSAIN

Advertisement
Please follow and like us:

Author / Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *