
UNIVERSITI Kebangsaan Malaysia (UKM) kini tersenarai dalam kelompok universiti terbaik ke-126 dunia dalam penarafan QS World University Rankings dan top ke-4 di ASEAN. Pencapaian gemilang daripada sekitar 50 ribu universiti di seluruh dunia ini adalah satu anjakan yang luar biasa bagi sebuah institusi yang pada awal penubuhannya bukan sahaja diragui, bahkan dicemuh.
Kini, UKM bukan sahaja menjadi buruan anak tempatan, malah menjadi rebutan penuntut antarabangsa dari pelbagai pelosok dunia sehingga kemasukan warga asing ini menjadi antara isu semasa yang hangat diperdebatkan.
Jika diteliti secara mendalam, terdapat satu keunikan mistik yang melatari garis masa penubuhan dan evolusi universiti ini. Kisah UKM seolah-olah dipahat oleh takdir melalui pusingan misteri ‘angka 8’ pada setiap sepuluh tahun. Setiap kali fasa sedekad berputar dan berakhir dengan angka lapan, sebuah lembaran besar yang sarat dengan air mata, keringat dan pergolakan siasah bertulis dalam sejarahnya.
Kitaran takdir ini bermula pada tahun 1948, apabila orang Melayu bawah pimpinan UMNO bangkit bersatu menentang gagasan Malayan Union demi mempertahankan kedaulatan peribumi. Kemenangan moral ini meletakkan UMNO sebagai teraju utama kerajaan pasca merdeka yang sedar bahawa kemerdekaan mutlak memerlukan acuan pendidikan sendiri.
Tepat sepuluh tahun kemudian, pada tahun 1958, Laporan Pelajaran Razak membuahkan hasil konkrit dengan penubuhan sekolah menengah aliran Melayu pertama, membuka jalan bagi pendidikan berteraskan bahasa kebangsaan.
Namun, rantaian pendidikan itu hampir terputus di peringkat tinggi kerana ketiadaan universiti tempatan yang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar. Keadaan ini mencetuskan gelombang perjuangan seterusnya pada tahun 1968.

Pada tahun berekor angka lapan ini, sekumpulan cendekiawan dan persatuan guru menubuhkan Jawatankuasa Penaja Universiti Kebangsaan untuk mendesak penubuhan sebuah menara gading nasional. Langkah ini diambil demi mematahkan skeptisisme tegar kelompok yang mencemuh dan meragui kemampuan bahasa Melayu untuk mengungkapkan ilmu sains dan perubatan.
Keraguan itu akhirnya dipadamkan apabila UKM rasmi mengambil angkatan pertama mahasiswanya pada tahun 1970 and dengan berani memulakan ijazah perubatan (MBBS) pada tahun 1972.
Sekali lagi, putaran sepuluh tahun menjelma dan pada tahun 1978, UKM mencapai satu lagi detik bersejarah apabila berpindah dari Lembah Pantai ke kampus induknya yang serba moden dan luas di Bangi. Kampus Bangi inilah yang kemudiannya menjadi simbol kedaulatan intelek bangsa.
Menjelang tahun 1988, kitaran angka lapan membuktikan kematangan institusi ini apabila UKM berjaya melahirkan generasi profesional, pakar sains, dan teknokrat berbahasa Melayu yang mengisi pasaran pekerjaan negara dengan cemerlang. Kejayaan ini mematangkan peranan bahasa kebangsaan dan meluaskan portfolio UKM sehingga mencetuskan pembinaan Kampus Perubatan UKM di Cheras (Hospital UKM) pada tahun 1993 yang beroperasi sepenuhnya pada 1 Julai 1997.
Dua dekad seterusnya, penanda angka lapan kembali membawa transformasi besar. Pada tahun 2008, selepas beberapa tahun diiktiraf sebagai Universiti Penyelidikan (UP), UKM memperkukuh tadbir urus globalnya melalui pengenalan lapan niche penyelidikan strategik, termasuk agenda ‘Negara Bangsa.’
Langkah ini melonjakkan nama UKM ke persada antarabangsa tanpa mengorbankan identiti watan yang dikandungnya.
Namun, kitaran angka lapan yang paling tragis dan puitis tersimpan pada tahun 2018. Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 tahun 2018, UMNO selaku tunjang Barisan Nasional mengalami kekalahan bersejarah buat pertama kali sejak merdeka. Kejatuhan ini secara puitisnya turut dicorakkan oleh anak-anak UKM sendiri—mahasiswa dan alumni yang dididik berfikir secara kritis di menara gading tersebut.

UMNO yang selama ini disandarkan sebagai ‘rumah besar’ tempat bernaung bangsa Melayu akhirnya runtuh pada tahun 2018. Rumah keramat itu roboh bukan kerana rapuh asas strukturnya, melainkan akibat kealpaan dan noda beberapa penghuni utamanya sendiri.
Kesedaran sivik yang melonjak menyebabkan generasi muda bangkit merobohkan institusi siasah yang dahulunya pernah membentang hamparan permaidani pendidikan buat nenek moyang mereka.
Ia merupakan suatu kitaran takdir yang amat tragis—ibarat anak yang menghujamkan mata pena kritikal tepat ke dada ibunya sendiri.
Namun, di sebalik debu-debu runtuhan siasah yang melahirkannya, UKM melangkah keluar daripada bayang-bayang kepartian untuk berdiri sebagai sebuah monumen ilmu yang kalis zaman.
Sejarah akhirnya menyaksikan sebuah anjakan paradigma yang sarat dengan ironi dan keadilan masa. Kelompok, kaum, dan keturunan yang dahulunya memandang sebelah mata, mencemuh, malah meragui kewibawaan universiti berteraskan bahasa Melayu ini, kini menjadi antara yang paling hadapan bertali-arus, berebut-rebut demi menempatkan anak cucu mereka di sini.
Hari ini, UKM bukan lagi sekadar milik satu bangsa, tetapi telah bertukar menjadi medan rebutan global yang melampaui sempadan benua. Keputusan berani memartabatkan bahasa ibunda dalam dunia sains dan perubatan dekad lalu, kini membuahkan hasil apabila menara gading ini dikepung oleh ribuan penuntut antarabangsa dari pelbagai pelosok dunia.
Kehadiran gelombang ekspatriat akademik ini begitu mendadak sehinggakan ia mencetuskan polemik hangat dan isu semasa tentang sejauh mana sebuah universiti watan harus mengimbangi jati diri tempatan dengan tuntutan globalisasi.
Akhirnya, UKM telah terbang tinggi meninggalkan ranjang politik purba yang pernah membidaninya. Ia berdiri megah di persada antarabangsa sebagai bukti mutlak bahawa bahasa Melayu tidak pernah tewas dalam meniti arus sains dan ketamadunan moden.
Biarpun rumah besar UMNO yang dahulunya membina asas universiti ini telah lama retak dan berubah rupa, anak yang dilahirkannya—UKM kini menjadi obor yang menyinari dunia, digilai oleh kawan dan digelembung cemburu oleh lawan yang dahulunya mencela. UKM masih tegak gagah walaupun payung penaungnya selama ini telah robek. Suatu bukti kepada yang mahu memahami rahmat tersembunyi.
Kini, roda masa terus berputar tanpa henti membawa kita menghampiri satu lagi persimpangan takdir.
Dengan segala ombak polemik kemasukan pelajar antarabangsa yang kian membadai dan dinamika landskap sosiopolitik tanah air yang terus berubah wajah, satu persoalan besar mula bergema di ruang legar sejarah: apakah pula kejutan, transformasi, atau ranjau yang bakal dibawa oleh putaran misteri ‘angka 8’ UKM seterusnya menjelang tahun 2028?
Saya adalah alumni UKM.
Nota: Tulisan ini kali pertama disiarkan di Facebook Nordin Kardi.
* TAN SRI DR NORDIN KARDI adalah Ketua Pegawai Eksekutif Jakarta Business School, Jakarta.