Cantik? Apa itu cantik? Banyak wanita mengimpi muncul sebagai wanita cantik. Begitu juga lelaki yang pada masa sama selalu menganyam mimpi memiliki wanita cantik, tercantik dan paling cantik. Sebenarnya cantik itu apa dan bagaimana ukurannya? Tidak cantik pula apa penanda arasnya?

Baiklah, kepada wanita saya ingin bertanya, “Apakah definisi cantik bagi anda? Langsing dan berkulit putih?” Dalam budaya Melayu, ada digambarkan wanita cantik itu yang memiliki muka bujur sirih, kulit putih bak telur dikupas, hidung mancung bak seludang, bibir bak delima merekah dan betis bak bunting padi.

Tetapi ada dalam kalangan generasi muda sekarang tidak pernah melihat daun sirih, seludang kelapa atau batang padi yang bunting tentu sukar memahami perlambangan ini. Kalau tidak pernah melihat pun tetapi rajin membaca karya persuratan Melayu mereka mungkin dapat menghayati imej yang dipinjam untuk menggambarkan kecantikan wanita Melayu.

Ukuran kecantikan ini sama dengan apa yang dipaparkan dalam dunia pengiklanan. Wanita dalam dunia iklan bukan sahaja menjadi objek seks malah dipergunakan untuk memberikan makna yang mengelirukan tentang cantik dan kecantikan. Media khususnya iklan mencipta satu garis sendiri dalam membuat justifikasi yang mana cantik dan tidak cantik.

Dalam satu kajian mengenai industri pengiklanan di Amerika Syarikat mendedahkan bahawa 95 peratus individu yang muncul dalam iklan adalah wanita. Daripada 95 peratus itu, 78 peratus pula mereka yang terdiri daripada yang bertubuh langsing dan berkulit putih.

Kita jangan memperemehkan iklan. Inilah yang boleh mengubahkan sudut pandangan kita terhadap sesuatu apabila disogok berulang kali hingga menjadi seolah-olah satu hakikat sebenarnya. Apabila disogokkan berulang kali paparan begini akan membentuk satu tanggapan atau sudut pandangan akan kebenarannya.

Sampai suatu peringkat secara tanpa disedari paparan itulah yang melekat di fikiran kita. Bayangkan apabila berulang kali makna kecantikan begini (putih dan langsing) disogokkan kepada wanita. Maka secara tidak langsung dalam kalangan wanita semacam ada justifikasi atau rumusan bahawa cantik itu maknanya langsing dan berkulit putih.

Oleh yang demikian tidak hairanlah kalau banyak wanita yang tersihir dengan makna kecantikan yang di atas tadi berlumba-lumba untuk menjadi cantik seperti yang digariskan dalam iklan. Maka tumbuh seperti cendawanlah pengusaha kosmetik yang menjanjikan kulit putih dan bertubuh langsing.

Industri kosmetik di dunia  termasuk di negara ini tumbuh dengan rancak disebabkan sebahagian besar wanita memahami makna kecantikan seperti yang digariskan oleh pembuat iklan.

Tetapi kalau kita berfikir sedikit kritis tentang manipulasi iklan dan pengaruhnya yang sangat luar biasa, kita akan mengakui bahawa iklan adalah salah satu ciri-ciri dalam masyarakat postmodenisme masa kini. Menjadikan suatu yang terawang-awang itu satu realiti.

Kita hidup dalam satu era yang belum pernah wujud sebelum ini di mana media membina dan menggambarkan khayalan itu seolah-olah kenyataan. Kita tidak dapat membezakan antara garis khalayan di layar dengan hakikat sebenar di atas muka bumi.

Paparan dalam iklan seolah-olah satu hakikat dan kita sama-sama memburu “hakikat” yang tidak wujud itu. Tetapi berapa orang sahaja antara kita yang berfikiran kritis tentang perang industri pengiklanan yang begitu dahsyat ini? Yang banyaknya kita menelan bulat-bulat iklan yang diperagakan di depan kita.

Advertisement

Di peringkat antarabangsa, tahun lalu syarikat kosmetik terutama di Amerika Syarikat dan Eropah mencatatkan jualan produk kecantikan sebanyak AS$445 bilion di seluruh dunia. Daripada lubuk emas ini industri kecantikan telah melahirkan 40 pengasas produk kecantikan yang bertaraf bilionaire.

Ini membuka ruang kepada pihak lain yang sedar akan kuasa budaya kepenggunaan (consumers culture) mengaut untung daripada makna cantik yang kita faham iaitu langsing dan berkulit putih. Tidak hairanlah juga apabila jutawan kosmetik tumbuh macam cendawan pada musim hujan di negara kita.

Lihatlah di sekeliling kita berapa banyak produk yang menjanjikan badan menjadi langsing, kulit menjadi putih? Tanpa berfikir panjang banyak wanita terperangkap dalam perang produk langsing badan. Kesian mereka yang berusaha untuk menjadi cantik seperti yang dipropagandakan oleh pembuat kosmetik.

Sebahagian besar wanita menjadi pengguna yang mudah terpengaruh dengan imej-imej palsu ciptaan iklan kosmetik. Lelaki juga tidak kurangnya apabila melihat imej dalam iklan sebagai kayu ukur kecantikan wanita di mata mereka.

Tanggapan bahawa wanita sering menjadi mangsa iklan mungkin ada benarnya apabila terpengaruh dengan produk yang tidak berkualiti. Bagi mereka asal saja badan langsing dan kulit putih, itu sudah menepati impian yang selama ini dikejar. Matlamat hidup seolah-olah hanya untuk langsing dan putih, bukan tahap kesihatan yang baik.

Semua ini berlaku kerana iklan berupaya membina sudut pandangan yang palsu. Bagi sebahagian besar wanita yang “berisi” adalah masalah atau kekurangan diri. Ini kerana mereka menerima sekian banyak imej daripada 95 peratus model iklan yang ditonton di TV adalah langsing.

Sebahagian besar wanita memahami kecantikan daripada perspektif yang dimomok-momokan oleh syarikat pengeluar produk kecantikan. Ini adalah perniagaan. Pengeluaran produk kecantikan mencapai kejayaan yang sangat memberangsangkan apabila wanita termasuk kelas elit sekali pun memahami kecantikan daripada sudut pandangan yang sama.

Ada dalam kalangan etnik tertentu di sesetengah budaya di luar negara, kecantikan wanita diukur berapa besar piring yang dijahit di bibir mulut. Sementara dalam masyarakat lain pula kecantikan adalah berleher panjang akibat gelang khas. Botol parfum Jadour dari jenama Dior meminjam imej wanita kulit hitam yang berleher panjang penuh dengan gelang.

Bagi saya kecantikan itu umpama sebuah lukisan abstrak. Makna kecantikan daripada lukisan itu tidak sama. Ia terletak kepada siapa yang melihatnya. Jadi jangan mudah menghukum diri sendiri tidak cantik. Orang jenis ini akan merasa rendah diri kerana menganggap wanita lain sentiasa lebih cantik daripada dirinya.

Berfikirlah berulang kali untuk menjadi cantik dalam masa yang singkat. Wanita yang anda lihat dalam iklan di kaca TV atau majalah bukan ukuran kecantikan yang mutlak. Itu hanya salah satu daripada manipulasi kepada orang yang cepat tersihir dengan iklan.

Advertisement
Please follow and like us:

Author / Editor

One thought on “Wanita keliru definisi kecantikan”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *