Beginilah suasana pada setiap tahun, pesta sambutan tahun baharu menjadi tumpuan sekalipun tidak membawa makna. (Gambar hiasan Kosmo)

Oleh Ku Seman Ku Hussain

MALAM Ahad lalu tidak ada sambutan tahun baharu di Dataran Merdeka seperti selalu.  Bagaimanapun kehidupan warga Kuala Lumpur berjalan seperti biasa. Sama sekali tidak berubah dengan tidak ada sambutan tahun baharu yang meriah dengan percikan bunga api.

Apakah itu tahun baharu?  Tahun baharu tidak lebih garis masa  dan tidak ada sempadan fizikal yang memisahkan antara satu  titik waktu dengan yang lain. Akan tetapi tahun baharu menjadi istimewa  kerana ada yang mencipta keistimewaan. Sedangkan hakikatnya tidak ada apa-apa.

Malah tahun baharu itu sendiri tidak bersandarkan pada sesuatu peristiwa atau sejarah yang memungkinkan kita mengambil iktibar daripadanya.  Hal ini sangat berbeza dengan tahun Hijrah yang mendukung gagasan berhijrah untuk berubah dalam semua aspek kehidupan.

Oleh hal yang demikian pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa tidak ada sambutan tahun baharu pada asanya adalah  suatu yang baik.  Satu perubahan walaupun sebelum ini juga pernah tidak ada sambutan tahun baharu. Bezanya Anwar memberikan penegasan yang khusus pada perkara ini.

Kehidupan pada hari ini 2 Januari bergerak seperti biasa –  sama hari -hari  lain walaupun tidak ada pesta yang gilang gemilang menyambut tahun baharu. Hal ini membuktikan  tahun baharu bukan suatu perubahan –  sekadar berubah pada garis masa.

Hal ini menunjukkan sambutan tahun baharu yang diadakan selama ini tidak memberikan nilai tambah dalam membina peribadi dalam kalangan rakyat. Ada atau tidaknya sama sahaja.  Malah tidak ada kekurangan yang boleh memberi tanggapan tidak baik pada negara di mata dunia.

Sebenarnya  sambutan tahun baharu hanya ikut-ikutan. Akan tetapi apabila sudah sebati  acara ini bertukar seolah-olah menjadi satu tradisi. Apa lagi selepas melihat negara lain menyambutnya dalam suasana yang gilang gemilang.  Kita pun tidak mahu kalah walaupun ini tidak menguntungkan.

Lalu untuk apa terus diadakan acara yang menelan belanja yang besar?  Adakah hanya untuk berhibur dengan persembahan hiburan di pentas disusuli percikan bunga api angkasa raya Kuala Lumpur? Belanja sambutan tahun baharu bukan kecil – tidak kiralah daripada mana puncanya.

Maka yang ditegaskan oleh Perdana Menteri ini perlu dijadikan satu ketetapan kerajaan.  Tidak ada sambutan tahun baharu bukan sahaja kali  ini malah tahun-tahun seterusnya. Biarlah Kuala Lumpur tidak gemerlapan dengan percikan bunga api seperti ibu kota besar lain di dunia.  

Bandar-bandar kecil mungkin tidak terasa akan ritualnya acara tahun baharu ini. Akan tetapi di Kuala Lumpur dan bandar-bandar besar lain menjelang tahun baharu diisi dengan acara yang gilang gemilang. Kalau tidak diadakan seolah-olah tahun baharu tidak wujud dalam garis masa kehidupan kita.

Advertisement

Maka saban tahun di bandar raya utama dunia gemerlapan dengan percikan bunga api. Walaupun begitu bukanlah satu kemestian untuk diamalkan di negara ini. Kehidupan pada 1 Januari tetap bergerak seperti biasa  sekalipun tanpa acara mengalu-alukan  kehadiran tahun baharu.

Pengisian acara menyambut tahun baharu tidak ada signifikan dengan kehidupan atau perubahan sikap dalam kalangan rakyat.  Malah malam tahun baharu juga terus menyaksikan sikap buruk sesetengah dalam kalangan warga kota apabila sampah berselerak di Dataran Merdeka.

Saban tahun sikap buruk inilah yang diperlihatkan dengan jelas. Sekalipun sesetengahnya bersungguh-sungguh menyambut kedatangan tahun baharu, akan tetapi tidak banyak menjelmakan sikap baharu yang lebih baik. Maka wajarlah kalau ada yang tertanya-tanya akan keperluan acara tahunan itu.

Sebelum ini sudah beberapa kali kerajaan tidak menganjurkan  sambutan tahun baharu. Misalnya ketika negara dilanda tsunami pada 2004  yang menyaksikan angka korban paling besar di Aceh yang tidak jauh dari negara ini.

Pada Disember tahun berkenaan tidak ada sambutan tahun baharu di Kuala Lumpur dan bandar-bandar lain.  Walaupun tidak ada sambutan,  kehidupan berjalan seperti biasa malah lebih menginsafkan terhadap bencana terbesar yang pernah melanda di Asia Tenggara.

Pada tahun berkenaan  ketiadaan acara yang menjurus keseronokan dan kepestaan telah membangkitkan keinsafan. Disusuli rasa bersyukur kerana negara ini tidak diuji dengan bencana skala besar seperti di Aceh. Bukan sekadar bersimpati, akan tetapi menjadikan kita lebih mengerti terhadap isyarat yang ditanggung oleh orang lain.

Begitu juga pada akhir Disember 2021,  tidak diadakan sambutan tahun baharu di Kuala Lumpur seperti sebelumnya. Tindakan itu mungkin kerana bersimpati dengan mangsa banjir besar yang melanda tidak lama sebelum itu.

Ketiadaan sambutan tahun baharu itu menjadikan kita lebih memahami  akan musibah yang diuji kepada orang lain.  Maka sekiranya acara tahun baharu boleh menjadikan kita menjadi lebih mengerti akan kehidupan,  wajarlah diteruskan.  Bagaimanapun setakat ini acara berkenaan tidak memberikan kesedaran sedemikian.

Berpandukan beberapa kali yang tidak ada sambutan tahun baharu,  langkah tidak meneruskan tradisi ini perlu disokong dengan penuh sedar.  Tidak kiralah pihak mana yang menjadi kerajaan selepas ini,  perkara yang baik ini perlu diteruskan demi kepentingan rakyat.

Langkah tidak menganjurkan sambutan tahun baharu ini juga mengurangkan pembaziran untuk acara yang tidak memberi manfaat.  Membazir dengan memberikan sesuatu yang tidak  bermanfaat boleh dipandang ringan.

Kerap kali apabila dibangkitkan tentang pembaziran,  banyak pula yang menyanggah kononnya menggunakan wang tajaan. Seolah-olahnya pembiayaan daripada penaja boleh digunakan untuk tujuan tidak bermanfaat dan bukan pembaziran. Hal ini perlu diperbetulkan – pembaziran adalah menggunakan peruntukkan pada sesuatu yang tidak bermanfaat. (Utusan Malaysia 2 Januari 2023)

Advertisement
Please follow and like us:

Author / Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *