A. Samad Ismail
Pak Sako

Sejarah telah membuktikan bahawa wartawan Melayu tidak sekadar menulis angka dan fakta. Mereka tidak sekadar makan gaji dan merakamkan peristiwa suka ataupun duka manusia. Kewartawanan yang diasuh oleh Bapa Wartawan Melayu, Rahim Kajai menggerakkan wartawan ikut terlibat dan menjadi sebahagian daripada peristiwa bersejarah tanah air.

Wartawan telah membuktikan kejayaan daripada terlibat sebagai perancang gerakan kebangsaan hingga mengepalai penubuhan parti politik yang kekal hingga kini. Demikianlah asuhan dan tunjuk ajar Rahim Kajai pada dekad 1940-an,   wartawan bukan pemerhati dan pelapor yang pasif.

Tentulah ciri-ciri utamanya memiliki pemikiran dan berjiwa pejuang. Jika sekadar menulis banyak yang boleh menulis, atau jika sekadar melapor banyak juga yang mampu berbuat demikian. Oleh sebab itu, selain menulis dan melapor, wartawan diasuh menjadi pemimpin dalam gerakan massa serta memiliki pemikiran yang jauh ke depan.

Wartawan turut berganding bahu bersama-sama sasterawan dan budayawan memperjuangkan kemerdekaan selain hal ehwal kesusasteraan dan bahasa. Selain kekuatan kewartawanan, pengaruh kesusasteraan Melayu yang luar biasa itu dimanfaatkan untuk memerdekakan pemikiran massa.

Rahim Kajai
Usman Awang

Rahim Kajailah yang memulakan kecenderungan wartawan menulis karya-karya kreatif berlatarkan sosial politik dan budaya era Perang Dunia Kedua. Selain mempunyai minat dalam kesusasteraan tetapi yang menjadi pendorong utama beliau mengembangkan penulisannya dalam bentuk kreatif kerana kekangan penjajah Inggeris mengawal akhbar dan majalah.

Demikianlah besarnya pengaruh kesusasteraan yang dimanfaatkan pada era yang genting dalam cengkaman penjajah. Iltizam wartawan sasterawan untuk keluar dari kongkongan penjajah melalui kesusasteraan amat berjaya. Karya-karya sastera yang berlatarkan era penjajahan dengan penerapan semangat kebangsaan menyumbang kepada pemikiran yang merdeka dalam kalangan massa.

Kelahiran wartawan-wartawan Melayu berjiwa kebangsaan seawal dekad 1930-an menambahkan lagi anak watan yang melibatkan diri dalam penentangan terhadap penjajah. Perang propaganda penjajah yang sengaja menonjolkan ketidakmampuan orang Melayu dalam pelbagai bidang terhalang dengan kemunculan pejuang yang “menggalas pena” seiring dengan pejuang yang memikul senjata di hutan belantara.

Benarlah kata-kata pujangga, mata pena lebih tajam daripada mata pedang. Pena yang jatuh ke tangan pejuang menjadi sangat berbeza dengan pena yang jatuh ke tangan pengecut yang oportunis. Ketajamannya disalahguna, kuasa magis diseleweng untuk tujuan lain.

Hasil yang ditunjukkan oleh perjuangan persuratan atau kesusasteraan sangat ketara pada era penjajah berbanding beberapa dekad terakhir ini. Keterlibatan wartawan dalam kesusasteraan yang bermatlamat perjuangan juga tidak termampu ditandingi oleh generasi hari ini. Kewartawanan   tidak sekadar profesion yang bergaya tetapi   lapangan yang disertai oleh manusia pemberani yang strategik.

Angkatan Sasterawan 50 (ASAS 50)

Ketika gerakan kesusasteraan seiring dengan politik untuk menghapuskan jiwa hamba dalam kalangan orang Melayu, wartawan turun ke lapangan dan antara bukti paling hebat termasuklah lahirnya Angkatan Sasterawan 50 (ASAS 50).

Advertisement

Sebahagian besar daripada pencetus, pengerak dan propagandisnya anak didik Rahim Kajai yang berpayung di bawah bumbung Utusan Melayu di Singapura. Dalam isu bahasa dan kesusasteraan, wartawan ini akan berada di barisan hadapan, bersuara lantang sebagai pendesak bukannya berdiri di pinggir sebagai pelapor yang hanya menulis berita pendek lima perenggan.

Kesusasteraan merangkumi keberadaan kita sebagai manusia dalam kelompok manusianya. Berada dengan wajah dan pemikiran yang saling mengambil tahu dan bantu membantu antara satu dengan lain. Sastera itu satu bidang yang menuntut keterlibatan yang tinggi dari aspek psikologikal kerana memperihalkan tentang manusia mesti selari ciri-ciri kemanusiaannya.

Perjuangan menuntut kemerdekaan menerusi kewartawanan dan kesusasteraan jauh lebih awal daripada lahirnya pergerakan politik oleh UMNO. Utusan Melayu diperbadankan di Singapura pada tahun 1938 dan menerbitkan akhbar pertama pada 29 Mei 1939. UMNO ditubuhkan pada 1946, iaitu hasil perjuangan wartawan Utusan Melayu yang menggerakkan Kongres Melayu.

Maka tidak hairanlah semasa akhbar Utusan Melayu diterbitkan pada 29 Mei 1939, pengarang pertamanya Rahim Kajai yang bukan sahaja seorang wartawan malah sasterawan. Beliau mendapat jolokan Bapa Cerpen Melayu. Ketajaman tulisannya sebagai wartawan sama hebatnya dengan ketajaman menulis cerpen.

Kajai telah menyediakan landasan yang diikuti oleh wartawan lainnya . Kemunculan Ishak Haji Muhammad atau Pak Sako yang menjadi salah seorang pengasas Utusan Melayu itu, juga menjadi sasterawan terbilang walaupun dilabelkan sebagai berhaluan kiri.  

Berdasarkan buku Wajah; Biografi Penulis Melayu, daripada 100 orang penulis dalam senarai awal penulis Malaysia, 33 orang datangnya dari Utusan. Kesemua mereka adalah wartawan yang mengembangkan jalur penulisan dalam kesusasteraan untuk meniupkan kesedaran kebangsaan.

Nama-nama seperti Keris Mas, Usman Awang , A. Samad Said, A Samad Ismail, Jymy Asmara, Ahmad Boestamam, Salmah Mohsin, Zaharah Nawawi, AS Amin, Abu Zaki Fadhil, Adi Mas, Alias Ali, Mohamad Dahlan Hj Masud (Hamdam), Harun Hassan, Ilias Zaidi, Ahmad Lufti, Khatijah Hashim, A. Shukor Harun, A.R. Kamaluddin, Atondra, Awam Il Sarkam, Hamzah Hussein, Ibrahim Omar, Baharuddin CD, Ali Hj Ahmad (Nora) dan Zahari Affandi, Johan Jaaffar adalah antara wartawan-sasterawan yang dimiliki oleh Utusan Melayu.

Ternyata dunia sastera memerlukan pelibatan dalam kalangan wartawan sebagai penggerak dan pejuang dalam isu yang melibatkan kesusasteraan dan bahasa selain sasterawan dan pejuang bahasa. Wartawan mempunyai akses yang lebih luas khususnya untuk mencetuskan gelombang dalam kalangan rakyat. Perjuangan memartabatkan bahasa Melayu misalnya memerlukan wartawan yang benar-benar faham peri pentingnya bahasa Melayu diletakkan pada kedudukan paling tinggi.

Advertisement
Please follow and like us:

Author / Editor

One thought on ““Wartawan -sasterawan” perjuangkan kemerdekaan”
  1. Mungkin Ku Seman dapat memberi pencerahan kepada pertanyaan dan pandangan saya di bawah ini.

    MEDIA MELAYU SEBAGAI PEMBIMBING PEMIKIRAN ORANG MELAYU
    rahimzain01@hotmail.com
    Pada masa Tanah Melayu mencapai kemerdekaan sebagai Negara berbilang kaum se awal itu Kerajaan serta pemimpin dan masyarakat Melayu secara lansung dan tidak lansung meletak harapan kepada media Melayu terutamannya akhbar dan radio serta jabatan penerangan untuk berperanan membawa orang Melayu ke arah kemajuan dan pemodenan, kedamaian dan kesejahteraan. Yang dimaksudkan sebagai media Melayu di sini ialah media yang ditubuh dan dimiliki oleh entity Melayu atau dipimpin oleh orang Melayu yang mirip berkhidmat untuk masyarakat Melayu, dan media Kerajaan saluran Melayu. Tersirat dalam tajuk kertas ini ialah andaian dan harapan masyarakat umum yang tercetus pada masa kemerdekaan dicapai dulu bahawa media Melayu selain dari berfungsi sebagai media ‘am ada mempunyai peranan untuk membimbing pemikiran rakyat Melayu dari corak Melayu di bawah penjajahan kepada Melayu yang berdaya mengharumi hidup dalam realiti negara berbilang kaum; peranan yang juga wajib dimainkan oleh mana-mana pemimpin kita.
    Membimbing membawa haprapan supaya orang Melayu disediakan untuk beralih secara teguh dari berminda sebagai rakyat yang baru terlepas dari dijajah kepada kaum yang merdeka dalam negara berbilang kaum, terutama tentang pemikiran dalam perkara-perkara asas mengenai perubahan sosial, pemodanan, sikap terhadap kerja, bidang dan kegiatan ekonomi, kemajuan dan pembangunan. Aspek-aspek itulah yang akan menjamin kemunculan Melayu yang berkeyakinan diri dan resilien. Menggembar gembur isi Melayu bukanlah membimbing. Membimbing adalah melalui menunjuk ke jalan yang baik secara konsiten dan konstan. Bimbingan dijangka dapat memberi maklumat dan pengtahuan serta asuhan bagi melahirkan keyakinan dan pegangan kepada perkara yang baik dan berfaedah bagi membuat pilihan dengan baik dalam membina masa depan kaum dalam negara berbilang kaum. Sama ada harapan terhadap media Melayu itu munasabah atau tidak, atau kena pada tempatnya atau tidak; dan sama ada harapan itu diakui dan disambut oleh media sebagai memang peranannya atau tidak, namun kesan dari apa yang dibuat atau tidak dibuat oleh media Melayu selepas 60 tahun merdeka sudah boleh dilihat oleh sesiapa yang mahu berfikir secara reflektif dan kritikal.
    Teguran yang tajam dengan tukul tumpul oleh YB Datuk Seri Nazri Aziz ke atas Utusan sebagai akhbar yang hilang pedoman membuka peluang untuk kedudkan akhbar itu dibedah siasat dalam rangka penilaian kedudukan akhbar utama berbahasa Melayu sebagai harapan bangsa Melayu. Semasa Tanah Melayu belum merdeka dan setelah tanah air orang Melayu mencapai kemerdekaan seluruh masyarakat Melayu menaruh harapan dan idaman bersama dengan pengasas akhbar itu untuk menerajui orang Melayu ke arah kemajuan dengan bermaruah. Cita-cita murni pengasas Utusan Melayu yang melabur modal sendiri dan modal sumbangan dari keluarga dapat disimpul dalam moto di kepala akhbar dulu-dulu yang mencermin berbagai misi dan sentimen bersih. Tanda-tanda yang membayagkan bahawa media Melayu mahu rakyat tahu bahawa mereka ada peranan dan berperanan terhadap kemajuan orang Melayu ada ditunjukkan oleh mereka di kepala akhbar seperti “Akhbar Kebangsaan Melayu yang Dipunyai dan Diusahakan oleh Bangsa Melayu”, “Penyebar Fikiran Rakyat”, “Penyebar Fikiran Bangsa dan Nusa”, “Membimbing Fikiran Rakyat”, “Akhbar Kebangsaan Tulen”, “Cetusan Hati Nurani Rakyat”, “Pencetus Agenda Bangsa” dan lain-lain. Hari ini perhatian kepada misi murni yang tersimpul dalam kata-kata dan perbuatan jiwa besar orang suratkhabar silam tidak lagi nampak terbit dari pengarang masa kini. Icon dalam dunia persuratkhabaran yang dijulang dengan pelbagai penghargaan rupanya tidak menjadi ikutan. Penghargaan yang diberi oleh generasi hari ini adalah di bibir sahaja. Ramai Pengarang dan wartawan di media perdana sudah menjadi budak suruhan yang menggadai maruah diri; dan dengan perbuatan mereka yang hilang pedoman mereka telah secara sedar tidak sedar meletakkan media mereka tersepit dalam sudut kebencian oleh rakyat sedangkan pilihan untuk menjadi media yang relevan setiap masa kepada rakyat jelata dan disanjungi oleh rakyat Malaysia maju ada terbentang luas di hadapan mereka. Hari ini dengan semakin nampak sifat perkaumannya tanpa sebab yang wajar media Melayu tidak mungkin dapat keluar dengan mudah dari sudut kebencian rakyat. Bagaimanakah media Melayu dapat membela diri bila dikutuk kiri dan kanan jika tidak dengan muncul berperanan di atas asas persuratkhabaran yang jernih dan adil selari dengan harapan rakyat jelata berbilang kaum yang mahu membina 1Malaysia dengan bimbingan yang berkesan.
    Perbincangan mengenai kesan media Melayu memimpin fikiran orang Melayu boleh dimulakan dengan pertanyaan berikut:
    1. Apakah harapan yang diletak kepada media oleh orang Melayu selama ini satu harapan yang munasabah?
    2. Sejauhmanakah media Melayu telah berperanan dalam memenuhi harapan kerajaan, pemimpin, dan rakyat Melayu untuk membawa orang Melayu ke arah kemajuan dan pemodenan, serta kedamaian dan kesejahteraan dalam Negara dengan berdasarkan kepada Perlembagaan?
    3. Sudahkah media Melayu berperanan dengan jujur ke arah memenuhi harapan itu? Bagaimana caranya dan dengan kesan bagaimana peranan dimainkan?
    4. Apakah yang boleh dijadikan bukti kejayaan media Melayu dalam peranan membawa orang Melayu kearah kemajuan dan pemodenan, serta kedamaian dan kesejahteraan apabila Dr. Mahadhir lantang menyatakan beliau kecewa dengan orang Melayu yang tidak memberi response sewajarnya kepada program kemajuan dan pembangunan yang dibawa oleh beliau?
    5. Apakah faedah dari segi perubahan dan kemajuan massa yang diperolehi oleh orang Melayu dari wartawan dan penulis Melayu di media Melayu selepas Merdeka?
    6. Bagaimanakah media Melayu membimbing pemikiran Melayu?
    i. Apa caranya?
    ii. Apa kesannya?
    iii. Apa yang sebenarnya dibuat?
    iv. Apakah kesan kepada masyarakat Melayu?
    7. Apakah informasi dan pengetahuan yang disebarkan oleh media Melayu bagi membuka minda orang Melayu ke arah kehidupan yang berimbang dan stabil dalam Negara?
    8. Apakah yang dibuat oleh media Melayu untuk menyelamat dan mententeramkan kedudukan orang Melayu yang tidak dapat menyesuaikan diri dengan realiti dalam Negara berbilang kaum seperti yang dialami oleh mereka yang disesatkan oleh tuntutan NGO-NGO Melayu yang sesat?
    9. Kenapakah setelah 53 tahun merdeka media perdana tidak memberi kesan yang sepatutnya dalam proses perubahan dan pemodenan masyarakat Melayu dalam bidang-bidang yang dikehendaki dimodenkan demi kesejahteraan hidup kalangan penduduk luar Bandar yang bercucuk tanam?
    10. Kenapakah media Melayu tidak memberi kesan meluas dalam aspek penyusunan semula masyarakat supaya perubahan positif dinikmati oleh kaum Melayu?
    11. Bagaimanakah minda Melayu dipimpin oleh Media?
    12. Dari media mana dan dari siapakah rakyat Melayu mendapat sentuhan semanagat mahu maju dan sentiasa berusaha menempatkan diri sebaris bahkan sebaris di baris hadapan dalam masyarakat berbilang kaum?
    13. Media mana dan siapakah yang sentiasa mengingatkan orang Melayu dengan bimbingan dan contoh serta penghargaan untuk memberi perhatian kepada meritokrasi dan kecemerlangan dalam segala bidang hasil kerja baik sebagai penuntut di sekolah, atau di universiti dan di tempat kerja?
    14. Media mana dan siapakah yang secara konsisten meminta supaya perkhidmatan awam memberi kesan yang setimpal dengan aspirasi rakyat, terutama rakyat Melayu, dalam mencapai matlamat memajukan orang Melayu?
    15. Dalam masa Negara menggunakan perdagangan dan perindustrian sebagai enjin pembangunan media mana dan siapakah yang secara konsisten memupuk penglibatan dan penyertaan orang Melayu dalam sektor-sektor penting selari dengan kaum-kaum lain dalam peluang-peluang baru yang membuka?
    16. Media mana dan siapakah yang menggalak kemunculan setiap hari berita orang Melayu sebagai movers and shakers dalam ekonomi Negara secara yang meransangkan orang Melayu lain?
    17. Media mana dan siapakah yang menyebabkan orang Melayu, terutama orang UMNO yang di bandar dan luar bandar masih dibelenggu dengan pendirian songsang dalam aspek politik, sosial, ekonomi, kebudayaan, pelajaran, perkhidmatan, dan lain-lain bidang yang penting dalam Negara sehingga masih ada yang rasa tidak dapat terima keterbukaan dasar yang dibawa oleh kerajaan ke arah SATU MALAYSIA?
    18. Media mana yang berani menegur secara membina langkah Menteri dan prestasi anggota perkhidmatan awam apabila perbuatan mereka memberi kesan tidak menolong orang Melayu, bahkan jika merugikan orang Melayu?
    19. Media Melayu mana kah yang mengadakan ruang dan suasana yang sihat untuk orang Melayu berbincang secara berkesan untuk menilai dan melihat kepada apa yang baik untuk masa depan?
    20. Media Melayu mana kah yang melaga-lagakan parti politik dan berpolitiking tak habis-habis dengan kesan negatif terhadap masa depan orang Melayu?
    21. Media mana kah yang menyebar penilaian yang wajar mengenai program dan projek Kerajaan kepada rakyat Melayu supaya rakyat dapat bersedia awal dan berpartisipasi dengan berkesan?
    22. Kenapa kah propaganda yang kesannya merosakkan masih menjadi pilihan media Melayu untuk menarik perhatian orang Melayu?
    23. Kenapa kah media Melayu tidak membentang dengan jelas aspek-aspek penting untuk membimbing pemikiran orang Melayu tentang isu bahasa Melayu dan lain-lain yang sah kepentingan Melayu supaya orang Melayu dan orang bukan Melayu dapat faham dan terima keadaan tanpa menjadikan isu sedemikian punca pertelagahan?
    24. Kenapa kah media Melayu tidak perjelaskan visi pemimpin-pemimpin Melayu yang mahu berperanan besar supaya rakyat dapat menilainya
    dengan jelas dan membuat pendirian menerima atau menolak visi itu dengan hujah yang baik dan bebas dari emosi serta tidak didorong ikut pemimpin dengan membuta? Temuramah sekali-sekala tidak boleh menjadi alasan sudah membuat sesuatu bagi pentahuan rakyat.
    25. Kenapa kah rakyat meluat dengan media perdana?
    26. Kenapa kah propaganda lebih diutamakan dari kebenaran oleh media perdana?
    27. Kenapa kah pembimbingan fikiran orang Melayu tidak meliputi secara yang berdaya memberi kesan tentang kegiatan dan perkembangan dibidang perdagangan, perindustrian serta perkhidmatan supaya minda Melayu dilazimkan dengan dunia dan selok belok perdagangan, perniagaan, industri dan orang Melayu didorong maju di atas asas yang sama dengan kaum-kaum lain yang bergantung kepada media bukan-Melayu?
    28. Media arus perdana mana yang mengambil langkah memberi ransangan kepada orang Melayu dengan menyiar sama naik movers and shakers dalam kehidupan Negara dari kalangan kaum Melayu dan bukan-Melayu ?
    29. Apakah faktor yang menyebabkan lulusan universiti sanggup membelakangkan kebenaran, integriti, disiplin dan maruah yang diperolehi oleh mereka semasa mereka menuntut ilmu apabila mereka menjadi wartawan di media arus perdana?
    30. Kenapakah pengarang menyalahgunakan kedudukan sebagai peneraju pemikiran yang baik sehingga menyesatkan orang Melayu ?
    31. Kenapakah pengarang mahu menyelamatkan diri dengan menggunakan nama samaran seperti misalnya ‘Awang Selamat’? Selamat dari apa ? Selamat siapa atau apa ?
    32. Apa telah jadi kepada investigative reporting yang dapat menghindar orang Melayu dari penipuan oleh pemimpin yang jahat?
    33. Bagaimana dengan keberanian mahu “Terus terang dan Terang terus”?
    34. Kenapa media Melayu tidak memberi bimbingan apabila pihak berkuasa memalingkan perhatian rakyat dari industri dan teknologi dan ICT sebagai enjin pertumbuhan ekonomi kepada pertanian sebagai enjin? Dan bagaimana pula kedudukan pertanian sekarang? Apakah yang dianggap sebagai enjin pertumbuhan ekonomi sekarang? Media manna yang bertanya? Media mana yang mencari penjelasan? Media mana yang mahu menyuluh jalan untuk rakyat Melayu?
    35. Bagaimana dan di mana media Melayu membimbing secara berkesan membawa perubahan di kalangan masyarakat pertanian luar Bandar untuk memodenkan pertanian sebagai satu gerakan gelombang setelah 60 tahun merdeka?
    36. Sejauhmanakah benar ramai orang Melayu lari dari bergantung kepada media arus perdana kerana ada di antara sifatnya yang mengongkong fikiran rakyat, mencelarukan fikiran rakyat, tidak menolong rakyat melihat visi pemimpin ke arah Malaysia, membuat orang Melayu leka dengan pegangan keMelayuan tanpa menolong mereka menyesuaikan diri dengan realiti hidup dalam Malaysia yang berbilang kaum, dan banyak melayani politicking pecah belah?
    Dalam menaruh harapan kepada media untuk membimbing pemikiran rakyat orang Melayu berandaian bahawa media dengan sebarannya yang luas dapat mendorong rakyat ke arah jalan dan matlamat kejayaan, kemajuan dan kesejahteraan dengan pemikiran dan penilaian yang sihat dan positif. Harapannya ialah bahawa melalui media rakyat dapat berkongsi matlamat yang sama untuk membina Negara. Masyarakat mengharap kepada media untuk berperanan bukan dengan cara propaganda atau manupulasi tetapi dengan membuka fikiran mereka untuk mencari maklumat dan fakta, membuat penilaian dengan baik dan membuat pilihan yang baik bagi menjaga kepentingan kaum dan masyrakat berbilang kaum. Media diharap dapat menolong rakyat Melayu khususnya dan rakyat jelata ‘amnya melihat dengan jelas alam yang perlu dibina bersama, hak istimewa orang Melayu dan hak sama rata rakyat jelata.
    Yang diharap dari media ialah dasarnya dan langkah yang terperancang untuk memandu dan mengajak orang Melayu melihat dengan jelas dan betul serta lebih kritikal terhadap andaian mereka, kepercayaan dan anggapan mereka tentang hak dan kepentingan mereka sebagai anak watan apabila Kemerdekaan dan Perlembagaan berkehendakkan supaya masa depan orang Melayu berubah kepada satu bangsa dan satu Negara baru. Harapannya juga ialah dengan kefahaman yang lebih jelas tentang hak-hak ‘rakyat’ orang Melayu akan berperlakuan bebas dari sentimen remeh-temeh membatas hak rakyat jelata bukan-Melayu sehingga melupakan tanggungjawab kaum sindiri untuk melengkapkan diri supaya dapat berperanan dan berpartisipasi dengan berkesan bagi kemajuan bangsa. Media dianggap boleh memimpin orang Melayu meneroka alam pemikiran dan mendorong mereka membuat pilihan dan keputusan yang bertepatan dengan kemahuan semasa.
    Tetapi nampaknya pada hari ini orang Melayu yang bergantung kepada media arus perdana bercelaru dan ketinggalan zaman dari segi visi pembinaan Negara berbilang kaum. Kenapakah media nampak berjaya sebagai badan bisnes tetapi menimbul tandatanya tentang kesan peranan membimbing membawa orang Melayu ke arah kemajuan dan pemodenan, kedamaian dan kesejahteraan. Mereka yang mahu supaya kemerdekaan diisi mengikut janji kemerdekaan gagal dibimbing untuk mendapat kepuasan dari kemerdekaan seolah-olah kemerdekaan tidak berbuah. Di sebaliknya mereka mengejar ilusi dalam bentuk kepentingan yang semakin jauh dari mereka.
    Dalam generasi pertama selepas merdeka dulu bahang perjuangan yang ditiup oleh surat khabar dan majalah dalam zaman pra merdeka masih melekat di jiwa orang surat khabar. Semanagat hendak berkhidmat terhadap kemajuan rakyat wujud dalam bentuk yang ikhlas dan benar dalam diri wartawan angkatan lama itu. Propaganda untuk mengelabui mata rakyat dan penulisan untuk menaikkan tokoh-tokoh tertentu secara serong tidak dan belum menjadi amalan; mengumpat dan fitnah belum menjadi cara wartawan dan akhbar buat duit; politicking belum menjadi candu; penulis upahan dan rasuah persuratkhabaran belum kedengaran; pengekalan kuasa dengan tipu helah belum menjadi amalan; mencari jalan singkat mendapat undi dalam pemilihan dalam parti dan pilihan raya belum menjadi perkara biasa; dan akhbar pada masa itu bebas dari naungan kuasa dan wang yang zalim. Pada masa itu akhbar bernafas segar. Orang akhbar layak disanjung. Bisnes atau matlamat membuat untung besar untuk orang besar belum menodai akhbar dan media. Sokongan kepada akhbar terbit dari keinginan rakyat membaca mencari maklumat dan buah fikiran. Akhbar sebagai fifth estate dianggap berkuasa.
    Malangnya bagi orang Melayu kesegaran udara yang dihirup oleh media Melayu dulu tidak kekal lama. Politik dan bisnes telah meminggirkan sifat khidmat akhbar dan media terhadap peranan membimbing. Membimbing menjadi lip service. Yang diutamakan ialah perkara lain yang akibatnya telah menyesatkan orang Melayu yang percaya buta kepada media perdana. Kejayaan media sebagai bisnes dan lain-lain aspek persuratkhabaran adalah perkara yang tidak boleh dijadikan kayu ukur menilai khidmat memimpin pemikiran rakyat; iaitu memberi maklumat dan pengtahuan yang sebenar bagi membantu rakyat membuat pilihan dengan baik dan bersesuaian dengan edaran zaman dan bertepatan dengan visi Negara, bukan visi Melayu yang sesat dengan ilusi yang ketinggalan zaman.
    Dalam jangka masa 60 tahun setelah merdeka ramai orang Melayu yang mengharap kepada media perdana untuk mendapat bimbingan masih belum menunjuk kesediaan menerima hakikat bahawa keMelayuan perlu berubah kepada KeMalaysiaan sedangkan orang Melayu yang tidak banyak bergantung kepada media perdana sudah ramai membebaskan diri memegang visi Negara kepelbagaian kaum dengan lebih jelas seperti yang ditunjuk oleh trend undi popular yang berhijrah dari UMNO kepada parti lain. Kalangan generasi selepas merdeka sudah mengukir visi Malaysia. Hari ini pemikiran ramai rakyat Melayu yang berada dalam dunia ketinggalan zaman boleh dikatakan bercelaru. Mereka beria-ia mahu menegak kepentingan Melayu yang ironisnya sudah lama dikompromi oleh UMNO yang mereka sokong kuat. Mereka terus disesatkan oleh pemimpin yang sudah tidak laku dalam politik berparti. Mereka melihat kaum lain sebagai musuh.
    Di tangan pemimpin-pemimpin NGO dan wartawan dan penulis yang sesat perjuangan Melayu berubah menjadi tindakan menyelar dan membangkang langkah-langkah yang dibuat oleh kaum lain untuk menuju kejayaan yang lebih, seolah-olah kemajuan orang Melayu bergantung kepada keupayaan menyekat kemaraan kaum-kaum lain, sedangkan pemimpin-pemimpin dan media berkenaan tidak membuat apa-apa yang berkesan bagi meneguhkan keupayaan orang Melayu berpartisipasi dalam semua bidang kehidupan Negara selari dengan kaum-kaum lain. Misalnya pada 15 April 2009 akhbar berteriak “Bangkitlah Melayu, bersatu hadapi tuntutan kaum lain yang semakin keterlaluan.” Adakah itu cara orang Melayu menghadapi dunia baru. Bagaimana jika akhbar sebaliknya berteriak “ Bangkitlah Melayu. Berusahalah bagi melengkapkan diri dengan segala kebolehan di semua bidang bagi menyambar setiap peluang yang membuka, membina perushaan, perdagangan, perindustrian, dan perkhidmatan dan memegang kepada apa yang diperolehi itu dengan teguh sambal membesarkanya supaya kelak dapat diserahkan kepada generasi baru bagi mengekalkan kedudukan orang Melayu dengan bermaruah sebaris dengan kaum-kaum lain dalam masyarakat yang harmony. Akhbar yang ketinggalan zaman tidak habis-habis bertindak seolah-olah orang Melayu akan berjaya jika dapat melemahkan kaum lain dari mendapat apa yang mereka mahu sedangkan kaum lain tidak berada dalam keadaan demikian.
    Sepanjang era DEB media Melayu telah melepas peluang besar untuk berjasa kepada kaum Melayu dengan memberi bimbingan terhadap pemikiran yang bersesuaian dengan dasar kerajaan. Pada zaman itu media turut menyebut tentang pembasmian kemiskinan, penyusunan semula masyarakat, pembesaran kek ekonomi, dan penubuhan masyarakat perindustrian dan perdagangan Melayu. Tetapi media hanya mentiongkan apa dicakap oleh Menteri; itu saja. Orang Melayu tidak mendapat faedah daripada media pembimbingan media tentang pendekatan DEB terhadap kaedah dan persediaan, iaitu cara menyediakan atau melengkapkan diri kaum Melayu untuk berpartisipasi secara berkesan supaya dasar yang begitu baik dapat memberi faedah seperti yang diharapkan. Akibatnya rakyat kecewa dan kekecewaan itu dilafazkan sendiri oleh Dr. Mahathir semasa masih menjadi PM. Hari ini peluang berperanan round kedua baru muncul lagi di bawah visi Dato Seri Najib. Satu Malaysia, dasar pendapatan tinggi, transformasi, dan inovasi adalah kata kunci yang menjadi petunjuk kepada program yang perlu dijayakan. Peluang terbuka luas kepada rakyat. Seperti biasa media Melayu mentiongkan kata-kata itu setakat mentiongkan saja.
    Cabaran hari ini bagi media Melayu ialah bagaimanakah orang Melayu dapat mengelak dari kekecewaan sekali lagi. Negara akan maju mengikut paradigma baru insyaAllah, tetapi bagaimana tentang penyediaan kaum Melayu yang perlu faham bukan saja kosep baru tetapi kaedah dan prasarana yang akan menjanakan pertumbuhan di bawah inisiatif baru yang sudah tidak asing bagi kaum Cina dan India yang sudah lama mengasahkan bakat mereka dan sudah menyediakan minda mereka dengan aliran pemikiran yang dimertabatkan oleh Dato Seri Najib sebagai kaedah yang bedaya membawa sokongan kepada beliau. Kali ini media Melayu tidak harus melepas peluang bagi menebus keaplaan era DEB dengan mengambil peluang membimbing dengan sebenar, iaitu mengajak dan menunjuk jalan yang sebaiknya supaya orang Melayu faham dan berdaya bertindak dengan berkesan selari dengan program kerajaan. Kaedah dan cara yang diikuti atau diguna oleh segelintir orang Mel
    boleh membawa orang Melayu kepada kejayaan di bawah paradigma Dato Seri Najib. Ia memerlu persediaan mengikut acuan baru. Cara lama dan pemikiran lama pasti tidak akan berdaya memahami konsep dan memperolehi dalam masa yang singkat daya untuk bertindak melahirkan program bagi mendokong dasar yang telah diumumkan itu. Paradigma itu memberi cabaran prestasi kepada rakyat yang sudah bersedia dan apalagi sangat mencabar kepada mereka yang belum bersedia dengan minda dan kebolehan dan keupayaan tinggi.
    Visi yang lebih jelas dikalangan orang Melayu seperti yang ditunjuk oleh generasi baru dan oleh generasi muda pelbagai kaum yang mahu menempa dunia baru di atas asas yang mereka kenal sebagai rakyat Negara berbilang kaum tidak akan dapat dikaburkan dan tidak patut dibiar dikaburkan oleh generasi yang sudah ketinggalan zaman melalui media Melayu. Apa yang dikatakan sebagai perjuangan oleh pemimpin yang sesat termasuk pemimpin NGO-NGO yang sesat adalah perbuatan membuang tabiat. Dunia Malaysia tidak akan bersama mereka dan mereka akan menjadi bukti kegagalan media Melayu berperanan dengan baik untuk membimbing kaum Melayu ke alam Tanah Melayu merdeka yang perlu berubah mengikut Perlembagaan; bukan alam Melayu yang didodoikan dan dikhayalkan dengan sajak dan lagu patriotic keMelayuan yang lupa daratan bahawa orang Melayu di Tanah Melayu sudah bersetuju mencipta Negara berbilang kaum.
    Jika diteliti kandungan akhbar-akhbar yang mahu berperanan untuk kebaikan orang Melayu sukar dicari tanda-tanda konsistensi dalam persembahan isinya bagi meninggalkan kesan untuk mencapai matlamat memajukan bangsa Melayu. Sebagai contoh rambang misalnya bagi akhbar yang mahu mencetus agenda bangsa kandungan hariannya sepintas lalu menyentuh — Selsema H1N1 tingkatkan pelancungan domestic; Produk pelancungan Malaysia berterabur; Fungsi dan peranan sekolah pondok; berita Mat Salleh yang mahir jawi; Permononan ke ISWARA meningkat; Rais lancar KL Festival 2009; Lukisan penghubung Malaysia China; Sulaiman Mufti Perihatin, pembela keluarga; kempen bulan bahasa akan diberi nafas baru; Module pendidikan sains angkasa mula digunakan; Merakyatkan pentadbiran dan pembangunan; Permohonan ke ISWARA meningkat; ISWARA tawar Irani kursus vocal; Maggi cetus resipi mudah masak. Demikianlah dari sudut kemajuan orang Melayu dhaifnya isi berita atau maklumat atau pengthuan yang disiar dalam akhbar yang mahu menjadi pencetus agenda bangsa yang mahu membimbing pemikiran orang Melayu.
    Hari ini media banyak menumpu kepada politiking dan menegak benang basah, memfitnah, melaga-laga, membesarkan isu supaya perbalahan berpanjangan, menjatuhkan pihak yang menjadi pencabar kepada yang tidak bermoral, menarik turun yang berpotensi menang, memjatuhkan individu dalam perniagaan atau menekan pihak yang hendak naik. Mereka lari dari kebenaran dan memadam pendapat dan pandangan yang segar dari rakyat yang cerdik berdaya berfikir dengan baik. Perkara visi dan pembinaan Negara jarang kedengaran secara rational; bahkan visi 2020 entah kemana terpinggir dan terpendam. Pemimpin akhbar berselindung di belakang tabir nama samaran.
    Pemikiran rakyat Melayu dan orang surat khabar dari kalangan yang ketinggalan zaman itu cukup sensitif dalam perkara yang dikatakan menghakis kepentingan Melayu, sedangkan dalam masa yang sama mereka membisu apabila kepentingan Melayu diancam. Kecelaruan sebahagian orang Melayu tentang kefahaman mengenai Perlembagaan, hak istimewa orang Melayu, hak rakyat Malaysia, meritokrasi, penolakan perkara yang positif dan kemahuan kepada perkara yang negatif dalam konteks SATU MALAYSIA adalah petanda kecelaruan fikiran. Itu semua menunjukkan bahawa media Melayu, wartawan Melayu, dan penulis Melayu yang mungkin dianggap berjaya dalam bidang lain sebenarnya mengecewakan dalam pembimbingan pemikiran orang Melayu. Mereka tidak meninggal kesan yang positif dari segi penyebaran maklumat dan pengetahuan serta keupayaan melihat masa depan dalam konteks yang boleh menghapus prasangka dan salah sangka yang menghalang pembinaan Negara Malaysia dengan sihat untuk memberi tempat yang selesa kepada semua.
    Media Melayu arus perdana terutamanya tidak nampak berperanan secara konstan dan konsistan membimbing orang Melayu secara positif dan jelas untuk berkongsi visi yang sihat terhadap pembinaan Negara Malaysia yang berbilang kaum dengan berasaskan kepada Perlembagaan. Contohnya apabila bahasa Melayu diancam oleh perhatian yang lebih berat kepada penggunaan bahasa Inggeris di bidang pelajaran dan pendidikan secara yang boleh membelakangkan dan menenggelamkan kedudukan bahasa Melayu orang Melayu dan kumpulan Melayu yang mahu mengekalkan kepentingan Melayu memilih untuk membisu dalam perkara dan langkah meneguhkan kedudukan bahasa Melayu. Demikian juga dengan media Melayu. Mereka tidak nampak membimbing pemikiran orang Melayu untuk melihat, menilai dan memilih pendirian yang jelas dan membina dalam situasi sedemikian supaya orang Melayu dapat membuat pendirian yang jelas menjurus kepada masa depan yang lebih stabil dan bebas dari isu-isu yang memecah belah. Jika media Melayu berperanan dengan baik dari dulu lagi kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan dan seperti yang diterap melalui kempen besar besaran bertahun tahun tidak mungkin dengan mudah diketepikan oleh pemimpin Melayu sendiri.
    Semasa orang Melayu yang celik mahu memansuhkan pengajaran dan pembelajaran sains dan metametik dalam bahasa Inggeris lihatlah bagaimana elemen yang ketinggalan zaman bersikap marah dan memandang serong kepada pihak yang mahu memansuhkan amalan itu tanpa hujah yang jelas, seolah-olah mereka sudah lupa bahawa di bawah Tun Razak Negara ada misi besar untuk menegakkan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Akibat dari ketiadaan bimbingan fikiran yang berkesan baik dari pemimpin atau dari media Melayu orang Melayu dari kalangan yang ketinggalan zaman itu masih berada dalam keadaan celaru dalam perkara halatuju Negara dan rupa bangsa.
    Semasa Perdana Menteri mahu rakyat bergerak ke arah satu Malaysia media Melayu nampak tidak pandai membimbing pemikiran rakyat supaya perjalanan itu diiringi oleh pemikiran dan tindakan yang positif. Meritokrasi, inovasi dan transformasi tidak diolah sehingga membuat orang Melayu berfikir dan bertindak bersama kerajaan. Begitu juga dengan integrity bila mana orang Melayu masih berpegang kepada pendapat bahawa jika mahkamah belum membuat keputusan orang yang dihadap ke mahkamah masih layakm memegang jawatan sebagai wakil rakyat atau pegawai. Semasa ramai rakyat yang berpendapat bahawa mengadakan sekolah satu stream akan cepat mewujudkan suasana satu Malaysia media Melayu pula tidak membimbing pemikiran rakyat dalam perkara itu secara yang dapat memberi asas yang baik untuk membuat pertimbangan atau pendirian. Di dalam keadaan biasa pihak kerajaan yang mempunyai kepakaran memeropong apa yang baik untuk rakyatlah yang mengambil langkah mengadakan dasar itu dan ini dan undang-undang itu dan ini demi kepentingan Negara. Demikian juga dengan hal persekolahan. Rakyat mungkin tidak dapat membuat pendirian atau memilih tidak mahu berubah dari keadaan yang wujud tetapi jika isu berkenaan difahami oleh media yang dipimpin dengan bijak kerja membimbing pemikiran rakyat dengan teratur dan logik dapat mengelak kecelaruan.
    Masih ramai orang Melayu yang perlu dibimbing dari segi keperluan menyesuaikan diri dalam Negara berbilang kaum yang berPerlembagaan, iaitu Perlembagaan yang melindungi rakyat sama rata dan melindungi orang Melayu dalam perkara yang dinyatakan dengan jelas sebagai keistimewaan orang Melayu. Di luar dari keistimewaan itu hak rakyat adalah sama dan orang Melayu serta organisasi Melayu perlu akui hak-hak rakyat yang sah itu dengan tidak dicampur adukkan itu dengan cakap-cakap kepentingan Melayu yang kabur dan ilusi. Kebelakangan ini pemimpin-pemimpin politik Melayu yang tidak lagi laku dalam parti politik tetapi mahu bergantung kepada sokongan orang Mlayu telah berpaling memimpin NGO untuk terus berperanan sebagai pemimpin dengan mengeksploitasi isu keMelayuan.
    Pemimpin-pemimpin Melayu yang sudah tidak laku dalam politik berparti yang menyelinap di dalam NGO sekarang ditonjol oleh media Melayu bagi menyatakan bahawa orang Melayu masih bebas bersuara sedangkan yang layak bersuara semuanya bisu dan dibisukan oleh media Melayu. Jika NGO-NGO yang kalangan anggotanya tidak cergas pun boleh ditonjol sebagai pembawa perjuangan Melayu dan perjuangan yang dibawa oleh pemimpin mereka ialah yang sesat maka besar kemungkinanya kaum Melayu yang sesat akan menghadapi masalah dengan rakyat Malaysia yang sudah faham dan dapat dilindungi oleh Perlembagaan berbanding dengan yang tidak faham dan tidak dapat dilindungi oleh Perlembagaan. Pada ketika itu maruah Melayu tidak dapat diselamat dengan mudah. Peristiwa kebelakangan ini sudah membayagkan betapa tindakan yang tidak bertepatan dengan Perlembagaan akan ditentang oleh rakyat jelata. Dengan bimbingan yang baik kecelaruan yang ditimbulkan dapat diatasi.
    Orang Melayu berpesta besar menyambut kemerdekaan dan merayakan ulang tahun kemerdekaan tetapi ramai yang tidak mudah menerima perubahan kepada keMelayuan yang digaris dan direkabentuk oleh Perlembagaan. Hari ini semua mahu kepada Malaysia tetapi orang Melayu yang ketinggalan zaman dan pemimpin-pemimpin yang bergantung kepada sentiment perkauman mudah melenting atau tidak mudah menerima langkah-langkah kerajaan ke arah keadilan terhadap semua kaum. Dan dalam perkara ini sayagnya media Melayu menjadi dalang sentimen kebencian terhadap kaum lain. Kebelakangan ini orang Melayu digambarkan oleh media Melayu sebagai cepat protes, merungut dan menunjuk rasa tidak puas hati jika ada layanan luar dari biasa yang diberi oleh kerajaan kepada kaum lain walaupun itu berpatutan dalam rangka pengurusan Negara yang baik dan adil. Berkaum-kaum adalah tidak salah tetapi media perkauman
    adalah racun. Perbuatan orang Melayu ketinggalan zaman yang didodoikan oleh media Melayu adalah punca kaum Melayu, termasuk orang Melayu yang tidak sesat, turut beransur-ansur tidak lagi dipandang mulia oleh orang bukan Melayu yang sebelum ini hurmat kepada orang Melayu.
    Trend kehilangan maruah orang Melayu akibat api perkauman yang ditiup oleh pengarang media Melayu yang berselindung di belakang tabir nama samaran perlu ditangani oleh masyarakat Melayu dengan segera sebelum sentimen terhadap orang Melayu termasuk orang Melayu yang tidak mahu kepada perkauman pun akan dilanda oleh tsunami tidak percaya kepada kepimpinan Melayu. Media Melayu yang tersepit di sudut kebencian oleh rakyat mungkin boleh membuat anjakan paradigma dengan segera membawa bendera Malaysia dan mulai menampilkan diri sebagai media yang walaupun membawa isi yang pelbagai juga mahu bercakap benar dan mengenegahkan nilai-nilai murni sejagat dan keadilan untuk orang Melayu dan semua rakyat.
    Melihat dari jauh dan dekat kepada Utusan Malaysia sebagai contoh media Melayu apa yang dikata dan apa realitinya tentang agama banga dan tanah air sudah tentu tidak bererti. Pemikiran kalangan orang Melayu yang bergantung kepada media Melayu yang hanya mahu kepada Melayu meyukarkan proses membina Negara berbilang kaum yang diciptakan oleh pemimpin Melayu sendiri dengan kerjasama rakan-rakan dari kaum lain.
    Utusan Melayu, Wajah dan lenggangmu boleh berubah, Suara dan nadamu terkocak gundah, Namun jiwamu tetap tidak mungkir, Untuk bangsa agama dan tanah air.” ( Usman Awang- Sasterawan Negara) ” Utusan Melayu (Malaysia) bukan sekadar hanya sabuah akhbar. Ia telah menjadi sabuah institusi nasional yang kian hari kian menonjol imejnya di tengah masyarakat sebagai sabuah akhbar yang erat pertaliannya dengan rakyat. ” ( Samad Ismail- Utusan Melayu 50 Tahun ) ” Perjuangan Utusan Malaysia ini semakin sulit kerana rakyat tidak lagi dapat melihat dengan jelas musuh saperti jenerasi terdahulu.
    Tetapi pendokong- pendokong Utusan Malaysia terbukti tidak terkeliru dan tidak takut dengan ugutan sebaliknya tetap berpegang kapada prinsip dan dasar perjuangannya untuk bangsa agama dan tanah air. Sungguh menggembirakan bila mendapati akhir-akhir ini … Utusan Malasia sedang meningkat semula, keyakinan pembaca semakin tinggi kerana pendedahan demi pendedahan yang di lakukan terbukti benar ….” (Zainuddin Maidin-Mantan Pengarang)
    Jangan salahkan rakyat jika media Melayu tidak memberi kesan membimbing. Petikan di atas sudah jadi kosong, tidak bererti. Pendedahan bukanlah keutamaan yang betul. Selama 50 tahun orang Melayu tidak ada pilihan. Media Melayu mempunyai lapangan yang monopoli untuk mencorakkan pemikiran orang Melayu ke jalan yang terbuka terhadap masa depan dalam Negara berbilang kaum MALAYSIA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *