Prof. Teo Kok Seong

Saya mengucapkan tahniah kepada Persatuan Lembaga Pengelola Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) kerana berjaya dalam perjuangan mendapatkan pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) di universiti awam negara ini.

Mereka berjuang dengan penuh iltizam, tidak pernah kecewa atau mengalah dan akhirnya dengan kuasa politik Cina, UEC diiktirafkan. Pengiktirafan yang bersejarah itu ada dalam manifesto BN dalam PRU 14 ini. Berakhirlah penantian Dong Zong sejak 1975.  PRU 14 satu catatan manis Dong Zong dan juga MCA.

Kita yakin UMNO juga berbangga dengan pengiktirafan UEC yang diperjuangkan Dong Zong dengan sokongan MCA ini. Baguslah kerana UMNO turut berbangga, setakat ini belum terdengar suara-suara tidak puas hati UMNO terhadap pengiktirafan UEC.

Portal berita Malaysian Insight melaporkan, “The deputy president of the Chinese-based party said MCA has pushed for recognition of the UEC exam to be made part of the BN election policy.

“We (MCA) have put it in the draft version but are not sure if it will be included in the final manifesto,” Wee told The Malaysian Insight.

He said before BN finalises its manifesto, BN component parties submitted their proposals which are then sifted through by a committee.

Inilah yang dinamakan kebijaksanaan berpolitik. Sama ada BN menang atau kalah dalam PRU 14 ini, Dong Zong dan MCA sudah mendapat faedah daripada politik mereka kerana pakatan pembangkang juga mengiktirafkan UEC. BN menjejaki pembangkang mengiktirafkan UEC.

(IKLAN)

Sekali lagi syabas kepada UMNO kerana memahami perlunya “tolak ansur” kemudian “ditolak beransur-ansur”, isu bahasa Cina berjaya mencapai matlamat, isu bahasa Melayu tidak perlu dalam perjuangan “Demi agama, bangsa da negara” atau alif ba ta. Siapa pun tidak berbuat apa-apa, dan tidak perlu berbuat apa-apa.

Sebelum ini UEC tidak boleh diiktirafkan di negara ini kerana secara terang bertentangan dengan Dasar Pendidikan Negara, Akta Pendidikan 1996 dan Perkara 152 (1) Perlembagaan Persekutuan yang meletakkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Ahli akademik dan persatuan penulis membantah usaha mengiktiraf UEC. Bagaimanapun bantahan itu tanpa dokongan politik.

Advertisement

Tetapi dengan kebijaksanaan berpolitik MCA, halangan itu berjaya di atasi dengan mudah. Nyawa politik lebih penting berbanding dasar, akta atau Perlembagaan Persekutuan sekalipun. Sekali lagi tahniah kepada UMNO kerana tanpa sokongan UMNO UEC tidak mungkin diiktirafkan.

Lama sebelum manifesto BN, Penulis pojok Awang Selamat di Utusan Malaysia 27 November 2017 menulis, “Tidak kiralah siapapun yang menyokong tuntutan berkenaan, apa yang pasti UEC tidak boleh diiktiraf. Cukuplah kita sudah ada Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

“Tidak payah lagi iktiraf sijil kelulusan lain. Awang berharap kerajaan akan bertegas dalam soal ini dengan tidak memberi ruang kepada tuntutan seumpama itu. Kalaupun pengiktirafan diberikan, belum tentu ia akan memberi keuntungan politik kepada kerajaan.” Demikian penegasan Awang Selamat.

Utusan Malaysia 24 Mac 2017 melaporkan, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh menegaskan, sijil peperiksaan UEC tidak boleh digunakan sebagai kelayakan masuk ke universiti awam termasuk Kolej Tunku Abdul Rahman (KTAR) serta program universiti swasta yang difrancaiskan daripada universiti awam. Ini juga sebelum pelancaran manifesto.

Dalam satu wawancara dengan Mingguan Malaysia pada 26 November 2017, Felo Utama Institut Kajian Etnik (KITA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr Teo Kok Seong berkata, jika kerajaan mengiktiraf UEC, ia boleh dianggap sebagai penderhakaan kepada rakyat.

” Jika kerajaan mengiktiraf sesuatu perkara yang tiada dalam Dasar Pendidikan Negara ia boleh di ibarat seperti menyusu kera di hutan, anak sendiri kelaparan. Dalam kata lain, jika UEC diiktiraf ia umpama satu bentuk penderhakaan kepada rakyat,” tegas Kok Seong.

Jika diteliti tiada bezanya BN dengan pembangkang yang sama-sama mencabuli Dasar Pendidikan Negara, Akta Pendidikan 1996 dan Perkara 152 (1) Perlembagaan Persekutuan. Malah BN selari dengan manifesto pembangkang dalam isu UEC.

Dalam keadaan sesetengah kalangan pemimpin Melayu sendiri yang sudah tidak mengendahkan bahasa Melayu, tidak mahu berbahasa Melayu, maka sangat wajarlah kaum yang berbangga dengan budaya dan bahasa ibunda perjuangkan bahasa mereka. Jangan salahkan mereka, tepuk dada tanya selera.

Advertisement
Please follow and like us:

Author / Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *