Johan (tengah) bersama Musa Hitam (kanan) dan Lat selepas perasmian Simposium Memperingati Samad Ismail di UiTM, Shah Alam pada Isnin. (Gambar ehsan Johan Jaaffar)

 

By Staff Writer Kayang Post

SHAH ALAM, 15 Jan –  Tokoh Wartawan Negara Tan Sri Johan Jaaffar mengemukakan tujuh perkara yang belum dijawab mengenai Tan Sri Samad Ismail  antaranya benarkah tokoh wartawan itu seorang komunis hingga ditahan bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Johan berkata demikian ketika memberikan ucaptama di Simposium Memperingati A Samad Ismail  di Perpustakaan Tun Abdul Razak, UiTM, Shah Alam hari ini.

Untuk rekod, Samad Ismail atau Pak Samad pernah ditahan pada 1976 bersama dua lagi iaitu  Abdullah Ahmad dan  Abdullah Majid atas tuduhan menyokong komunis. Kesemua mereka dikatakan sebagai orang kuat Tun Abdul Razak.

Mereka juga dikenali sebagai ‘tiga Abdul’  yang tercatat dalam sejarah politik negara ini. Pak Samad ditahan  sebulan selepas menerima Hadiah Pejuang Sastera Mei 1976. Selain menjadi wartawan, Pak Samad juga seorang sasterawan yang benyak menulis novel dan cerpen serta membimbing penulis baharu.

Enam perkara lain yang digariskan oleh Johan sebagai ‘belum terjawab’  adalah  sumbangan Pak Samad dalam kemerdekaan Indonesia,  peranan dalam Mogok Utusan Melayu 1961, pembabitan dalam penubuhan parti PAP, sumbangan sebagai orang kuat  Tun Abdul Razak, peranan Pak Samad dalam mengakhiri konfrontasi Malaysia – Indonesia dan peranan  sebenar dalam Angkatan Sasterawan 1950 (ASAS 50).

Menurut Johan yang juga bekas Ketua Pengarang Kumpulan Utusan Melayu,  beliau membaca pelbagai buku yang berkaitan dengan Tokoh Wartawan Negara itu termasuk memoir yang ditulis oleh Lee Kuan Yew serta buku yang ditulis oleh Pak Samad sendiri.

Beliau bertemu dengan banyak kawan-kawan Pak Samad khususnya yang bersama-samanya bekerja di Utusan Melayu di Cecil Street, Singapura di mana Pak Samad  memulakan kerjayanya untuk mengenali tokoh itu daripada pelbagai sisi.

“Saya sempat menyeluk pandangan  Pak Sako, Keris Mas, Usman Awang, Dahari Ali, Hussein Jahiddin,  Awam Il Sarkam dan lain-lain. Dua orang daripada mereka, Keris Mas dan Usman Awang kebetulan pernah menjadi ketua saya sewaktu di DBP. Bagaimanapun saya terasa masih berada di permukaan. Pak Samad tokoh sangat kompleks membuatkan sebahagian  sejarah hidupnya masih menjadi misteri dan penuh tanda tanya, “ tegas Johan.

Beliau mengenali Pak Samad  ketika masih di bangku sekolah melalui novel dan cerpen yang ditulis oleh tokoh nasionalis itu, lama sebelum bersua muka. Karya-karya itu termasuk juga oleh beberapa sasterawan lainnya telah membuka cakerawala kesusasteraan beliau yang mendapat pendidikan Inggeris di peringkat awal persekolahan.

Advertisement

Johan percaya Pak Samad akan terus dibicarakan sebagai wartawan tulen, berpengalaman, berani, contrarian, seorang guru yang tegas,  editor yang cermat dan pemimpin editorial yang dikagumi dan sekaligus digeruni pada masa akan datang.

“Banyak dalam kalangan kita merupakan “graduan sekolah kewartawanan Pak Samad”. Banyak juga  telah melalui pengalaman dan baptism of fire berketuakan Pak Samad.  Beliau seorang wartawan dan editor yang meletakkan kesempurnaan atas daipada segala-galanya, tidak berkompromi dengan ayat, perkataan, kandungan dan hujah,” tegas Johan yang pernah mengadaptasi cerpen Rumah Kedai Jalan Seladang di pentas teater.

Pada simposium anjuran ISTAC-IIUM, UiTM (Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media) dan Perpustakaan Tun Abdul Razak dan dirasmikan oleh mantan Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam itu, Johan menegaskan, Pak Samad tidak sekadar simpati tetapi turut berjuang untuk kemerdekaan Indonesia.

“Semua tahu Pak Samad menyeludup senjata ke Indonesia dan Presiden Sukarno sendiri mengakui yang Pak Samad ‘bukan kecil’ dalam konteks perjuangan zaman revolusi,” ujar Johan.

“Duta Besar Indonesia, Rais Abin ketika melawat Pak Samad di New Straits Times (NST) tahun 1982, iaitu 37 tahun selepas kemerdekaan Indonesia pernah berseloroh dengan wartawan, “He was a gun smuggler, you know”  merujuk kepada Pak Samad. Saya fikir peranan Pak Samad dalam perjuangan kemerdekaan Indonesia perlu dikaji, ia terlalu besar daripada yang kita tahu.”

Johan memberitahu, selain Lee Kuan Yew dan Toh Chin Chye, pengasas  lain yang menubuhkan PAP antaranya adalah S Rajaratnam,  C. V. Devan Nair,  Tan Wee Tiong,  dan Pak Samad sendiri.  Bagaimanapun Pak Samad tidak banyak bercakap tentang hal itu.

“Apakah tanda terima kasih Lee Kuan Yew dalam hal ini? Seperti banyak pendiri atau pengasas PAP lainnya, Pak Samad juga dimusuhi oleh Lee Kuan Yew kemudiannya. Hal itu menimbulkan banyak persoalan yang perlu dirungkai.

Dua lagi tokoh yang menyampaikan ucaptama adalah Seniman DiRaja Datuk Mohd Nor Khalid (Lat) dan Profesor Datuk Dr Ahmad Murad Merican. Program sehari itu juga disertai oleh panel yang terdiri daripada Profesor Dr Azhar Wahid (UPSI), Datuk Yong Soo Hiong (Malaysia Press Institude – MPI),  Dr Saleeh Rahamad (PENA), Raja Ahmad Aminullah (aktivis budaya), Lily Haslina Nasir (penulis),  Profesor Dr Ismail Hashim (UiTM), Rashid Yusof (bekas Pengarang Kumpulan NST) dan Datuk Mustapa Omar (MPI).

Advertisement
Please follow and like us:

Author / Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *