KIRIDAREN menunjukkan empat daripada lima buku terbitan The Biblio Press di kedai buku miliknya, The Bibliophile di Menara Mutiara Majestic, Petaling Jaya, baru-baru ini. – UTUSAN/FARIZ RUSADIO

Oleh Ku Syafiq Ku Fozi

PETALING JAYA: Pendigitalan sentiasa dilihat sebagai musuh kepada produk-produk fizikal namun jika diteliti, kedua-duanya boleh dibentuk agar saling menyokong.

Dalam keusahawanan, peniaga dikerah untuk memikirkan sebanyak mungkin jalan untuk meraih keuntungan dan hanya mereka yang cukup berani serta tekad dapat mengubah satu kesulitan menjadi peluang.

Dalam tempoh beberapa tahun ini, jualan produk fizikal termasuk buku dan bahan penulisan lain dilihat semakin kelam. Dengan adanya teknologi pemasaran dan bahan bacaan digital, buku-buku fizikal semakin sukar dijual.

Ketika pandemik Covid-19 bermula, segala tentang digital mula mendapat perhatian. Manusia mengehadkan interaksi fizikal dan jalan digital lebih mendapat sambutan.

Ketika itu J. Kiridaren, 29, datang dengan idea gilanya. Mengambil kesempatan atas kerinduan peminat buku yang sudah berbulan tidak merasai pengalaman membeli buku secara fizikal, dia membuat keputusan untuk membuka sebuah kedai buku fizikal di Petaling Jaya.

Kedai Buku The Bibliophile di Menara Mutiara Majestic, Petaling Jaya.

Ia sebuah kerja gila kerana ketika itu, sudah berkumandang berita penutupan beberapa cawangan kedai buku gergasi seperti MPH dan Popular di seluruh negara.

“Seumur hidup saya tidak pernah rasa takut tetapi sewaktu mula-mula merancang untuk buka kedia fizikal, saya takut. Ketika itu, saya lihat ada peluang untuk orang ke kedai buku kerana mereka merindui pengalaman pembelian buku secara fizikal.

“Walaupun pembelian secara dalam talian masih tinggi dan relevan tetapi mesti ada orang yang mula merindui kedai fizikal,” katanya mengimbau detik membuat keputusan untuk membuka Kedai Buku The Bibliophile di Menara Mutiara Majestic, Petaling Jaya.

Kiridaren melihat kepentingan kedua-dua segmen baik fizikal mahupun dalam talian hadir seiring.

Katanya, jika kedai fizikal itu tubuh, jualan dalam talian ialah rohnya. Tanpa jualan dalam talian, kedai fizikal hilang nyawa.

Advertisement

Kiridaren mula melibatkan diri dalam perniagaan buku sejak menuntut di Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) kira-kira lima tahun lalu.

Ketika itu, dia yang sering berkongsi ulasan buku di Facebook mula menarik minat beberapa individu yang mahu mendapatkan buku yang dibacanya. Bermula dari situ, dia mula menawarkan khidmat membeli buku yang kebanyakannya bertema falsafah, ideologi dan sosiologi.

Khidmat yang ditawarkan itu kemudiannya dijenamakan sebagai The Bibliophile melalui penubuhan laman Facebook dengan nama sama pada 16 Februari 2018.

“Ketika itu saya ditawarkan bekerja dengan kedai buku Gerakbudaya dan dari situ saya terfikir, kenapa tak mulakan syarikat sendiri? Hala tuju waktu itu sudah ada tetapi tidak tahu apa cara untuk memulakan perniagaan dan menjadikannya besar.

“Perniagaan ini paling berkembang pada 2019 apabila saya mula menerima tempahan untuk pembelian buku di Indonesia dan tahun lalu, saya bertekad untuk buka akaun syarikat,” katanya.

Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac tahun lalu membawa hikmah kepada The Bibliophile apabila tempahan buku secara dalam talian meningkat sehingga 230 peratus. Wang keuntungan tersebut bersama beberapa pinjaman daripada ahli keluarga yang digunakan Kiridaren untuk membuka Kedai Buku The Bibliophile.

Selain itu, Kiridaren turut berjaya mengembangkan lagi perniagaannya dengan penubuhan The Biblio Press pada Oktober tahun lalu, sayap penerbitan untuk The Bibliophile.

Setakat ini, The Biblio Press telah menerbitkan lima buku terjemahan dan berhasrat untuk menterjemahkan 1,000 karya asing ke dalam bahasa Melayu.

“Matlamat utama saya adalah untuk membangunkan wisma sendiri, Wisma The Bibliophile.

“Saya letakkan matlamat itu kerana teruja melihat Wisma Gramedia di Indonesia. Ada pejabat yang sangat cantik dan di bawahnya ada kedai buku,” katanya yang meletakkan tempoh sedekad bagi mencapai matlamatnya itu. – UTUSAN

Advertisement
Please follow and like us:

Author / Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *