Penasihat Sosiobudaya Kerajaan, Dr Rais Yatim melontarkan sinikal tajam terhadap istilah “Back To School” yang digunakan oleh pihak tertentu dalam UMNO untuk program bantuan persiapan kembali ke sekolah. Bagi Dr Rais, mereka yang menggunakan istilah Inggeris itu adalah kumpulan yang membunuh bahasa Melayu.

Dr Rais berkata demikian dalam status Twitternya baru-baru ini. Saya sangat setuju dengan beliau bahawa mereka yang mempopularkan “Back To School” adalah pembunuh bahasa Melayu.

“Jangan biarkan ungkapan “Back to school” anjuran bijak pandai UMNO berterusan. Malu kita. Betulkan cepat kepada “Kembali ke sekolah”. Jangan sertai gerombolan bunuh bahasa Melayu,” katanya dalam catatan di laman Twitternya.

Memang betullah sindiran Dr Rais, UMNO memang pembunuh bahasa Melayu. Lihat sahaja sekian banyak program terutama yang diangjurkan oleh Jabatan Perdana Menteri (JPM) semuanya berbau Inggeris termasuklah nama bangunan yang kononnya akan menjadi mercu tanda Kuala Lumpur, TRX.

Malah semua Perdana Menteri Melayu daripada UMNO   juga tidak ada seorang pun yang memperjuangkan bahasa Melayu. Bermula daripada Tunku Abdul Rahman, Tun Razak Hussein, Tun Hussein Onn, Dr Mahathir Mohamad, Tun Abdullah Badawi dan era Datuk Seri Najib Razak.

Pada era Najib acara pembunuhan bahasa Melayu dilakukan secara besar-besaran. Hampir semua program era Perdana Menteri ini memperlekehkan bahasa Melayu secara tersiratnya apabila mengutamakan bahasa Inggeris. Bahasa Melayu sangat malang kerana UMNO membunuhnya sejak dulu hingga sekarang.

Maka tidak hairanlah nama UMNO itu sendiri bukan bahasa Melayu. Budi penjajah memberi talian hayat kepada UMNO pada era sebelum merdeka nampaknya telah dibalas dengan baik oleh UMNO. Banyak parti-parti lain diharamkan oleh penjajah British kecuali UMNO.

Saya selalu berkata,   usahlah melibatkan pemimpin UMNO pada acara yang melibatkan bahasa dan sastera Melayu. Mereka tidak menghayatinya dan hanya membaca teks yang disediakan oleh orang sastera sendiri. Mereka bukan pejuang bahasa Melayu.

Sekarang lihatlah UMNO sendiri popularkan “Back To School” dan melongkangkan “Kembali Ke Sekolah” yang lebih indah sebutannya. Saya harap Dr Rais akan terus bersuara terhadap “kawan-kawan” beliau yang masih punyai kuasa dalam UMNO.

Balik awal sejam: Swasta jangan berkira

Majikan menguruskan manusia dengan mengambilkira nilai-nilai kemanusiaan terhadap para pekerjanya. Walaupun siapapun manusia itu, dia berhak mendapat keprihatinan yang lebih bersifat manusia. Maknanya semua majikan menguruskan manusia yang hidup dalam lingkungan rasa manusia dan kemanusiaannya.

Oleh hal yang demikian kita wajar memuji langkah kerajaan memberi kelonggaran pulang sejam lebih awal kepada kakitangan awam yang mengandung lima bulan ke atas mulai Januari depan. Ini terkandung dalam Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 11 Tahun 2017 itu ditandatangani Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Zainal Rahim Seman baru-baru ini.

Advertisement

Ini satu pendekatan kemanusiaan yang murni. Setiap majikan mesti realistik bahawa yang menjana produktiviti mereka adalah manusia. Kerana sifatnya sebagai manusia sudah tentu mereka memerlukan keprihatinan yang juga bersifat manusia. Misalnya memberi kelonggaran pulang lebih awal bagi kakitangan mengandung lima bulan ke atas.

Walaupun sejam bagi seorang atau lapan jam sekiranya lapan kakitangan awam mengandung serentak. Lapan jam bermakna satu shif untuk seorang kakitangan awam. Mengikut perkiraan matematik kerajaan kerugian seorang kakitangan bagi setiap lapan kakitangan yang pulang awal sejam.

Tidak semua hal diselesaikan dengan kaedah matametik. Hal-hal yang menyentuh keperluan manusia tidak dapat disukat dengan angka-angka. Begitu juga hasil yang dilakukan oleh setiap kakitangan tidak semua boleh disukat dengan angka.

Mengurus manusia bukan menguruskan angka-angka. Tindakan atau keputusan yang tidak dapat disukat dengan angka tetap menyumbang kepada produktiviti. Misalnya kakitangan akan merasa mereka dihargai dan melipatgandakan kesungguhan pada waktu yang lain.

Kerajaan tidak rugi walaupun sekiranya 100,000 kakitangan mengandung serentak atau 100,000 jam dibuang secara percuma setiap hari. Ini kerana memberikan perhatian pada aspek kemanusiaan akan memberikan pulangan dalam bentuk yang lain.

Bagaimanapun pihak swasta keberatan malah menolak untuk menurut langkah murni yang dimulakan oleh kerajaan kepada kakitangan awam. Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) misalnya sangat keberatan untuk mengesyorkan kepada syarikat swasta mengikut langkah kerajaan.

Pengarah Eksekutif MEF, Shamsuddin Bardan berkata kepada Astro Awani, “Dalam bekerja, prestasi kita banyak diukur oleh output atau hasil kerja. Jika akta ini dilaksanakan, terdapat kemungkinan output akan berkurangan, tetapi gaji tetap sama yang akan menyebabkan kos pengurusan semakin tinggi.”

Saya berpendapat, bukan majikan swasta sahaja yang mempunyai sasaran output, kakitangan awam juga ada output walaupun tidak disukat dengan angka-angka. Misalnya kelicinan urusan agensi atau jabatan kerajaan dengan orang ramai juga adalat output bagi kerajaan sebagai majikan. Kita tidak boleh menafikan hakikat ini.

MEF berperanan menyuntikkan elemen-elemen manusia dan kemanusiaan dalam pengurusan majikan swasta di bawahnya. Tanggungjawab sosial kepada kakitangan tidak wajar dikorbankan kerana kepentingan output yang berbentuk material semata-mata. Kecuali kakitangan itu berupa robot yang tidak ada keperluan kemanusiaan dalam hidupnya.

Kata Shamsuddin lagi, kalau peraturan yang sama diwajibkan kepada majikan swasta, beliau bimbang pihak majikan akan pilih kasih dan hanya memilih kakitangan lelaki untuk diambil bekerja.

Kalau benar-benar berlaku, bukankah ini (diskriminasi gender) bertentangan dengan dasar sosial di negara ini? Apakah MEF akan mengikut sahaja suatu yang bertentangan dengan dasar sosial yang menentang diskriminasi gender?

Advertisement
Please follow and like us:

Author / Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *