Adakah hudud itu hanya hukuman memotong tangan dan bukan undang-undang yang jauh lebih adil dan perikemanusiaan berbanding undang-undang sivil yang digunakan sekarang? Persoalan ini timbul apabila Pas yang merintis gagasan hukum hudud tidak membentangkan bahawa undang-undang Islam membimbing manusia ke arah kebaikan, menyuburkan kemanusiaan dan keadilan.

Misalnya Astro Awani Online 2 Januari lalu menyiarkan kenyataan Timbalan Menteri Besar Kelantan, Mohd Amar Nik Abdullah bahawa kerajaan negeri sudah ada bayangan individu yang akan menjadi tukang potong tangan bagi menjalankan hukuman melibatkan kes kecurian atau Sariqah mengikut Enakmen Kanun Jenayah Syariah 11 Kelantan 1993 Pindaaan 2015.

Beliau menambah, individu yang dibayangkan itu adalah dalam kalangan doktor yang mempunyai kepakaran dalam bidang pembedahan. Bagaimanapun menurut beliau lagi, kumpulan doktor pakar berkenaan masih belum dilantik memandangkan Rang Undang-Undang Persendirian (RUU) Akta 355 masih dibahaskan di Parlimen.

Amat mengecewakan sekali apabila hudud disinonimkan dengan potong tangan. Tahukah Pas bahawa kenyataan begini memberikan persepsi yang salah sama sekali terhadap kemurnian huduh. Kalau beginilah pemikiran Pas terhadap hudud, tidak salah kalau bukan Islam menganggap hudud itu tidak berperikemanusiaan dan mereka menentang hudud.

Apakah bezanya kenyataan yang memberi penekanan pada bab potong tangan dengan banyak kekejaman di luar negara yang melakukan di atas nama Islam? Taliban misalnya melakukan kekejaman atas nama Islam dan merujuk itulah hudud. Ini mesti diperbetulkan bukan dikelirukan.

Saya sangat percaya hukuman potong tangan, dirotan 100 kali atau direjam sampai mati adalah persepsi yang ditonjolkan oleh musuh-musuh Islam. Tujuannya supaya hudud dilihat sebagai sistem perundangan yang kejam, tidak bertamadun dan tidak adil.

Inilah kerja musuh-musuh Islam dan sekarang usaha mereka telah berjaya apabila Pas sendiri lebih banyak bercakap tentang potong tangan berbanding sekian banyak kebaikan kepada Islam dan bukan Islam di bawah hudud.

Sebenarnya hudud lebih kepada usaha membanteras daripada menghukum. Ia membentuk sikap bertanggungjawab dan melahirkan anggota masyarakat yang berkualiti tinggi. Tetapi sangat malang apabila hudud seolah-olah hanya hukuman potong tangan.

Hudud akan kembali menjadi polemik kitar semula dan modal politik dalam kalangan yang bersetuju atau menentang hukum ini. Hudud mempunyai nilai yang tinggi di pasaran politik untuk memperlihatkan ‘lebih Islam’ , ‘kurang Islam’ dan ‘tidak Islam’ pihak tertentu.

Advertisement

Saya membaca kenyataan Mohd Amar berulang kali dan semacam tidak percaya kenyataan ini boleh dikeluarkan seorang pemimpin kanan Pas. Maka saya pun tertanya-tanya adakah yang penting kepada Pas dalam soal hudud hanya ‘potong tangan’? Kalau tidak, penting kenapa isu potong tangan ditonjolkan?

Kenyataan Mohd Amar tidak salah tetapi tidak kena dalam suasana di mana banyak pihak sengaja mencetuskan keliru dan persepsi buruk terhadap hudud. Musuh Islam memperlihatkan Islam dan hudud sebagai tidak bertamadun dan kejam. Mohd Amar seorang ulama tentu faham bahawa untuk sampai kepada potong tangan, prosesnya bukan mudah.

Proses yang diistilahkan sebagai bukan mudah inilah nilai-nilai keadilan yang sangat diutamakan dalam perundangan Islam. Misalnya dalam undang-undang sivil yang diamalkan sekarang, mencuri sebuku coklat di pasar raya hukumannya sama dengan penjenayah kolar putih yang mencuri ‘berjuta-juta Ringgit Malaysia.’

Sebab itulah ada pihak yang sinikal berkata, kalau hendak mencuri, curilah banyak-banyak kerana sedikit pun hukumannya sama juga. Ini merujuk undang-undang sivil yang tidak semuanya adil. Tetapi ini tidak berlaku dalam hudud.

Seorang ulama yang tidak mahu nama disebut (yang pasti bukan pelawak) memberitahu saya, sekiranya hukum hudud dilaksanakan di negara ini, mungkin tidak ada orang yang dipotong tangannya kerana mencuri.

Saya tanya, adakah tidak ada kecurian? Beliau berkata, jumlah kes mungkin berkurangan tetapi untuk sampai ke peringkat di mana pesalah kes mencuri dipotong tangan adalah sangat kecil malah mungkin tidak ada. Hukuman diganti dengan yang lebih rendah kerana hudud itu adil bukan zalim atau kejam.

Kata ulama ini, kalau membicarakan tentang hudud, tidak usahlah membina persepsi buruk kepada hukum Islam dengan membesar-besarkan konotasi yang membawa maksud kezaliman atau kekejaman. Hudud lebih kepada membanteras berbanding menghukum. Hudud itu keadilan bukan penganiayaan.

Penyelewengan ini telah banyak dilakukan di luar negara dan Islam mendapat imej buruk. Musuh-musuh Islam tidak menonjolkan sisi putih hukum hudud, maka menjadi tanggungjawab golongan bijak pandai Islam untuk menunjukkan hudud satu sistem yang adil. Kalau bijak pandai Islam pun semangkuk dengan musuh-musuh Islam, kita kalah dan mereka akan menang.

Advertisement
Please follow and like us:

Author / Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *