Oleh Dr Nordin Kardi

Di Malaysia terdapat dua golongan M40. M40 Melayu dan M40 Cina dan yang lain. Karakter antara kedua-duanya jauh berbeza. M40 Cina dan lainnya muncul secara organik seperti yang pernah dilalui negara-negara industri dunia, sementara M40 Melayu muncul daripada hasil rekayasa pemerintah.

Saya sendiri (syukur diberi nikmat umur oleh Yang Maha Berkuasa) dapat melihat dengan mata kepala sendiri. Jalan-jalan di Kuala Lumpur telah berubah karakter. Dulu Kuala Lumpur dibanjiri penunggang muda Cina.

Mereka merempit dengan ganas, tetapi perlahan-lahan mereka hilang dan diganti oleh penunggang Melayu. Perempit Melayu juga berlumba pada waktu malam dari Jalan Pudu hingga membelok di bulatan Bank Negara.

Sekarang sangat jarang saya melihat Cina menunggang motorsikal kapcai di kota Kuala Lumpur. Ini perubahan organik orang Cina memasuki M40 dan selanjutnya T20. Kenaikan vertikal sosio-ekonomi mereka tanpa batas.

Bagi M40 Melayu pula, oleh kerana mereka dibina oleh rekayasa pemerintah maka perkembangan mereka sangat terikat pada statistik ciptaan pemerintah. Majoriti mereka di sektor perkhidmatan awam, badan berkanun dan GLC atau apa apa badan yang diregulasikan oleh pemerintah.

Sebahagian besar dalam kalangan M20 Melayu adalah penjawat awam, badan berkanun adan GLC

Tempat mereka ialah di sektor kerajaan. Mereka sangat terikat pada bilangan waran perjawatan yang dicipta oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan waran kewangan Perbendaharaan. Dalam keadaan itu pergerakan mereka memasuki kelas menengah M40 bukan atas usaha sendiri, tetapi disebabkan kekosongan yang perlu diisi.

M40 Cina mahu pun M40 Melayu sama-sama menukar gaya hidup – gaya hidup berkenderaan, memiliki rumah, bersosial dan berbelanja. Namun, cara mereka melalui gaya hidup itu tetap berbeza.

M40 Cina sangat cair – boleh naik dengan segera dan jatuhnya juga segera. Itu proses berterusan. Mereka melaluinya secara organik . M40 Melayu terus naik secara tetap dan ada silingnya.

Suatu waktu ada cerita tetang mendatar, menegak dan melintang. Ada konsep ‘mati gaji’ dan ‘sampai dinding’, tidak naik lagi kecuali apabila ada semakan, juga atas rekayasa pemerintah. Label mereka juga berubah-ubah mengikut selera pemutus di JPA atau badan berkanun.

Oleh kerana M40 Melayu berpendapatan tetap dan berpencen maka perancangan kewangan mereka ialah merancang hutang rumah, kereta dan kad kredit. Sedangkan M40 Cina merancang pelaburan, jangkaan pulangan daripada pelaburan (ROI) dan bermacam – macam lagi penggunaan prinsip perakaunan dari yang simple hingga yang kompleks.

Gelagat membayar cukai kepada negara juga berbeza antara M40 Melayu dengan M40 Cina. Melayu M40 boleh menyiapkan sendiri dengan penyata cukai, tetapi M40 Cina mungkin menggunakan khidmat akauntan atau perunding cukai

Motivasi hidup M40 Cina dan M40 Melayu pun berbeza. Motivasi majoriti M40 Melayu ialah ‘tetap dan berpencen’. Kuasa memindahkan dari M40 ke T20 bukan di tangan mereka.

Sedangkan bagi M40 Cina, pergerakan ke T20 level satu dan dua terletak 100 peratus di tangan mereka. Mereka tidak terikat dengan penilainan tahunan oleh ‘boss’. Maka, boleh berlaku keadaan ‘hari ini M40 Cina duduk di rumah teres setingkat dan bulan depan berpindah ke semi-D’. Itu tidak berlaku kepada M40 Melayu, kecuali kena loteri. Cara mereka menyombong diri pun tak sama.

Psike M40 Melayu dan M40 Cina juga berbeza. Cina mesti kerja keras untuk naik ke T20 semasa ekonomi baik dan bersaing semasa ekonomi merosot untuk bertahan. M40 Melayu akan berserah kepada majikan. Kerjanya sama saja. Majikan mereka kerajaan.

Mereka terjebak hutang yang tinggi membeli rumah, kenderaan, kad kredit dan biayai anak melanjutkan pelajaran. Apabila nilai pendapatan jatuh kerana ekonomi jatuh , M40 Melayu merungut kerana tidak mendapat kemudahan subsidi yang pernah mereka dapat sewaktu menjadi B40.

Dasar Ekonomi Baru (DEB) ialah dasar rekayasa pemerintah membesarkan saiz kelas menengah. Sebagai langkah mengurangkan kemiskinan DEB berjaya degan cemerlang, tetapi sasaran menyusun semula masyarakat yang ‘buta kaum’ gagal.

Daripada analisis ini, tidak hairan kenapa perkauman di Malaysia masih meluas kerana kehidupan dua pihak itu sememangnya terpisah. Sebab itulah ada isu UEC. Cerita Melayu berjiran dengan Cina dan berbaik-baik pun hanya cerita kosmetik utuk mengindahkan wajah yang bawahnya tetap banyak lopak-lopak kulit tinggalan jerawat.

Analisis saintifik dan akademik mengenai hal ini dijelaskan oleh pensyarah saya Profesor Emeritus Dato’ Dr Abdul Rahman Embong dalam buku beliau State-led Modernization and the New Middle Class in Malaysia (2002).

TAN SRI PROFESOR DR NORDIN KARDI adalah Ketua Pegawai Eksekutif Jakarta Business School di Jakarta. Tulisan ini kali pertama disiarkan di laman Facebook beliau.

Please follow and like us:

Author / Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *