Gelagat pengunjung di Pesta Air di Bukit Bintang baru-baru ini

Oleh Ku Seman Ku Hussain

PENGANJURAN Rain Rave Music Festival 2026 (Pesta Air) di Bukit Bintang pada 30 April hingga 2 Mei lalu adalah isyarat hala tuju pembangunan ekonomi Kuala Lumpur yang dijana daripada program hiburan. Pesta Air adalah idea luar kotak Menteri Pelancongan Kesenian dan Kebudayaan (Motac) Tiong King Sing yang menjadi pemula era baharu Kuala Lumpur sebagai kota hedonisme.

Idea luar kota itu tidak menjadi kenyataan tanpa sokongan luar kotak juga oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Hannah Yeoh. Kelulusan penganjuran pesta itu tertakluk bawah bidang kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sebagai pihak berkuasa tempatan (PBT).

Jangan gembira dulu apabila dikatakan idea di luar kotak. Tidak semua yang di luar kotak menandakan kehebatan dan luar biasa. Banyak juga yang sampah dan sengaja diletakkan di luar supaya tidak menjejaskan yang ada dalam kotak.

Idea luar kotak Tiong King Sing dan sokongan luar kotak Hannah Yeoh dilihat lebih berpotensi menjadi pemangkin kerosakan soaial kepada masyarakat. Pesta Air bukan hiburan, tetapi acara yang menyajikan keseronokan yang melampau.

Tiong King Sing Menteri Pelancongan Kesenian dan Kebudayaan

Inilah kali pertama menteri Motac yang nekad menganjurkan dan mempertahankan idea yang bertentangan kerangka dasar kebudayaan kementeriannya. Pelanggaran itu bukan disebabkan kejahilan, tetapi suatu yang disengajakan dan menguji pengaruh.

Hannah Yeoh pula menjadi Menteri Wilayah Persekutuan pertama membuka laluan hingga pesta keserokokan yang sedemikian dapat dijayakan di Kuala Lumpur. Suatu masa dulu program yang seperti itu hampir mustahil diluluskan oleh DBKL, tetapi biasalah sekali air pasang dua tiga kali pasir berubah.

Jadi, tidak perlulah bertanya tentang ‘kebudayaan’, ‘kesenian’ dan ‘hiburan’ dalam Pesta Air. Sememangnya perkara itu tidak ada kerana Pesta Air bukan program kebudayaan, kesenian atau hiburan. Definisi hiburan pada Pesta Air adalah keseronokan yang luar biasa.

Hannah Yeoh Menteri Wilayah Persekutuan

Disebabkan perkara yang dinyatakan di atas, idea Hanna Yeoh bukan suatu yang mengejutkan. Isyarat awal sudah diberikan melalui sokongan penganjuran Pesta Air yang mendapat banyak tentangan daripada pelbagai laisan masyarakat. Tidak bermotif politik tetapi sikap ambil endah terhadap nasib generasi masa depan.

Bagi menjadikan idea itu satu kenyataan DBKL diarahkan memudahkan prosedur dan mempercepatkan kelulusan permohonan bagi artis luar mengadakan pertunjukan di Kuala Lumpur. Terma ‘memudahkan’ dan ‘mempercepatkan’ adalah arahan khusus yang tidak boleh diambil ringan oleh DBKL.

Sekali lagi, apabila melihat isi kandungan dan corak pertunjukkan Pesta Air, kita semua tentu boleh membayangkan bentuk keseronokan yang akan menggelegak di Kuala Lumpur – kota hedonisme yang baharu. Idea itu meletakkan Kuala Lumpur sama seperti beberapa ibu kota lain yang bergelut dengan keruntuhan moral dan kemanusiaan.

Faktor itulah yang sebenarnya membuatkan banyak menteri dan birokrat Kuala Lumpur sebelum ini tidak membuat sesuatu yang konongya ‘di luar kotak.’ Mereka bukan ketandusan idea, tetapi faham akan kesan buruk meletakkan kepentingan ekonomi di depan perkara yang melibatkan sosial dan budaya.

Kuala Lumpur bukan tidak boleh menjana ekonomi, tetapi perlu mengambilkira kestabilan sosial yang mewujudkan kehidupan yang harmoni. Menjana ekonomi melalui program hiburan boleh membawa penyakit sosial dan mengubatinya tidak semudah menganjurkan program selawat dan ceramah agama di Bukit Bintang.

Memang baik menganjurkan program selamat dan ceramah agama di tempat terbuka berskala mega. Bagaimanapun lebih baik lagi kalau menumpukan pada meluaskan syiar Islam melalui suntikan kesedaran menjauhkan diri daripada hedonisme. Salah satu contohnya Pesta Air.

Sebelum ini ada beberapa kawasan di Lembah Kelang dipenuhi pusat hiburan dan menjadi pemangkin kegiatan jenayah. Sama ada berlesan atai sebaliknya, pusat hiburan tetap memberikan kesan yang sama – merosakkan keharmonian dan kebahagiaan masyarakat setempat.

Saya percaya Hannah Yeoh sangat faham tentang sejarah dan tamadun Kuala Lumpur. Sekalipun begitu memahami sejarah sahaja belum cukup melainkan dijadikan sebagai penunjuk arah dalam merangka pembangunan sosial dan ekonomi Kuala Lumpur.

