Saya adalah antara penggemar Reader’s Digest. Bagi orang seperti saya yang tidak mahir bahasa Inggeris, konsep majalah ini yang memuatkan rencana santai dan mudah sangat membantu. Majalah ini memberikan satu pengalaman membaca yang sangat menarik sekaligus memuatkan banyak maklumat.
Ketika belum wujud Internet di negara ini, Reader’s Digest membuka jendela fikir saya kepada dunia maklumat. Daripada bidang sains dan teknologi, kesihatan, cerita manusia hinggalah pada coretan-coretan yang dihantar oleh pembaca semuanya memberikan inspirasi dalam kehidupan.
![]()
Mula diterbitkan secara kecil-kecilah pada 1922, tidak ada siapa menyangka relong masa depannya sentiasa cerah walaupun berdepan dengan modal yang terbatas. Reader’s Digest lahir oleh idealisme sepasang kekasih, DeWitt dan Lila Wallace untuk memartabatkan ilmu dan maklumat.
Mereka kemudiannya menjadi suami isteri. Peliknya mereka merancang tidak mahu mempunyai anak kerana Reader’s Digest adalah “anak pertama” yang perlu ditatang dan dihidupkan pada zaman sukar itu. Reader’s Digest diterbitkan bulan demi bulan, tahun demi tahun dengan penuh susah payah bukan kerana desakan mengaut keuntungan.
Sebaliknya mahu menyuburkan ilmu dan maklumat. Suatu waktu dulu di Pleasantville, New York tempat majalah ini beroperasi adalah simbol sebuah keluarga besar. Mereka adalah majikan dan pekerja yang memberikan komitmen ketika sebuah majalah kerdil tiba-tiba menjadi gelombang besar dalam dunia penerbitan.
Para pekerja dibayar dengan ganjaran lumayan. Bukan kerana mahu mengikat tetapi pasangan DeWitt dan Lila Wallace percaya tanpa pekerja yang komited selain minat yang luar biasa terhadap ilmu, Reader’s Digest tidak mungkin menjadi kenyataan. Disebabkan keuntungan bukan matlamat utama, di tangan kedua-duanya majalah yang pada mulanya kecil dan terpinggir bertukar menjadi buruan pembaca.
![]()
Kembali menoleh jejak awal pada 22 Januari 1922, sepasang kekasih DeWill dan Lila menzahirkan impian mereka. Kelahiran “anak pertama” mereka, Reader’s Digest menjadi kenyataan biar terpaksa merentasi sekian banyak cerita duka dan babak gembira. Membaca sejarah Reader’s Digest sebenarnya lebih menginsafkan dan memberi pengajaran daripada membaca majalah ini selepas menjengah abad ke 21 ini.
Dengan bermodalkan AS$6,300 iaitu AS$5,000 wang yang dikumpul dan selebihnya berupa pinjaman, DeWitt dan Lila menubuhkan Reader’s Digest Association. DeWitt memegang 52 peratus saham dan 48 peratus lagi oleh Lila. Mereka cuba membuktikan idealisme dan kesungguhan sebenarnya lebih bermakna daripada wang.
Reader’s Digest pertama hanya 64 halaman ini dicetak sebanyak 1,000 naskhah. Majalah yang kini dibaca oleh lebih 100 juta pembaca, di 150 negara, 48 edisi dan 19 bahasa ini bermula di sebuah bilik bawah tanah di Greenwich Village, New York. Sebenarnya tidak pernah dibayangkan oleh mana-mana penerbit sezaman dengannya bahawa majalah ini boleh bernafas hanya bergantung pada langganan.
Cara langganan sudah terbukti bukanlah suatu yang praktikal untuk mencatatkan satu jumlah yang besar pada masa itu. Tetapi DeWitt dan Lila mencubanya. Pasangan suami isteri ini menyakinkan saudara mara untuk melanggan AS$3 setahun hingga mampu mengumpul AS$5,000.
Perkahwinan DeWitt dengan Lila Wallace juga sebenarnya memperkukuhkan idea menerbitkan sebuah majalah yang berkonsep ringan tetapi bermaklumat. Mereka bersetuju untuk tidak mempunyai anak kerana “anak” mereka adalah Reader’s Digest yang perlu dibela dan ditatang dalam kemiskinan.
Apa rahsia yang memberi kejayaan luar biasa kepada Reader’s Digest? Pasangan pengasas ini tidak ada rahsia, cuma mereka mempunyai keyakinan dan percaya kepada idea dan kejujuran. Malah pada awal kelahirannya, Reader’s Digest tidak malu untuk mengambil rencana-rencana yang baik dari Time, Newsweek atau Fortune. Alasan mereka mudah saja; ini dilakukan untuk pembaca mendapat rencana dan maklumat yang baik.
Kejayaan Reader’s Digest bukan kerana awal terbitnya. Memang benar ia lebih awal daripada Time (1923), Saturday Review of Literature (1924) atau New Yorker (1926). Tetapi kejayaan terletak kepada pendekatan; mudah, ringkas dan bermaklumat.
Wall Street
Bagaimanapun apabila Reader’s Digest merentasi zaman , kejayaan yang dicatatkan serta pulangan yang luar biasa pun diukur dengan wang yang akhirnya bertukar tangan kepada kapitalis rakus dan tamak. Lalu, Reader’s Digest hari ini bukan lagi membawa impian pasangan suami isteri yang luar biasa ini. Apabila majalah ini berupaya menjana keuntungan berbilion dolar, kapitalis pun mengambil kesempatan untuk memilikinya.
Kini yang masih ada dan boleh ditatap daripada peninggalan DeWitt dan Lila hanyalah kuntum-kuntum ros yang menghiasi pekarangan Pleasantville di New York. Hanya itu saja kesan cinta agung yang ada. Majalah yang mereka lahirkan menjadi begitu materialistik, nasibnya ditentukan oleh pasaran saham di Wall Street.
Penulis buku American Dream: The Wallace and Reader’s Digest: An Insider’s Story, Peter Canning menyalahkan Wall Street yang rakus dan sekaligus secara terhormat memusnahkan idealisme DeWitt dan Lila. Tanpa Wall Street dan bermulanya zaman tamak di Amerika, DeWitt dan Lila akan terus hidup bersama majalah yang menjadi manifestasi cinta mereka. Pleasantville kini adalah monumen idealisme yang hancur selepas melintasi beberapa garis politik dan dekad tamak para pemegang saham di Wall Street.
Canning pernah menjadi editor majalah ini hingga 1988 sebelum Reader’s Digest disenaraikan di New York Stock Exchange pada 1992. Pada 1990, Reader’s Digest mencatatkan keuntungan tahunan sebanyak AS$2 bilion dan mempunyai aset sebanyak AS$6 bilion. Kejayaan dan keuntungan yang tidak pernah dibayangkan oleh DeWitt dan Lila ini sebenarnya mengundang musibah. Reader’s Digest sebenarnya sebuah tragedi apabila pengasasnya terpaksa tunduk kepada zaman angkuh dan tamak haloba.
Kematian DeWitt pada 1981 ketika berusia 91 tahun dan empat tahun kemudian diikuti dengan kematian Lila telah memberi ruang kepada kapitalis dan politikus menggunakan sepenuhnya pengaruh Reader’s Digest.
“Jentolak akan menyambung kerja selepas ini,” demikian tulis Canning dengan sinis dan separuh kecewa Canning dalam bukunya. Sindiran ini ditujukan kepada pemegang saham yang akan menggerakkan Reader’s Digest bukan berlandaskan cara dan idealisme DeWitt dan Lila.
Buku ini secara penuh tanggungjawab mendedahkan bagaimana para pemegang saham telah memusnahkan idealisme pengasas Reader’s Digest. Pemilik majalah itu bukan lagi memikirkan apa yang wajar diberikan kepada pembaca tetapi apa yang menyenangkan para pemegang saham.
DeWitt dan Lila tidak pernah terbayang jerung-jerung di Wall Street yang sentiasa lapar dan materialistik akan merampas satu-satunya anak kelahiran mereka. Sekiranya DeWitt dan Lila masih ada, pasti mereka tidak sanggup melihat manifestasi cinta waktu remaja itu diniagakan sedemikian rupa. Tapi mereka telah tiada. Reader’s Digest terpaksa mengikut rentak tuan barunya.
Bang Ku boleh tulis sejarah mastika jugak.
Mastika mempunyai sejarah yang panjang. Majalah pertama di negara ini. Kalau ditanya saya, saya akan mengesyorkan supaya Mastika dikekalkan konsepnya seperti mula. Kalau Utusan berhasrat menerbitkan majalah misteri (seperti kandungan Mastika sekarang) tubuh saja satu majalah baru. Kalau Mastika ditakdirkan berakhir (sebelum konsep berubah menjadi seperti sekarang) tidak mengapa. Ini lebih baik daripada Mastika menjadi dua wajah yang kontras antara satu dengan lain.
Agaknya kita sekebetulan.
Saya mula membaca RD selepas tingkatan lima. Ketika itu kongsi abang punya.
Berlanggan setiap bulan apabila bekerja sehinggalah kandungannya berubah corak dan harganya naik ke paras terlalu mahal.
Perubahan kandungan dan harga menyebabkan saya berpisah dengan RD.
Namun RD melakar kesan yang abadi kepada diri saya. Mengajar saya menulis, sukakan ilmu pengetahuan dan mendorong saya jadi wartawan.
Kisah seorang pengarang akhbar Amerika dalam ruangan “Unforgettable Character” menyemaikan cita-cita saya menjadi wartawan. Terlupa kini nama pengarang itu.
Yang saya tidak lupa ialah karakternya semasa akhbarnya ditutup pada zaman kemelesetan ekonomi.
Dia dan kawan-kawannya melepak di taman awam. Kawan-kawannya baring di atas bangku-bangku panjang, tetapi dia enggan.
Katanya, hanya orang yang patah semangat baring di atas bangku.
Sekalung terima kasih buat Reader’s Digest.
Terima kasih Tuan Haji Hamzah di atas reaksi.
Saya juga pernah meminati dan membaca RD sekitar lewat 1970-an hingga 80-an. Namun kemudiannya setelah harganya meningkat dan saya sudah tidak mampu membelinya, saya tinggalkan RD. Pernah terbaca beberapa cerita menarik yang masih saya ingat hingga kini, antaranya kisah seorang CEO sebuah kilang pengeluar makanan di Jepun yang meminta pandangan kakitangan serta pekerjanya untuk mencadangkan apakah cara terbaik untuk meningkatkan jualan produk keluaran kilang tersebut. Setelah tiada seorang pun antara staf kanannya yang memberi cadangan, CEO tersebut turun ke bahagian pengeluaran dan di sana dia bertanya kepada pekerja-pekerja buruh yang sudah bekerja bertahun-tahun. Akhirnya seorang pekerja memberi cadangan yang menarik dan masuk akal. Terus diaplikasikan cadangan itu dan pada bulan berikutnya jualan produk berkenaan meningkat mendadak. Moral di dalam cerita tersebut ialah, seseorang ketua jangan sekali-kali memandang tendah dan tidak mengambil perhatian terhadap pekerja bawahannya, meskipun pekerja itu tidak berpelajaran tinggi.
Malangnya RD telah mberhen hentikan khidmat pengilangan nya. Majalah itu hanya dapat dibeli di kedai-kedai buku yang besar sahaja. Mula membaca nya sejak berpuluh-puluh tahun duliu.
Terima kasih kiriman untuk renungan saya. RD saya mula baca sebagai bahan rujukan untuk Kertas Am tingkatan enam. Soalan untuk terjemahan dari Bahasa Inggeris ke Bahasa Malaysia dalam STPM sering diambil dari majalah RD WAKTU ITU SEKITAR TAHUN 80an.
Saya mula membaca majalah Mastika semasa usia 11 tahun setiap bulan tidak pernah tinggal. Abang saya beli. Paling saya suka baca info dibawahnya yang dipilih dari kata-kata bijak pandai. Ruangan cerpen dan juga terjemahan cerpen. Banyak ilmu pengetahuan dari luar negara dapat dibaca dalam Mastika. Tetapi tiba-tiba Mastika berubah corak lebih kepada cerita misteri. Sejak itu saya jarang membaca Mastika.
Terima kasih memberi komen