Oleh Dzulkifli Abdul Razak

EKORAN rombakan Kabinet baru-baru ini, istilah ‘terkejut’ agak sering kedengaran atau terbaca dalam pelbagai media. Sememangnya ‘kejutan’ mempunyai peranan serta nilai tersendiri dalam banyak hal.

Dari segi perang, serangan hendap kerap menggunakan unsur kejutan untuk menawan musuh, begitu juga taktik berdebat atau berhujah bagi meraih kemenangan, tidak semestinya kebenaran atau keadilan.

Ada pihak yang menang melalui kejutan tetapi tidak adil sama sekali. Bahkan berdusta dan berdosa! ‘Kemenangan’ tidak diberkati sepertimana banyak berlaku dalam media sosial yang memperalatkan berita atau fakta palsu untuk memfitnah.

Pada dasarnya, memperdaya dan mengambil kesempatan tanpa memperhitungkan kesudahan yang akan terjadi terhadap sasaran mangsa. Kadangkala berbilang ramainya yang kecewa serta berputus asa.

Begitu pun, kejutan boleh juga digunakan untuk tujuan menggembirakan dan menguja.

Umpama menghargai jasa atau prestasi luar biasa seseorang pekerja ataupun pelajar yang amat cemerlang. Tidak disangka-sangka. Ataupun untuk saat-saat manis! Berkasih sayang bagi memperingati ketika yang indah lagi syahdu. Sudah memadai dengan hanya kata-kata hikmah dan ucapan terima kasih tanpa hadiah benda.

Sentuhan jiwa luhur lebih bermakna dari segala bentuk harta. Sering kali senyuman manis menyimpul seribu kata bermakna! Martabatnya bagaikan sedekah membawa pahala menelusuri syurga bahagia. Namun, ramai terlupa kerana tiada benda berharga. Alangkah ruginya!

Khususnya dalam politik, kejutan sering dianggap senjata rahsia melumpuhkan musuh. Lebih gegar gempita, lebih berbisa untuk menekan lawan. Lagi raksasa, lagi hebat, sama ada dapat dikotakan, tidak mengapa. Kerana kalau sudah berkuasa, semua boleh diubah belaka. Dahulu yang tidak boleh, kini boleh sahaja.

Dahulu ditolak, kini didakap tidak lepas. Dahulu berprinsip, kini menepis. Begitulah corak politik semasa di mana sahaja. Kurang membina. Lebih menggilakan nama dan darjah, bukan kebajikan rakyat. Asyik bersengketa, biarkan rakyat terus merana. Jemaah menteri disusun semula, namun ada yang alpa akan janji lama. Padah terkejut beruk!

Kononnya rasuah musuh utama perlu dibasmi. Namun, perasuah teman setia terus bersemi. Mengapa? Satu kejutan besar pastinya. Terkejut beruk apabila rasuah membentengi perpaduan. Selepas setahun keluh kesah dengan retorika memerangi rasuah, gelagat politik terkesan cukup sumbang memalukan. Cakap tidak serupa bikin.

Negara bertambah miskin bukan sahaja wang ringgit tetapi budi bicara! Etika dan moral tersadai di bibir, tidak pada perlakuan, baik di Parlimen sekali pun. Ada yang meniti prestasi yang tidak berkehasilan. Tetapi tanpa segan silu dikekalkan dalam jawatan! Satu lagi kejutan luar dugaan kerana mengikut pengamal sektor swasta, mereka sudah diarah gulung tikar!

Advertisement

Anehnya, ada juga para menteri sendiri turut terkejut mengikut laporan saluran berita utama, bukan media kecilan. Ada yang terkejut ditukarkan kementerian. Apatah lagi mereka jelas menunjukkan rekod prestasi agak baik dan berkedudukan selesa dalam parti yang sama.

Bakal pemegang tampuk lebih selesa. Seorang daripadanya merupakan menteri penggal kedua dalam jawatan yang sama. Sedang tangkas mengatur langkah berjaya. Tiba-tiba ditukarkan pula. Padahnya amat ketara – buang masa, tenaga dan sumber.

Mengapa faktor-faktor ini tidak diambil kira? Lagipun mengapa menteri terlibat turut terkejut – membayangkan tidak ada proses rujukan sama sekali bagi sebuah parti demokratik, apatah lagi musyawarah untuk mendapatkan yang terbaik untuk bukan hanya parti, tetapi rakyat yang sedang tertanya-tanya ke mana semua ini?

Jika tiada rundingan telus, terbuka, sudah tentu satu lagi kejutan tidak terkira! Di mana letaknya tuntutan proses demokrasi berunding mesra?

Mengapa alpa, memandangkan pelantikan para menteri bukan bak mainan kerusi pusingan berirama? Mengikut seronok sahaja tanpa keazaman nyata. Sedangkan yang kurang berprestasi tidak dipindahkan, apa pula muslihat politik dalaman sebaliknya bagi yang berprestasi sehingga turut terasa terkejut?

Natijah kepada semua ini, rakyat membenci kerana kejutan tidak akan membawa kepada kekal abadi, dihantui oleh kesementaraan tanpa kepastian, malah kepura-puraan berlebihan! Akal budi turut dijual beli, hati budi dinodai.

Lantas jalan keluar bermuafakat tersekat-sekat, tambahan pula ada yang bersiap sedia menangguk di air keruh. Di sini tidak perlu terkejut kerana terlalu sering berlaku dalam agenda sempit politik tanah air.

Khabarnya sekarang pun ada yang meramalkan beberapa peristiwa bakal membingitkan, selagi kematangan politik masih pada takuk serang-menyerang satu sama lain atas asas kejutan demi kejutan, wajar atau tidak.

Maka selagi tiada keyakinan diri dan masyarakat bersatu padu secara mutlak daripada rasa tanggungjawab jati yang jujur, ikhlas lagi murni, selagi itu kejutan menjadi alat kerakusan politik muflis. – UTUSAN MALAYSIA

  • PROFESOR Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak ialah Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Artikel asal di Utusan Malaysia  pada 28 Disember 2023 boleh dibaca di sini:  https://www.utusan.com.my/rencana/2023/12/ramai-juga-yang-turut-terkejut/

Advertisement
Please follow and like us:

Author / Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *