Semakin banyak saluran televisyen dan radio sepatutnya masyarakat khususnya orang Melayu mendapat bahan yang lebih baik kerana ada banyak pilihan. Sementara orang Melayu pula dengan sendirinya teranjak pemikiran mereka termasuk budaya berhibur dengan bahan televisyen atau radio.

Tetapi yang berlaku adalah sebaliknya, bahan kandungan televisyen dan radio semakin hilang arah, melanggar batas agama, susila mahupun budaya. Apresiasi orang Melayu sebahagian besarnya terhadap bahan hiburan yang bukan sahaja berkualiti rendah malah bersifat murahan.

Memang benar, hiburan adalah isi kandungan televisyen yang bernilai berbilion dolar dalam industri penyiaran. Isi kandungan televisyen dan radio seharusnya berperanan menyediakan manusia yang berkualiti untuk mendepani era yang lebih mencabar. Tetapi yang berlaku ialah mengkhayalkan mereka dengan candu hedonisme.

Secara umumnya apresiasi orang Melayu terhadap hiburan sangat rendah dan murahan. Walaupun kita mempunyai berpuluh saluran televisyen dan radio, tetapi sebahagian besarnya bukan sahaja gagal mengangkat malah meruntuhkan apa yang ada.

Orang Melayu tidak kira generasi muda, dewasa atau warga emas terperosok dan tersihir dengan hiburan berkualiti rendah di banyak saluran televisyen. Mereka tidak terdidik dengan hiburan berbudaya tinggi. Candu hiburan ini merosakkan orang Melayu.

Orang Melayu seharusnya disedarkan supaya tidak terus menjadi mangsa kepada percambahan saluran televisyen dan radio di negara ini. Kalau mereka ingin berhibur pilihlah hiburan yang memberikan rangsangan untuk berfikiran aras tinggi.

Hiburan yang memberikan manfaat kepada rohani dan yang menjurus hedonisme ada bezanya. Yang meledak di banyak stesen televisyen adalah hedonisme yakni semata-mata hiburan yang menjadi ruang ekapisme kepada realiti sosial.

Mereka bersorak atau berteriak kecewa di depan televisyen apabila penyanyi pujaan menang atau tewas, mereka sebenarnya adalah mangsa yang tidak disediakan dengan kematangan mendepani ledakan saluran televisyen pada era langit terbuka ini.

Tidak cukup budaya hiburan yang murahan, baru-baru ini ada stesen radio yang memperkenalkan berhibur dengan memperdayakan orang. Si juruhebah membuat panggilan kepada seorang sukarelawan dan menyamar wakil pihak yang berminat menaja kegiatan sukarelawan itu.

Bayangkan, seluruh pendengar radio diberikan “hiburan” mendengar secara langsung bagaimana sukarelawan yang berhati mulia itu diperdaya dan dipermain-mainkan. Semua itu merupakan satu bentuk hiburan kepada pendengar radio. Pendengar radio terhibur, stesen radio mencatat rating yang tinggi. Orang Melayu wajar sedar akan hakikat ini.

Please follow and like us:

Author / Editor

One thought on “Berhibur murahan cara Melayu”
  1. Saya terhibur dengan hiburan melayu tu.kira ok lah..sy org melayu menghargai hiburan yg org melayu sedia kn utk masyarakat malaaysia..hargailah tuan..harga diri tu pada bicara. Harga raga itu pada busana

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *