Parti mana sekalipun yang dipilih menerajui kerajaan esok, saya akan terus kritikal pada isu-isu integriti dan kepentingan rakyat. Terus kekal sebagai non-partisan, tidak memihak tetapi pada isu-isu di atas, saya akan menunjukkan pendirian. Tidak memihak bukan bererti angguk dalam semua perkara.

Walaupun bergerak secara keseorangan atas kapasiti sebagai wartawan bebas (tiada majikan) dan tidak ada pengaruh, saya akan terus berperanan sebagai check and balance kepada kerajaan, ini yang tidak kelihatan menonjol oleh organisasi media arus perdana dan wartawan arus perdana.

Sepatutnya peranan menjadi check and balance ini dilakukan oleh organisasi media arus perdana yang hebat pengaruhnya. Tetapi mereka hilang suara apabila melibatkan pemimpin-pemimpin tertentu, sekalipun seluruh dunia riuh tentangnya.

Apabila media dan wartawan hilang peranan sebagai check and ballance untuk mewujudkan urus tadbir yang berwibawa dan penuh integriti, siapa lagi yang boleh rakyat harapkan? Sebagai contoh, banyak isu-isu integriti melibatkan pemimpin tertentu dibenamkan, dan jangan lupa, rakyat sangat sedar akan hal yang demikian.

Saya akan terus memperjuangkan pendemokrasian maklumat yakni kerajaan tidak sewajarnya mengawal tugas media sebagai check and balance. Kerajaan tidak sepatutnya membiarkan wujud kelompok media dan wartawan yang diistilahkan arus perdana (media prokerajaan) dan alternatif media propembangkang.

Saya tidak memperjuangkan kebebasan media mutlak sebaliknya media yang berperanan dalam mewujudkan persekitaran yang kondisif dalam dunia maklumat dan mengalir tanpa sekatan-sekatan yang tidak masuk akal, memihak atau dipaksa memihak. Dalam lain perkataan, ruang untuk pendemokrasian maklumat perlu diluaskan, bukan kebebasan yang meruntuhkan.

Advertisement

Ruang pendemokrasian maklumat yang luas memberikan faedah dan keuntungan kepada rakyat dalam konteks demokrasi. Semakin luas ruang, semakin luas jugalah demokrasi kepada rakyat. Wartawan dan media tidak mendapat apa-apa keuntungan.

Media arus perdana seolah-olah menafikan hak rakyat mendapatkan maklumat sebanyak mungkin sebelum mereka memainkan peranan dalam pilihan raya yang demokratik. Ini disebabkan sikap memihak kepada satu pihak yang bukan lagi secara terlindung malah terang-terangan.

Oleh hal yang demikian, tidak kiralah siapa yang dipilih menerajui kerajaan untuk tempoh lima tahun akan datang, saya akan terus berperanan sebagai mata dan kepala rakyat. Media arus perdana mungkin terus dengan “keperdanaan” mereka. Itu pilihan mereka walaupun tidak sepatutnya itu yang mereka pilih.

Saya melakukan cara saya kerana mengingatkan diri sebagai muslim, sangat tidak wajar saya memutihkan suatu yang hitam dan menghitamkan suatu yang putih. Bersekutu untuk kepentingan segelintir tetapi merosakkan rakyat terbanyak bukanlah tolak ansur yang baik.

Idealisme, prinsip dan pendirian saya terhadap sesuatu isu akan terus diketengahkan menerusi tulisan, ceramah dan sebagainya. Saya mengakui kesannya amat kecil. Tulisan saya di laman web KUSEMAN.COM juga tentu tidak dapat menandingi tokoh-tokoh di media arus perdana. Hanya itu yang saya mampu lakukan.

Advertisement
Please follow and like us:

Author / Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *