Sejak beberapa hari kebelakangan ini, muncul satu jembalang yang dikatakan sangat menakutkan. Sangat bahaya kepada negara dan rakyat jelata. Darjah bahayanya memaksa banyak pihak bercakap tentang jembalang ini. Jembalang yang dimaksudkan ialah berita palsu.

Pada zaman moden apa lagi semakin hampir dengan pilihan raya, berita palsu diangkat sebagai jembalang yang mesti diperangi oleh semua pihak; pihak kerajaan dan penentangnya. Selepas mengikuti semua pandangan, sesuailah dipanggil jembalang kerana semuanya menolak jembalang ini.

Joseph Goebbels (kanan) dan Hitler

Sesuatu yang palsu wujud selepas tidak wujud lagi yang asli. Yang palsu selalunya menggantikan yang asli dalam satu vakum. Maka untuk mengekang atau membanteras berita palsu perlulah perbanyakkan berita asli. Tujuannya supaya vakum itu terisi dengan yang benar dan asli, tidak ada tempat untuk yang palsu.

Bagaimanapun dalam politik, berita yang dikatakan palsu sukar untuk dicegah kerana inilah elemen asas bahan propaganda. Propaganda ialah satu seni mengalih persepsi dan keterujaan manusia kepada satu yang lain. Propaganda adalah kepalsuan yang diperagakan atau dipersembahkan seolah-olah benar.

Tidak ada politik yang menolak peri pentingnya propaganda. Propaganda ini berbagai-bagai yang tujuannya untuk menarik perhatian kemudian mengalih perhatian. Kepalsuan dalam konteks maklumat sebenarnya lebih luas berbanding berita palsu.

Kepalsuan dalam menyalurkan maklumat adalah bapa segala jembalang.   Inilah yang dikerjakan oleh tokoh propaganda agung dunia, Joseph Goebbels. Ini satu seni yang menuntut kemahiran dan ketinggian pemikiran untuk mengubah warna bulan menjadi biru dan biru itu dipercayai oleh rakyat sebagai satu kebenaran.

Saya banyak membaca tentang Joseph Goebbels sejak lama dulu. Terpikat dengan pendekatan propagandanya dan tidak hairanlah kalau Adolf Hitler memberi kepercayaan kepada Goebbels sebagai Menteri Propaganda. Sebagai Menteri Propaganda tugas utamanya ialah menjadikan berita atau maklumat palsu seolah-olah benar.

Kejayaan doktrin Nazi yang dicetuskan oleh Hitler antaranya disumbangkan oleh Goebbels. Dia bergabung secara rasminya dengan Nazi tahun 1924 dan dilantik sebagai Menteri Propaganda. Dia seorang strategis yang cukup luar biasa untuk menjayakan matlamatnya.

Untuk menjadi seorang propagandis yang hebat bukanlah mudah. Propagandis jangan disamakan dengan samseng, gedebe atau cybertrooper yang tidak mengaplikasikan pengetahuan yang luas dalam perang psikologi (psy-war).

Sebagai seorang propagandis, Goebbels disegani oleh banyak kawan dan lawan, malah ilmuwan sejak dulu hingga sekarang menyanjungi kepintarannya. Ini kerana Goebbels dianggap sebagai pelopor dan pengembang teknik propaganda moden. Teknik pembohongan yang dipelopori memberikan kejayaan besar apabila penafian yang palsu akhirnya diterima sebagai kebenaran. Kebenaran pula dinafikan seolah-olah rekaan.

Sebagai Menteri Propaganda, Goebbels menyebarluaskan propaganda melalui media. Perkara ini dilakukan berulang-ulang hingga secara psikologinya kepercayaan rakyat berjaya diubah daripada mempercayai suatu yang benar kepada yang direka.

Media utama Goebbels ketika itu ialah radio gelombang pendek dan filem. Kesan sebaran radio gelombang pendek sangat luar biasa hingga hampir separuh dari dunia mendapat propaganda doktrin Nazi. Hanya dengan menggunakan radio dan filem sahaja Nazi sudah menakluki separuh dari dunia.

Senang cakap begini sajalah, oleh kerana politik dan propaganda bagai saudara kembar, abang adik yang tidak dapat dipisahkan,  berita palsu, maklumat tidak tepat  tetap ada dalam sesuatu kelompok politik.  Mustahil ada pergerakan politik yang tidak ada propaganda. Kalau ada propaganda, itulah elemen-elemennya;  menyebar berita palsu.

Please follow and like us:

Author / Editor

One thought on “Joseph Goebbels dan propaganda”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *