Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah antara Raja yang mempunyai pemikiran dan unjuran intelektual yang tinggi dalam isu-isu kenegaraan serta sosial tempatan dan antarabangsa. Titah ucapan baginda sentiasa ditunggu-tunggu kerana diyakini membawa cetusan-cetusan baru lagi kritis yang menuntut keterlibatan pemikiran untuk menghadamnya.
Sebagai seorang ahli intelektual, Sultan Nazrin menyalurkan pandangan yang bernas, jujur dan membina dalam konteks Raja Berpelembagaan di negara ini. Keterampilan pemikiran tinggi Sultan Nazrin membuktikan peripentingnya Raja yang memiliki ilmu serta menghayati denyut nadi rakyat dan menyuarakan dengan tegas untuk membetulkan yang tergelincir dari landasan yang sewajarnya.
Titah ucapan pada Konvensyen Memperkukuh Pasak Negara di Hotel Marriot, Putrajaya semalam (4 Ogos) juga membawa perkara besar iaitu menegur secara tegas institusi Raja, pemegang kuasa eksekutif dan rakyat. Baginda memberi peringatan kepada pemegang kuasa eksekutif supaya memberikan fakta atau maklumat yang betul kepada Raja supaya sebarang ketetapan yang dibuat tepat dan memberikan manfaat kapada rakyat.
“Ketika merumuskan sesuatu keputusan, Raja bergantung kepada fakta dan maklumat yang disembahkan. Raja tidak berupaya melakukan yang terbaik dan yang paling bijak, jika tidak disembahkan dengan nasihat yang betul dan maklumat yang tepat, jika terus dipagari dengan kepalsuan dan dihiaskan dengan kepura-puraan,” titah Sultan Nazrin.
Baginda nenegaskan, “Amatlah penting untuk Raja disembahkan pandangan secara tepat – secara objektif, berlandaskan kebenaran – berteraskan fakta. Adalah penting untuk barisan yang dipertanggungjawabkan menasihati Raja bersifat ikhlas, arif lagi berilmu, berkata benar, supaya Raja tidak dibuai dalam khayalan dan tidak diulit dengan gurindam kepalsuan. Pihak-pihak yang memalsukan fakta dan melindungi kebenaran daripada Raja Pemerintah, derhaka sifatnya.”
Pengajaran
Sultan Nazrin memberitahu, baginda mengambil pengajaran daripada takhta yang tinggal di dalam sejarah disebabkan perbuatan tidak bertanggungjawab para wazir dan pembesar istana, menyembahkan nasihat yang salah; pada akhirnya negara tergadai dan warga berkecai. Sejarah juga menunjukkan ada takhta yang turut terkorban disebabkan salah laku para pembesar yang mementingkan diri sendiri ketika berteduh di bawah payung naungan takhta.
Sementara teguran terhadap institusi Raja pula, Baginda bertitah, “Raja-Raja yang masih memiliki takhta wajar mengambil iktibar daripada evolusi yang rancak berlaku di serata dunia. Pendemokrasian pendidikan telah melahirkan masyarakat lebih terbuka, memudahkan minda manusia bersifat lebih kritis. Era teknologi maklumat – era komunikasi telah menembus sempadan negara – sempadan geografi. Rakyat semakin terdedah dengan sumber maklumat dan berada dalam kedudukan yang berupaya melakukan penilaian terhadap institusi raja.”
Pada masa yang sama Sultan Nazrin turut menasihatkan institusi Raja supaya bijaksana memanfaatkan kuasa budi bicara supaya ketetapan yang dibuat memberikan manfaat kepada negara dan rakyat. Untuk mendapatkan ketetapan yang bijaksana itu Raja perlu mendapatkan pandangan yang seluas dan sedalam yang mungkin daripada pelbagai merentasi sempadan kaum, budaya dan politik – daripada dalam dan luar kerajaan, merangkumkan ulama dan umara.
“Raja perlu bijaksana mengaplikasi kuasa budi bicara supaya apa juga ketetapan yang dititahkan akan memberikan sebaik-baik manfaat kepada negara dan warga. Dalam, warga tua dan warga muda; menganalisis segala fakta secara teliti, halus lagi mendalam, membezakan antara padi dengan antah, antara kaca dengan permata, sebelum mengaplikasikan kuasa budi bicara yang diperuntukkan,” tegas baginda.
Titah ucapan yang sangat bernas itu juga mengingatkan kembali tentang Tujuh Wasiat Raja-Raja Melayu yang tertera secara tersurat dalam Perlembagaan Persekutuan.
Antara wasiat itu ialah kedaulatan Raja-Raja, Islam sebagai agama Persekutuan, Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan, Tanah Simpanan Melayu, kedudukan istimewa orang Melayu dan kepentingan sah kaum-kaum lain, diberi jaminan untuk dilindungi setiap masa. Perkara-perkara ini tidak boleh dipinda di dalam Perlembagaan tanpa perkenan Raja-Raja.
Tuntutan syarak
Sultan Nazrin juga menasihatkan supaya Raja tidak rasa tertekan dan tidak semestinya memberikan perkenan jika nasihat yang disembahkan bercanggah dengan tuntutan syarak, menyimpang daripada semangat Perlembagaan, bertentangan dengan keluhuran undang-undang serta melanggar prinsip keadilan sejagat, hingga memungkinkan berlakunya penindasan dan kezaliman.
Walaupun institusi Raja bebas daripada politik tetapi Baginda peka dengan pergolakan yang berlaku pada masa ini. Baginda turut menelaah perkara-perkara yang berlaku yang kesannya tidak baik kepada keharmonian dan perpaduan rakyat.
“Ketika warga dilanda hempasan ombak perebutan kuasa, yang kelihatan semakin meretakkan perpaduan, barang dijauhkan warga dari menghadapi nasib, benang habis – kain tak jadi, jarum patah – baju tak siap. Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu berada dalam sebaik-baik kedudukan untuk melindungi kepentingan warga.”
“Berkat daulat Raja-Raja Melayu, semoga warga yang berada di tangga dapat ke pelantar, jika di pelantar dapat ke anjung, yang di serambi dapat ke tengah rumah. Berkat naungan Raja-Raja Melayu, semoga warga dapat dibimbing, menapis yang keruh menjadi jernih, membuang yang bengkok – mengambil yang lurus,” titah baginda dalam kiasan yang menuntut kerajinan memanfaatkan pemikiran untuk menangkap maksud di dalamnya.
Intelektual yang tidak nampak memberi manfaat pada masyarakat.
Lihatlah isu 1mbd, titahnya raja-raja sentiasa peka dan cakna, tapi hasil tetap zero. Cakna apa macam tu.