Selama seminggu saya “menyiksakan” diri berada di depan televisyen untuk menilai tahap kandungan kreatif tempatan dalam konteks pembinaan tamadun dan budaya tinggi. Isi kandungan ini telah mewujudkan satu industri baru, “content industry” atau industri kandungan kreatif yang bernilai beratus bilion di seluruh dunia.

Bukan sahaja bernilai tinggi daripada sudut industri tetapi pada masa sama juga kandungan kreatif wahana mebina tamadun budaya tinggi. Inilah industri yang paling berpengaruh masa kini – menjana ekonomi dan tamadun bangsa.

Sebuah drama Korea Selatan

Daripada pemerhatian itu, saya berani membuat kesimpulan bahawa sebahagian besar pemain industri tidak sedar peranan sebagai penyumbang pembinaan tamadun dan budaya tinggi. Sebaliknya hanya aspek ekonomi semata-mata. Budaya fikir yang diperlihatkan ( terutama menerusi program hiburan dan drama) amat rendah dan menjurus hedonisme.

Saya percaya semua ini berlaku secara semulajadi dan berterusan dalam lingkaran citra budaya murahan dan rendah. Persekitaran sosiobudaya dan politik secara umumnya tidak menyemarakkan keutamaan kepada hal-hal yang disebutkan tadi. Bahasa mudahnya mereka (pemain industri) diletakkan dalam acuan yang salah. Tidak akan betul selagi acuan tidak dibetulkan.

Tentu tidak adil kalau hanya menyalahkan pemain industri. Ini kerana sebahagian mereka dibesarkan dan menerima didikan dalam persekitaran yang tidak mengangkat citra pembina tamadun. Dasar pendidikan juga menyumbang kepada warga yang tumpul budaya tinggi bangsanya.

Persekitaran sosiobudaya dan politik dibentuk secara tanpa sedar oleh dasar-dasar kerajaan. Sejak dulu, kini dan mungkin selamanya. Kita merdeka dalam erti kata yang tidak merdeka. Tidak ada kecenderungan membina tamadun dan budaya tinggi, kalau ada pun sekadar melepaskan batok di tangga.

Hal yang demikian membentuk masyarakat yang tidak ambil endah akan tamadun dan budaya bangsanya. Bagaimana hendak bercakap mengenai tamadun dan budaya tinggi, kalau sebahagian masyarakat   sendiri pun tidak berbudaya tinggi. Amanah (integriti), bertanggungjawab (responsibiliti) dan kebertanggungjawaban (akauntabiliti) adalah ciri-ciri budaya tinggi.

Kecenderungan masyarakat menolak segala macam budaya tinggi adalah kesan dan cermin dasar-dasar sosial kerajaan selama ini. Inilah generasi yang menjadi pemain utama dalam industri kandungan kreatif di negara ini.  Tidak hairanlah kalau kecenderungan mereka menghasilkan kandungan kreatif yang tidak membawa citra tempatan malah meracuni pemikiran masyarakatnya sendiri.

Tuntutan terhadap industri kandungan kreatif sangat tinggi. Teknologi pula menjadi pemangkin kandungan kreatif lebih mudah dicapai oleh masyarakat. Kalau peluang keemasan ini tidak direbut dengan tanggungjawab menghasilkan kandungan kreatif yang membawa citra dan tamadun bangsa, sudah tentu ini satu yang merugikan.

Selain Amerika Syarikat (AS, negara maju lain yang kental tamadun budayanya seperti Jepun dan Korea Selatan  menjadi pemain utama dalam industri kandungan kreatif yang pada relatifnya amat baru ini. Selain menjana ekonomi yang membolehkan Jepun dan Korea Selatan mengaut   berbilion ringgit,  ribuan judul siri drama berbahasa asal, kandungan kreatif ini juga menjadi agen pembudayaan bagi Jepun atau Korea Selatan.

Tetapi di mana kita sebagai pemain industri kandungan kreatif? Kalau peringkat Asia terlalu tinggi, di mana kita di peringkat Asia Tenggara atau setidak-tidaknya di negara jiran? Kita hanya juara kampung sahaja. Setakat Anugerah Skrin sahaja. Itupun tidak lepas saringan.

Tidak bermaknalah   kalau hanya mengimport budaya dan citra pemikiran orang luar , padahal kita mempunyai prasarana untuk melakukan. Malah mampu melakukan dengan lebih baik lagi kalau ada kesedaran berbuat demikian.

Bagaimanapun ironinya sebahagian besar kandungan kreatif tempatan sangat buruk, dihasilkan oleh pemain industri yang jumud dan materialistik. Ini adalah produk dasar-dasar kerajaan yang menjadikan sosiobudaya lebih rendah berbanding ekonomi.

Dalam hal ini, bukan pemain industri sahaja malah kerajaan juga wajar dipertanggungjawabkan. Kerajaan sama ada sedar atau tidak telah menyediakan acuan sedemikian.  Ini adalah kegagalan sesetengah dasar sosial  sebagai acuan yang dihasilkan oleh  sebahagian besar barisan kepimpinan tidak ada citra yang tinggi terhadap tamadun bangsa.

Lihat, dalam keadaan begini pun kerajaan tidak menunjukkan kepedulian  untuk memperbaikinya. Mereka hanya bermuka-muka apabila bercakap tentang tamadun bangsa, bahasa Melayu dan kedudukan Islam di negara ini. Beritahu siapa antara barisan kepimpinan yang gusar kerana lambakan program mempromosi hedonisme di saluran televisyen tempatan? Tidak ada.

Tidak ada yang bersuara sebab mereka tidak peduli apa yang berlaku kepada rakyat. Mereka sibuk perihal kuasa. Mereka hanya menjaja budaya demi kuasa. Mereka berpura-pura menjadi pelindung bahasa Melayu padahal mereka jugalah perosak utama bahasa Melayu. Kejujuran hampir tidak ada dalam kalangan mereka.

Lalu tidak hairanlah apabila generasi yang lahir dalam acuan dasar-dasar sosial yang compang camping ini menjadi begitu materialistik, lupa diri dan mahu menjadi “orang lain”. Walaupun menjadi pemain industri kreatif tetapi sebahagian besar bukan saja tumpul pemikirannya malah tidak kreatif. Mereka hanya operator.  Mereka bukan pembina tamadun sekaligus memancarkan citra budaya tinggi. Ini kegagalan kita semua dan kita mesti bertanggungjawab.

Please follow and like us:

Author / Editor

2 thoughts on “Kualiti program TV kita buruk”
  1. Saya turut berasa gusar setelah membaca artikel ini lebih lagi turut terlibat secara langsung di dalam bidang yang diutarakan oleh saudara.

  2. Saya merasakan didikan politik terlalu memdominasi dalam negara kita, sehinggakan budaya ilmu susah org kita nk terima.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *