Mohd Hisyamuddin Ghazali, Ketua Pengarah JKOM.

Oleh Ku Seman Ku Hussain

Sejak Kementerian Komunikasi mengumumkan Mohd Hisyamuddin Ghazali (Syam Ghaz) Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM) yang baharu, agensi itu mula diperkatakan selepas agak lama tidak dipeduli. Itupun disebabkan beberapa tindakan Ketua Pengarah baharu itu yang menjadikan JKOM sebuah biro politik dan perang saraf parti.

Hal itu termasuklah mengeluarkan kecaman yang berbau perkauman terhadap pihak yang tidak sehaluan hingga memaksa Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil dan Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching mengarahkan supaya Mohd Hisyamuddin lebih beradab dalam memberikan kenyataan.

Populariti dalam masa yang singkat itu mengingatkan kita pada asal usul JKOM daripada Jabatan Hal Ehwal Ehwal Khas (JASA) era kerajaan Barisan Nasional (BN) dulu. Kemudian JASA diberikan pembungkusan baharu sebagai JKOM selepas kejatuhan BN.

Secara tersuratnya matlamat JASA adalah menyampaikan maklumat tentang dasar-dasar dan inisiatif kerajaan kepada rakyat. Maknanya tidak mengambil kira ideologi politik, semuanya rakyat. Bagaimanapun yang tersirat JASA lebih condong bekerja untuk parti kerajaan ketika itu.

Ketika itu saya telah menulis beberapa komentar tentang JASA, pertama lebih condong sebagai biro perang saraf politik BN melampaui tujuan yang tersurat memberikan maklumat kepada rakyat. Kedua, JASA bertindih dengan Jabatan Penerangan yang sudah lama menjalankan kerja menyampaikan maklumat.

JKOM perlu berkomunikasi menyampaikan maklumat kepada rakyat.

JASA diwujudkan dalam suasana politik yang semakin mencabar selepas penghujung dekad 1990-an. Kemunculan media alternatif dan perubahan landskap politik menyebabkan kerajaan ketika itu merasakan perlunya mekanisme komunikasi yang lebih agresif bagi menjelaskan dasar kerajaan kepada masyarakat.

Bagaimanapun ironinya, JASA yang menjadi sasaran kecaman pembangkang ketika itu turut menggunakan JASA (walaupun nama baharu) untuk tujuan yang sama selepas menjadi kerajaan. Hanya ditukarkan nama kepada JKOM, tetapi struktur dan peranan yang tersirat sama seperti JASA.

Sekalipun begitu belum ada Ketua Pengarah sama ada JASA atau selepas menjadi JKOM yang memposisikan agensi itu secara terang sebagai biro perang saraf parti politik, kecuali Mohd Hisyamuddin. Belum nampak di mana aspek komunikasinya dalam konteks rakyat.

Pendekatan yang diberikan pada JKOM bukan lagi ageensi kerajaan yang bertanggung jawab hal elwah komunikasi dua hala kepada rakyat, sebaliknya lebih pada propaganda politik yang terang dan agak kasar. Malah beberapa kali menggunakan istilah ‘kutip’ bermaksud ‘tangkap’ kepada pihak tertentu yang tidak sealiran.

Ketua Pengarah baharu itu dilihat seperti kurang cermat sebagai seorang penjawat awam dan tidak memperlihatkan kemahiran berkomunikasi yang semestinya ada kepada seseorang di kedudukan itu. Dalam ilmu komunikasi tindakan-tindakan sedemikian adalah amat bertentangan sama sekali.

Melihat pendekatan Ketua Pengarah JKOM baharu yang begitu agresif dan membawa agensi itu menjadi penangkis sudut pandangan yang bertentangan dengan parti, JKOM perlu menjadi unit perang saraf politik secara sah di bawah parti. Boleh sahaja dinamakan apa-apa sahaja, tetapi mesti berada bawah kawalan parti.

Maknanya, JKOM perlu dibubarkan dan struktur organisasi yang baharu terserah kepada parti sama ada dikekalkan atau sebaliknya atas biayai parti. Melalui cara itu segala gerak kerja melancarkan perang saraf boleh dijalankan dengan lebih bebas tanpa menjadi liabiliti kepada kerajaan.

Lagi pula inilah yang dinamakan reformasi yang dijaja sejak lebih suku abad lalu iaitu mengubah sistem atau dasar-dasar pentadbiran yang terdahulu. Reformasi bukan slogan tetapi tindakan. Maka sepatutnya JASA dibubar dan tidak diganti dengan JKOM yang meneruskan acuan tugas yang pernah dijalankan oleh JASA. Malah selari dengan dasar kerajaan untuk menjimatkan duit rakyat seperti yang dilaungkan oleh Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.

Difahamkan peruntukan JKOM sekitar RM16 juta tahun ini dan dikatakan yang paling rendah. Sekalipun paling rendah peruntukan itu datang daripada cukai rakyat tanpa mengira anutan politik. Tentulah amat tidak wajar kalau peruntukan itu memberi manfaat kepada parti dan bukannya kerajaan.

Sekiranya JKOM menjadi biro politik dan perang saraf parti secara rasminya, kerajaan boleh menjimatkan sekurang-kurang RM16 juta setahun. Sementara pasukan yang menggantikan JKOM yang bekerja untuk kelangsungan parti boleh bergerak lebih bebas tanpa perlu berbaju kerajaan, tetapi kerja untuk parti.

Mohd Hisyamuddin adalah seorang ahli politik, beliau pernah bertanding mewakili parti Amanah di Dewan Undangan Negeri (DUN) Apam Putra, Kelantan pada PRU 14. Kemudian bertanding mewakili PKR di Parlimen Kuala Krai pada PRU 15.

Pengalaman dalam dunia politik yang luas menjadi pemangkin Mohd Hisyamuddin seorang teraju biro politik dan perang saraf parti atau cybertrooper yang berjaya. Pendekatan yang diperlihatkan sejak hari pertama di JKOM menunjukkan bakat dan kebolehannya lebih pada perang saraf parti dan bukan ahli komunikasi.

Kebolehan yang luar biasa Mohd Hisyamuddin adalah suatu yang baik, bagaimanapun beliau tidak sesuai mengemudi sebuah agansi kerajaan dalam bidang komunikasi. Kebolehan itu tidak wajar dipersia-siakan dan membubarkan JKOM kemudian mewujudkan pasukan cybertrooper bawah kawalan parti adalah langkah terbaik.

Mohd Hisyamuddin boleh meneruskan pendekatan yang ditunjukkan kerana beliau bukan penjawat awam dan tidak bekerja dengan kerajaan. Salah satu halangannya berkerja dengan kerajaan mesti menjaga adab dan segala tutur kata mesti lebih berhati-hati.

Malah bekerja dengan kerajaan dalam bidang komunikasi memerlukan sedikit sebanyak kemahiran dalam bidang itu bagi memastikan mesej-mesej kerajaan sampai kepada rakyat. Bagaimanapun sebagai teraju cybertrooper yang bekerja dengan parti agak berbeza dan tidak memerlukan kemahiran komunikasi.

Kementerian Komunikasi perlu mengambil langkah drastik membubarkan JKOM dan terserak kepada parti untuk menubuhkan pasukan perang saraf seperti JKOM sekarang secara lebih rasmi.

Hal itu dilihat lebih adil kepada parti dan juga kerajaan. Pasukan itu boleh meneruskan pendekatan Mohd Hisyamuddin dan kerajaan boleh menggunakan pemahiran Jabatan Penerangan untuk berkomunikasi dengan rakyat. KAYANG POST.

Please follow and like us:

Author / Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *