OLEH ROZAIS AL ANAMY

• Judul: The Spear and the Kerambit: The Exploits of VAT 69, Malaysia’s Elite Fighting Force (1968–1989).
• Penulis: A. Navaratnam
• Penerbit: Utusan Publications & Distributors (UP&D)
• Cetakan pertama 2001
• Tebal: 205 halaman.
• Harga: RM60 (kulit nipis) dan RM150 (kulit tebal)

The Spear and the Kerambit: The Exploits of VAT 69, Malaysia’s Elite Fighting Force (1968–1989) adalah sebuah memoir Penolong Pesuruhjaya Kanan Polis, A. Navaratnam mengenai pengalaman mengasas dan mengetuai pasukan elit VAT 69 menentang pengganas komunis pada garis masa akhir 1960-an hingga 1980-an.

Ditulis sendiri oleh komander yang mengetuai banyak operasi rahsia melawan komunis, buku ini mendokumentasikan pengalaman anggota komando yang sememangnya sinonim dengan semangat juang sangat tinggi.

VAT 69 ditubuhkan pada 23 Oktober 1969 yang dimulai oleh 60 orang komando perintis daripada lebih 1,600 anggota Pasukan Polis Hutan (PPH) yang memohon menyertai unit itu. Bagaimanapun hanya 30 anggota sahaja yang berjaya menamatkan latihan taktikal yang luar biasa daripada Regimen Special Air Service (SAS) dari United Kingdom.

Pasukan ini lahir daripada keperluan negara dalam menghadapi peperangan yang tidak mempunyai medan yang tetap, musuh yang tidak berseragam, tidak mendiami kubu dan keadaan di mana sukar menjangka bila peperangan bermula atau akan berakhir. Kedua-duanya, pengganas komunis dan VAT 69 hidup di hutan yang sama tetapi tujuan yang berbeza.

Untuk menewaskan pengganas, anggota VAT 69 juga terpaksa belajar menjadikan hutan sebagai sebahagian daripada kehidupan. Daun yang gugur dan ranting yang patah selalu memberikan isyarat ‘hidup dan mati’ yang tersedia di depan.

Di sinilah kekuatan buku ini. Navaratnam menulis sebagai seorang komander yang pernah menghirup udara lembap belantara, mendengar bunyi ranting patah yang mungkin membawa maut, dan memahami bahawa dalam peperangan seperti ini, sunyi adalah suatu yang lebih menakutkan daripada bunyi ledakan tembakan.

Pembaca disedarkan bahawa peperangan yang sebenar bukanlah seperti yang sering dipersembahkan dalam filem. Buku ini memberi pembaca bayangan pengalaman anggota komando yang terpaksa berjalan berhari-hari dengan beban yang berat, pakaian yang sentiasa basah, tubuh yang lunyai digigit pacat dan nyamuk, dan bekalan makanan yang semakin kurang; namun semua cabaran ini tidak menjejaskan kewaspadaan mereka membaca gerak-geri isi alam belantara yang sedang mereka harungi.

Kandungan buku The Spear and the Kerambit.

Musuh yang paling bahaya kadangkala bukan peluru, tetapi kelelahan dan hilangnya tumpuan walau sesaat. Buku ini menekankan bahawa keberanian bukan bermaksud kehebatan, tetapi sentiasa berada dalam keadaan bersedia – setiap detik, jam dan hari-hari yang dilalui.

Apa yang lebih menarik ialah penulis tidak menggambarkan kemenangan sebagai hasil bedikan senjata semata-mata. Dalam peperangan menentang pangganas komunis, maklumat adalah suatu yang lebih penting daripada peluru. Hubungan dengan masyarakat Orang Asli, kecekapan risikan, kesabaran menunggu dan keupayaan membaca gerak musuh menjadi faktor yang lebih utama.

Kerambit dan lembing

Di sinilah pembaca boleh memahami bahawa peperangan moden bukan sekadar pertempuran fizikal, tetapi juga pertembungan kecerdasan, psikologi dan kesabaran.
Judul The Spear and the Kerambit itu sendiri membawa makna yang mendalam. Lembing melambangkan serangan yang tepat pada sasaran. Kerambit pula adalah senjata kecil yang penting dalam pertempuran yang senyap.

Kedua-duanya menjadi metafora pada falsafah VAT 69—menggabungkan latihan bertaraf dunia dengan jiwa tempatan yang memahami bahasa hutan belantara di bumi sendiri.

Kandungan buku The Spear and the Kerambit.

Buku ini juga membawa pembaca mendalami beberapa operasi rahsia menjejak dan menghapuskan pengganas komunis di hutan belantara yang tebal di Pahang, Perak dan Kedah serta kawasan pedalaman yang menjadi sarang komunis. Setiap operasi sulit hanya melibatkan anggota yang kecil – antara tiga hingga enam orang sahaja.

Sekalipun jumlahnya kecil, ketangkasan VAT 69 tidak dinafikan disebabkan ketahanan untuk hidup dalam keadaan mencabar yang luar biasa. Hutan menjadi laman permainan kerana kebolehan membaca isyarat alam yang membawa mereka menemui jejak pengganas komunis.

Hasil garapan daripada penulis yang melalui sendiri pengalaman yang dicurahkan ke dalam memoir ini berjaya memberi nilai tambah pada buku ini. Hampir setiap operasi sulit yang digambar secara rinci. Taktik dan teknik yang diaplikasikan pada saat-saat kritikal berdepan musuh juga dipaparkan memberi pengalaman tak ternilai kepada pembaca.

Buku ini disusun mengikut kronologi operasi rahsia bermula sejarah penubuhan VAT 60 hingga terlibat dalam beberapa siri operasi penting seperti Ops Sukat, Ops Bamboo, Ops Batu Tua dan menjejak Jawatankuasa Pusat Parti Komunis Malaya (PKM), Chong Chor yang menjadi orang harapan Chin Peng hingga ke tengah-tengah bandar raya Kuala Lumpur tahun 1988.

Dari buku ini juga kita dapat mengenal wajah sebenar komunis yang didakyahkan sebagai memperjuangkan keadilan. Sikap Chong Chor menyerlahkan sifat munafik mereka ini. Ketika pengganas komunis lain hidup melarat di hutan belantara, Chong Chor hidup di Kuala Lumpur – di rumah anaknya di Sungai dan di rumah kawannya di Pudu. Chong Chor menjadi komunis yang bergerak bebas di tengah-tengah Kuala Lumpur.

Navaratnam semasa mengasas dan mengetuai pasukan elit VAT 69.

Selain itu, memoir ini juga menyentuh mengenai penubuhan Mobile Squard untuk membunuh Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahman Hashim pada tahun 1974 di Kuala Lumpur. Sekalipun beberapa laporan media sebelum ini tidak mengaitkan pembunuhan itu dengan komunis, Navaratnam memberikan bukti-bukti sebaliknya.

Lima anggota PKM secara sukarela menganggotai Mobile Squard untuk membunuh Abdul Rahman Hashim diberi latihan intensif di kem PKM di Betong, (sempadan Thailand dan Malaysia).

Anggota Mobile Squard mengambil masa beberapa hari untuk mengintip rutin laluan Abdul Rahman dari rumah ke pejabat. Mereka tahu laluan yang selalu digunakan oleh Abdul Rahman – di mana kereta berhenti dan masa yang perlu diambil untuk menyerang.

Pada 6 Jun 1974, ketika kereta yang membawa Abdul Rahman berhenti di simpang Lorong Weld dan Jalan Tun Perak di Kuala Lumpur, anggota Mobile Squard terus menembak Abdul Rahman dan pemandunya. Abdul Rahman meninggal dunia sebaik sahaja tiba di Hospital Kuala Lumpur, sementara pemandunya cedera parah.

Selang 16 bulan selepas itu Mobile Squard melancarkan serangan kepada Ketua Polis Perak, Tan Sri Koo Chong Kong pula. Modus operandinya sama – menyerang ketika kereta yang membawa Koo Chong Kong berhenti di persimpangan jalan. Koo Chong Kong dan pemandunya terbunuh dalam serangan nekad itu.

Akhirnya dengan kecekapan risikan polis, dua anggota komunis yang membunuh Ketua Polis Negara dan Ketua Polis Perak itu ditangkap dan dihukum mati.

Secara keseluruhannya, buku ini bukan sekadar catatan operasi tentera, tetapi juga sebuah dokumentasi sejarah tentang perjuangan pasukan keselamatan dalam tempoh darurat dan pasca darurat, serta penghargaan terhadap jasa pasukan elit yang terlibat dalam perjuangan menghapuskan pengganas komunis.

Pengalaman penulis yang banyak merakamkan sejarah penentangan terhadap gerakan subversif PKM berjaya membawa pembaca mengharungi keadaan yang sentiasa genting dalam sesebuah operasi rahsia.

Bertepatan dengan tugas utama menjalankan operasi rahsia membanteras pengganas komunis, pasukan ini sangat jarang diperkatakan dan jauh sekali tampil di media. Kewujudan Vat 69 tidak diketahui umum sekalipun banyak mencapai kejayaan dalam menjejak dan menumpas komunis.

Navaratnam (tengah) ketika menyambut ulang tahun ke 90 pada tahun 2023. (Gambar FMT)

Sebaliknya jasa pasukan ini kepada negara umpama sekumpulan semut hitam yang berjalan di atas batu hitam dalam kelam malam. Ia sukar di kesan mata, tetapi sentiasa bergerak cekap dan tepat bagi memastikan negara sentiasa dalam keadaan aman sejahtera.

Sebagai contoh, penulis buku ini sendiri jarang dibicarakan dan juga agak kurang dikenali umum. Hanya setelah membaca buku ini barulah kita mendapat sedikit pendedahan mengenai semua rintangan dan cabaran dalam sesebuah operasi rahsia itu secara sangat lengkap. Sekali gus memberikan gambaran kepada pembaca tentang keadaan ‘antara hidup dan mati’ anggota komando VAT 69 dalam menjalankan tugas.

Membaca The Spear and the Kerambit ialah menghayati sebuah bab penting dalam pembinaan negara. Ia mengingatkan bahawa sejarah tidak hanya dibentuk oleh pidato dan dasar kerajaan, tetapi juga oleh langkah-langkah anggota pasukan keselamatan yang sentiasa terdedah bahaya meredah belantara.

Yang berminat membeli buku ini boleh dapatkan laman sesawang putihronadagang.com atau hubungi Puan Rokiah di talian 013-3544889.

Please follow and like us:

Author / Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *