Bukan manusia sahaja ada status sosial, ikan pun ada status sosial juga. Suatu ketika dulu – kurang sepuluh tahun lalu, ikan kembung bagi “orang kaya” hanya bagi makan kucing saja. “Orang kaya” makan ikan yang kelas tinggi; tenggiri, ikan merah atau ikan parang.
Ikan kembung adalah ikan untuk golongan marhaen kerana harganya murah. Sekilo ikan tenggiri ketika itu sama dengan lima kilo ikan kembung yang harganya bawah RM10. Orang marhaen yang berkeluarga besar hanya akan membeli ikan kembung, kerang atau sedikit sayuran.
Tetapi hari ini orang marhaen sudah tidak ada ikan untuk dimakan. Semua harga ikan yang dulunya bertaraf marhaen kini sangat mahal dan mampu dibeli oleh golongan kaya. Bayangkan sekarang ini harga sekilo ikan kembung telah mencecah RM25, harga yang boleh membeli sekilo tenggiri suatu ketika dulu.
Menurut Harian Metro Februari lalu, harga ikan kembung di Kuala Muda, Kedah mencatatkan RM25 sekilogram. Kuala Muda adalah kawasan nelayan yang secara munasabahnya harga ikan terutama ikan kelas marhaen adalah murah. Kalau di Kuala Muda sudah RM25 sekilogram, jangan tanya di Kuala Lumpur yang seolah-olah semuanya dihuni orang kaya.
Menurut Astro Awani pada Mei pula, harga ikan kembung di Kuala Kedah ialah RM22 sekilogram. Saya mengambil contoh di kawasan luar bandar yang secara teorinya harga ikan adalah rendah. Kuala Kedah dan Kuala Muda adalah kawasan luar bandar yang sepatutnya harga ikan berada di tahap rendah.
Apa tindakan kerajaan? Kalau hendak kata lembab memang lembablah. Harga ikan kembung RM25 sekilogram di Kuala Mudah berlaku pada Mei. Tetapi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) baru hendak mengkaji harga ikan kembung. Menterinya, Hamzah Zainuddin berkata, kerajaan akan mengkaji untuk menetapkan harga ikan runcit ikan kembung tetapi masih dalam peringkat perbincangan.
Kalau sekarang masih dalam perbincangan, kita pasti menjengah tahun depan pun ketetapan masih belum boleh dibuat. Maka saya pun tertanya-tanya, terlalu rumit sangatkah prosedur untuk membuat ketetapan harga ikan kembung, ikan untuk golongan marhaen?
Menurut Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) antara faktor melambungnya harga ikan ialah manipulasi orang tengah. Hmmmm bukan payah pun hendak tahu sebabnya dan payah sangatkah untuk membanteras orang tengah yang dikenalpasti menjadi “lintah darat”?
Orang tengah
Ketika Ismail Sabri Yaacob menjadi Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, beliau telah melancarkan perang terhadap orang tengah terutama dalam industri perikanan. Perang Ismail Sabri berkesan tetapi perang itu entah ke mana selepas Ismail Sabri bertukar ke kementerian lain.
Ikan kembung adalah manifestasi perjuangan kerajaan untuk golongan marhaen atau golongan yang dikelaskan sebagai “miskin bandar” di Kuala Lumpur. Kalau kerajaan tidak endah dengan masalah yang dihadapi oleh golongan marhaen ini, katakan terus terang bahawa kerajaan tidak boleh berbuat apa semasa kempen pilihan raya umum.
Kenaikan harga ikan kembung melepasi kenaikan gaji di sektor awam dan swasta. Secara teorinya ini satu perkembangan yang baik kerana apabila harga ikan naik, pendapatan nelayan yang rata-rata orang Melayu juga meningkat. Tetapi perkara ini tidak berlaku.
Nelayan terus dibelenggu kemiskinan kerana harga ikan yang dibeli “orang tengah” terlalu murah. Mereka terperangkap dengan hutang “orang tengah”. Jadi, nelayan Melayu yang bertarung nyawa di laut adalah murah, nasib Melayu marhaen juga murah apabila harga ikan kembung tidak boleh dikawal oleh kerajaan.
Jadi, nanti dululah untuk bercakap mengenai negara berpendapatan tinggi. Apalah ertinya negara yang rakyatnya berpendapatan tinggi kalau kerajaan terus gagal memastikan harga barang tidak melepasi garis yang munasabah. Biarlah pendapatan sedkit rendah tetapi kerajaan mempunyai “kekuatan” dan “iltizam” untuk mengawal harga barang.
Percayalah, rakyat marhaen yang kelaparan tidak akan menjadi kenyang hanya dengan menelan “muntah-muntah retorik” pemimpin mereka. Mereka tidak mahu retorik. Mereka sudah kenyang dengan retorik.