Satu perkembangan yang membanggakan berlaku di negara kita semalam. Berita gembira ini harus disambut dengan kegembiraan juga apabila usaha kita menghumban bahasa Melayu ke tepi berjaya dilaksanakan. Apalah yang kita harapkan kepada bahasa yang hanya digunakan oleh peminta sedekah?
Itupun tidak semua peminta sedekah menggunakan bahasa Melayu untuk meminta kepada yang tidak berbahasa Melayu. Ada yang berbahasa Cina untuk meminta sedekah dengan China yang sangat tegar setianya kepada bahasa. Saudara-saudara Muslim kita dari Bangladesh berusaha bercakap Melayu kerana mahu berkerja di sini.
Sebenarnya mereka ini tidak tahu yang bahasa Melayu sudah tidak ada tempat di negara asal namanya Tanah Melayu ini. Bahasa Melayu hanya bernilai kepada pekerja Bangla saja. Kalau mereka tanya, dengan jujur saya nasihatkan supaya belajar bahasa Cina (Mandarin atau Kantonis). Untung-untung boleh bekerja di Bandar Malaysia atau Forest City.
Saya akan pesan berkali-kali, jangan belajar bahasa Melayu. Pandai Bahasa Melayu macam pandai membuat bubu, tidak berguna zaman ini. Tengoklah Bangla yang pandai cakap Melayu hanya layak bekerja sebagai tukang sapu atau buruh saja di negara ini. Dari belajar bahasa Melayu lebih baik mereka ajar bahasa ibunda kepada orang Melayu. Berguna juga kalau kita nak melancong ke Dhaka. Di sana bahasa ibunda lebih utamakan.
Semalam telah berlangsung acara pecah tanah projek mega Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Kuantan oleh Perdana Menteri Najib Razak. Projek itu menelan belanja RM55 bilion “dibiayai” (baca hutang) oleh China Communications Construction Group (CCCG).
Tetapi dalam media arus perdana tidak dinyatakan “dibiayai” oleh China cuma disebut antara yang hadir ialah Ahli Majlis Negeri China sebagai wakil khas Presiden China, Pengerusi CCCG dan pegawai kanan China. Ada yang lurus bendul bertanya, “kenapa banyak orang China datang?”
Ada sesetengah pihak marah apabila imej China daripada gegantung (banner) hingga bahasa Cina digunakan dalam majlis rasmi negara asal Tanah Melayu ini. Ada pihak yang apologetik pula berkata, “Najib Razak berucap dalam bahasa Melayu cuma diterjemah dalam bahasa Cina.”
Tidak kisahlah Najib bercakap Melayu atau apa. Yang pentingnya sangat wajar didominasikan bahasa Cina kerana China memberi hutang RM55 bilion untuk projek mega ini. Sedarlah diri kita sikit, kita ini sudah melarat dan hampir papa kedana. Orang sanggup bagi hutang pun sudah nasih baik, jangan paksa orang berduit ikut bahasa orang tidak berduit.
Kenapa hendak bising acara yang dihadiri oleh pemberi hutang RM55 bilion dari China tenggelamkan bahasa Melayu? Banyak orang Melayu, Menteri Melayu dan tokoh korporat Melayu pun tidak menghormati (menutur dan menulis dengan baik) bahasa Melayu. Terimalah hakikat bahawa kita ini lemah iman terhadap bahasa Melayu.
Saya percaya inilah adalah antara kesan pantas Kongres Budaya 2017 yang baru lalu di mana antara lain memperkasakan Dual Language Programme (DLP) yang khabarnya panel kongres terdiri daripada sasterawan dan budayawan tidak tahu kewujudan resolusi mengenai DLP ini. Ada tangan ghaib memasukkannya.
Oleh yang demikian penganjur acara besar itu tidak harus rasa apologetik kerana memberi ruang kepada bahasa Cina. Anda telah melakukan yang sewajarnya. Anda sedar diri anda. Pedulikan persatuan-persatuan penulis, kemarahan boleh diuruskan dengan wang. Cash is king.
Semangat patriotik seperti ini wajar dipuji. Tapi janganlah sampai membuangnya ke tepi. Bahasa Melayu perlukan pembelaan, perjuangan. Janganlah marahkan tikus rumah dibakar. Patahkan pedang sebelum bertempur…Atuk
Saya memahami maksud tersirat tulisan Saudara. Bahasa Melayu bukan baru-baru ini sahaja diremehkan kewujudannya dan kedaulatannya, bahkan sudah sekian lama. Yang “bercakap bukan sahaja tak serupa bikin”, malah “bercakap menurut musim”. Bukan aneh juga “ahli bahasa” yang berbahasa Melayu dengan diselangselikan bahasa “orang putih” dalam percakapannya. Bukan pula pelik apabila “ahli bahasa” memperlihatkan kerancuan bahasa dalam tulisannya. Slogan yang muluk-muluk hanya sekadar slogan tanpa disusuli penghayatan dan pengamalan. Inilah hakikat yang dialami bahasa ibu pertiwi… digauli sekehendak hati.