Bagaimanapun sungguh ironi apabila pembangunan Kuala Lumpur daripada kerangka pusat hiburan global bukan sahaja sangat bertentangan, malah menafikan teras sejarah dan tamadun ibu kota itu. Kerangka itu meletakkan Kuala Lumpur terpisah secara budaya dan sosialnya dengan negara ini.

“Pulangan pada ekonomi Malaysia datang daripada pelancong antarabangsa, kira-kira 100,000 orang datang ke Pesta Air dan membelanjakan sekitar RM255 juta hanya pada tiga malam hujung minggu. Pengunjung tempatan pula sebanyak 150,000 orang membelanjakan kira-kira RM64 juta,” demikian kenyataan Hannah Yeoh yang dilaporkan oleh Bernama.

Walaupun beberapa pihak mempersoalkan angka-angka itu, tetapi hal yang lebih besar adalah kecenderungan bersandar angka-angka ekonomi yang mempesonakan. Itu adalah naratif yang secara tidak langsung mengalih perhatian daripada masalah sosial pada transaksi ekonomi.

Warga Kuala Lumpur berhak menikmati kehidupan bahagia yang bebas daripada pergulatan sosial dan jenayah. Hiburan melampau selalunya membawa penyakit sosial tiga serangkai – arak, seks bebas dan jenayah. Perlu diingat bahawa semua budaya dan agama menolak ketiga-tiga perkara ini.

Sekiranya hiburan bertaraf global menjana pulangan ekonomi yang tinggi sekali gus menjadikan Kuala Lumpur ibu kota paling maju sekalipun, warga ibu kota tidak semestinya menikmati kebahagiaan. Salah satu sebabnya rasa bahagia mendiami sesuatu tempat bukan sahaja daripada sudut prasarana, tetapi juga persekitaran sosial yang menjanjikan keamanan dan ketenangan.

Banyak ibu kota terkemuka dunia telah membuktikan bahawa tidak semua pulangan daripada transaksi ekonomi menyumbang pada pembinaan tamadun dan bergerak selari dengan sejarah. Banyak kota besar yang menjadi kaya dengan hiburan berdepan krisis sosial yang tenat sekali gus merampas kebahagiaan yang sepatunya menjadi milik setiap warga.

Banyak ibu kota di negara maju sedang bergelut dengan sesuatu yang jauh lebih gelap – keruntuhan moral, kehilangan nilai kemanusiaan dan peningkatan jenayah yang akhirnya memakan jiwa ibu kota itu sendiri. Sebagai langkah membendung, penguasa di ibu kota berkenaan memperkenalkan peraturan ketat untuk mengawal hiburan yang memberikan kesan sosial yang buruk dalam jangka masa panjang.

Lihat sahaja Amsterdam, kota yang selama bertahun-tahun dipromosikan sebagai simbol kebebasan Eropah. Akhirnya penguasa mulai sedar bahawa kebebasan hiburan tidak membawa pelancong yang menghargai sejarah, seni dan budaya. Sebaliknya menjadi kota untuk untuk mabuk, berpesta dan memuaskan naluri manusia pada keseronokan.

Akhirnya pihak berkuasa Amsterdam mengehadkan aktiviti hiburan tertentu, mengawal penggunaan dadah, memperketat operasi premis pusat hiburan dan melancarkan kempen menghalang ‘party tourism.’ Mereka berbuat demikian kerana sedar bahawa hiburan melampau telah merampas kebahagianan hidup masyarakat.

Kuala Lumpur perlu dibangunkan sebagai pusat seni dan budaya yang tertampil di rantau sebelah sini. Seni dan budaya mampu melahirkan generasi yang berfikir, menghargai keindahan, memahami sejarah dan memiliki kehalusan hati budi.

Oleh hal yang demikian kerajaan mesti mengambil langkah berani mengelak bergantung pada hiburan dalam membangunkan Kuala Lumpura. Pada mulanya memang kelihatan seperti kemajuan, tetapi perlahan-lahan ibu kota hilang keseimbangan. Ruang awam dipenuhi acara hiburan dan generasi muda dibesarkan dalam gaya hidup berseronok tanpa sempadan.

Kuala Lumpur sebenarnya berpotensi besar menjadi kota seni yang terbaik di rantau ini. Negara ini kaya dengan sejarah muzik tradisional, seni bina warisan yang hebat dan tradisi kesusasteraan Melayu yang panjang dan pelbagai bentuk seni rakyat lainnya yang unik.

Kita tidak boleh meniru bulat-bulat model kota global yang menjadikan hiburan sebagai nadi ekonomi. Kuala Lumpur harus mempunyai acuan sendiri yang sesuai dengan sejarah dan tamadun negara yang berakar pada tradisi budaya Timur.

Pada akhirnya sebuah ibu kota negara akan dikenang kerana nilai-nilai yang diwariskan kepada generasi baharu, bukannya kejayaan menjana ekonomi daripada sumber yang membawa nilai bertentangan. Dalam soal ini Hannah Yeoh perlu membuktikan bahawa persepsi negatif sesetengah pihak ketika beliau dilantik Menteri Wilayah Persekutuan tidak benar.- KAYANG POST

Please follow and like us:

Author / Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *