Rasuah kini muncul sebagai penyakit sosial yang sangat parah dalam masyarakat kita. Disebabkan terlalu parah maka rakyat pun semakin hilang peka terhadap rasuah. Sudah tidak mengejutkan apabila tangkapan demi tangkapan dibuat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Menerima berita pengawai kanan atau pemimpin kanan diheret kerana rasuah sama dengan melihat anak kucing mati dilanggar di tepi jalan. Tidak ada kejutan kerana sudah tidak dianggap perkara besar disebabkan masyarakat sudah tepu dengan cerita-cerita rasuah. Ini menunjukkan peringkat yang sangat bahaya dan parah.
Mengikut Transparency International (TI), Indeks Persepsi Rasuah negara ini tahun lalu turun dari tangga ke 54 kepada tangga 55 dari 176. Memanglah kalau dilihat kedudukan ada negara yang lebih teruk lagi indeks rasuahnya. Di peringkat Asean, Malaysia jauh di belakang Singapura di tangga ketujuh. Kena tanya juga kenapa di belakang Singapura yang bukan negara Islam?
Mungkin ada yang berkata Singapura kecil, mudah dikawal. Tetapi banyak negara bukan Islam lain yang besar berbanding Malaysia, Indeks Persepsi Rasuah mereka jauh lebih tinggi berbanding kita.
Ada beberapa hujah mengapa Malaysia tidak sepatutnya berada di tangga 55 daripada 176. Antaranya Malaysia sebuah negara Islam di mana Islam menjadi agama Persekutuan dalam Perlembagaan Persekutuan. Bukan agama rasmi yang menjadi “agama acara” tetapi agama yang dipraktikkan oleh sebahagian besar rakyat.
Islam dengan tegas mengharamkan amalan rasuah, waima dinamai apa sekalipun. Tumbuk rusuh, duit pelicin, duit bawah meja atau wang politik. Semua yang dilakukan untuk membeli sesuatu hasrat secara di luar aturan atau syarat adalah rasuah namanya. Agama-agama lain juga melarang keras penganutnya mengamalkan rasuah.
Di mana silapnya Islam di negara kita apabila sebahagian yang dituduh, didakwa dan didapati bersalah pada skala yang sangat besar adalah orang Islam? Adakah ini menunjukkan Islam sudah tidak sesuai dengan zaman yang sangat materialistik ini? Tentu sekali tidak.
Kita percaya setiap orang Islam termasuk yang berada di puncak kuasa dalam perkhidmatan awam atau politik diasuh sejak kecil lagi dengan asas-asas Islam. Antaranya diterangkan tentang amalan atau tindakan yang dilarang oleh agama termasuk rasuah. Kenapa ajaran yang diterima pada usia kanak-kanak dan remaja itu luntur dengan mudah apabila melihat duit di depan mata? Salah asuhan atau salah orangnya?
Ironinya juga di negara Islam ini memerlukan sebuah suruhanjaya mengenai integriti atau amanah. Tidak cukupkah Islam yang mengajar umatnya supaya beramanah? Memang ada penganut agama lain yang mengamalkan rasuah tetapi bilangan orang Islam sangat ketara.
Maknanya ajaran Islam pun diketepikan, inikan pula suruhanjaya untuk meningkatkan amanah. Padahal di negara bukan Islam sifat amanah berada di tangga teratas. Dan dalam Islam amanah ditekankan sebagai satu sifat terpuji.
Di negara-negara luar misalnya Jepun, apabila seseorang penguasa terperangkap dengan rasuah, dia dengan rela hati bukan sahaja meletakkan semua jawatan supaya organisasi tidak turut terpalit malah sanggup bunuh diri kerana malu yang amat sangat. Itu baru dituduh yang belum pasti lagi salahnya.
Merasa malu kepada diri sendiri adalah satu rasa yang datang dari dalam jiwa seseorang. Kerana itu sekiranya ada tentangan dari dalam jiwa, rasuah tidak akan berjaya menguasai kita. Islam telah jauh ke depan dengan menanamkan penentangan dalam jiwa umatnya melalui ajaran-ajaran yang disampai seawal usia kanak-kanak.
Baru-baru ini SPRM melancarkan kempen Ikrar Bebas Rasuah, tumpuan peringkat awal diberikan kepada kakitangan awam dan ketua-ketua agensi serta jabatan kerajaan. Tanpa memperkecilkan usaha SPRM membanteras rasuah, tetapi kempen sebegini tidak lebih kepada program kegiatan SPRM sahaja. Kalau kempen ini memberikan kesan yang besar, syukurlah.
Tetapi saya berkeyakinan tindakan yang bersifat luaran atau aku janji sahaja tidak akan membuahkan hasil yang diharapkan. Lagipun semua kakitangan awam sudah menandatangani aku janji yang dalamnya secara tidak langsung termasuk melarang amalan rasuah. Ketua-ketua jabatan pun serupa juga, apabila menjawat jawatan itu mereka sudah memberi aku janji.
Pemimpin politik ada aku janji juga semasa dilantik, tidak kiralah sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri, Ahli Parlimen dan Menteri. Sebelum itu mereka membuat aku janji dengan rakyat yang memilihnya. Bagaimanapun ternyata ikrar dan tanda tangan adalah reaksi luaran. Tidak semua yang menandatangani aku janji semasa dilantik ke sesuatu jawatan turut berjanji dengan jiwanya.
Oleh yang demikian ada baiknya SPRM menggunakan pendekatan agama dalam agenda membanteras rasuah. Pembanterasan perlu dimulakan dari dalam jiwa, yakni menanamkan atau mengembalikan kehidupan beragama (Islam) kerana dalam Islam sudah dilatih untuk menolak amalan rasuah. SPRM wajar berkempen supaya umat Islam kembali kepada agamanya kerana dengan cara itu mereka dengan sendiri terhindar dari amalan rasuah.
Biarlah orang Islam menolak rasuah seperti menolak dengan kerasnya ayam yang tidak disembelih. Ini salah satu ajaran Islam supaya memakan haiwan yang disembelih cara Islam. Malah orang yang terima rasuah juga akan mengamuk kalau dihidangkan dengan ayam yang tidak disembelih. Penolakan terhadap ayam yang menjadi “bangkai” itu datang dari dalam jiwa, bukan luaran.
Saya harap SPRM tidak jemu memerangi rasuah dengan syarat pendekatannya perlu diubah kepada menerapkan Islam dalam diri individu. SPRM boleh menggunakan pemimpin agama lain untuk tujuan yang sama dan dijalankan secara berterusan, bukan bermusim.
Pada masa sama kita sangat faham tentang persepsi “jerung terlepas, bilis yang kena pukat” terhadap SPRM. Mungkin kuasa SPRM ada had-had tertentu. Tetapi tidak mengapa kerana kalau SPRM berjaya membanteras rasuah dengan cara meningkatkan kesedaran beragama dan kembali kepada Islam, pihak yang kebal daripada SPRM akan menjadi kera sumbang. Kalau di hutan, kera sumbang ini lama-lama akan mati. Tetapi bukan kerana tidak makan. Kera sumbang mati kerana hidup tertekan dipulaukan.