Hermes Kelly 28 berharga 23,000 pound.
Birkin 35 dengan emas 18 karat 
Black Birkin 30 terpakai dijual dengan harga HK$500,000.
Pink Birkin terpakai dijual dengan harga tertinggi AS$223,000 dalam satu lelongan Christie.

Beg tangan mewah menjadi duit. Demikianlah fenomena yang melanda kota-kota besar dunia khususnya di Barat malah sudah sampai ke Asia juga. Menjadikan beg tangan sebagai pelaburan bukan sahaja luar biasa malah sangat menakjubkan pulangannya.

Fenomena ini pada relatifnya baru tetapi sebenarnya tidaklah baru. Definisi “beg tangan” sudah jauh teranjak berbanding abad ke 20 dulu. Beg tangan tidak sekadar diukur kegunaan tetapi kedudukan dalam erti hidup aristokrat, borjuis dan juga selebriti.

Menurut Baghunter, hub pasaran beg tangan mewah secara dalam talian, sejak 1981 apabila Hermes Birkin diperkenalkan, pulangan Birkin terpakai meningkat jauh meninggalkan kadar keuntungan dalam pelaburan emas.

Pulangan tahunan Hermes Birkin paling rendah 15 peratus berbanding emas 1.5 peratus. Dengan harga sekitar AS60,000 hingga AS$200,00, Hermes Birkin menjadi buruan apabila dihasilkan dengan jumlah sangat terhad, tidak diiklankan dan senarai menunggu sahaja biasanya menjangkau enam tahun.

Ini bermakna, memiliki beg tangan Hermes Birkin adalah mengenggam duit kerana bila-bila masa sahaja ada pembeli yang sanggup membayar dengan harga berkali ganda untuk memiliki Hermes Birkin terpakai.

Sumber Baghunter dipetik sebagai berkata, “Hermes Birkin sebagai lambang status elitis dan bilionaire menjadi faktor utama harga beg terpakai terus meningkat sejak koleksi itu diperkenalkan. Apa lagi paparazzi selalu mencuri gambar selebriti seperti Kim Kardashian dan Victoria Beckham bergaya dengan Hermes Berkin. Ini iklan tidak rasmi Hermes.”

Bukan sahaja tanda duduk sosial pemiliknya tetapi juga sebagai “harta” yang boleh ditukar nilai duitnya apabila diperlukan. Nilai itu pula sentiasa naik berbanding harga asal. Bagaimanapun ini juga bersangkutan dengan erti dan gaya hidup orang kaya dan ternama pada jenama.

Lalu sepantas itu juga beg tangan teranjak menjadi tanda darjat. Ini kerana mempunyai wang berlambak-lambak, memiliki beg tangan mahal tidak lagi kebanggaan kecuali yang sukar didapati. Yakni yang sangat eksklusif kerana kecil jumlahnya. Tidak mudah diperoleh inilah nilai eksklusifnya.

Ini untuk tampak lebih tertampil luar biasa, unik dan mempunyai ciri-ciri menjadi buruan kolektor (collectible). Maka beg tangan edisi terhad yang terpakai dijual semula dengan nilai yang berganda. Beg tangan mewah teranjak lagi, bukan sahaja tanda darjat tetapi keuntungan.

Agensi Christie pada 2015 berjaya melelong sebuah beg tangan Hermes Birkin berkulit buaya berwarna merah jambu dengan harga yang seolah-olah “tidak masuk akal”, AS$223,000 di Hong Kong. Ini harga tertinggi bagi sebuah beg tangan.

Difahamkan harga ini adalah hampir sekali ganda berbanding harga asal antara AS$9,000 hingga AS$150,000. Ia menjadi mahal kerana koleksinya terhad. Orang kaya dan ternama mahu bergaya dengan sesuatu yang tidak dapat dimiliki oleh orang lain.

Dua koleksi Hermes yang paling mahal setakat ini ialah Birkin yang diilhamkan daripada nama aktres Jane Birkin tahun 1980-an dan koleksi Kelly yang diilhamkan daripada nama pelakon popular era 1950-an, Grace Kelly. Sekarang koleksi Birkin berada di tangga pertama.

Agensi berita Reuters melaporkan, pakar beg tangan mewah Christie, Rachel Koffsky mendedahkan statistik yang agak memeranjatkan iaitu pasaran beg tangan mewah terpakai Christie meningkat kepada AS$34 juta pada 2017 berbanding AS6.6 juta pada 2011.

“Mengikut data yang kami kumpul, beg tangan Hermes menjanjikan nilai pulangan yang sangat positif,” tegas Koffsky.

Sebagai contoh sebuah beg Hermes Birkin yang diperbuat daripada kulit buaya Himalaya dibeli pada 2010 dengan harga AS$30,448 dijual semula pada 2016 dengan harga AS$183,840. Pulangan 432 peratus.

Presiden Heritage Auctions di Dallas, memberitahu New York Times pada 2014, “Sekiranya anda membeli beg Hermes dengan harga AS20,000 bergantung pada populariti, material kulit dan saiz, dengan mudah menjual semula dengan pulangan 60 peratus hingga 150 peratus daripada yang anda bayar.”

Cantik sangatkah beg tangan itu? Tidak semestinya. Ia menjadi “cantik” malah luar biasa “cantiknya” bagi yang kenal nilai eksklusif barangan ini. Ia menjadi cantik kerana sukar ditemui dan keluarannya terhad . Ini juga taktik pengeluar untuk menjaga nilai eksklusifnya. Kuasa konsumerisme dan jenama berjalan seiring.

Tetapi yang paling menarik mengenai beg tangan mewah termasuk jenama Hermes Birkin ini ialah tidak semua yang membeli beg tangan ini terdiri daripada golongan aristokrat atau borjuis.

Banyak juga yang mengeluarkan wang simpanan untuk melabur dengan membeli koleksi tertentu yang dijangka akan menjadi bahan collectible beberapa tahun kemudian. Beg tangan ini tidak digunakan tetapi diperam hingga capai tempoh matangnya untuk dijual semula. Tinggi rendah harga beg tangan jenama mewah terpakai ini berpandukan edisi, koleksi, reka bentuk dan material kulit buayanya. Tetapi semua harga beg tangan terpakai memintas harga asal.

Pada 2014, Hermes Birkin yang diperbuat daripada kulit buaya albino dilelong pada harga AS$185,000. Lelongan Hermes Birkin bukan sahaja dibuat oleh juru lelong profesional seperti Christie malah dijual melalui E-Bay dengan harga di bawah AS$150,000.

Hermes mengawal pengeluaran untuk mengekalkan harga tertinggi. Tidak ada istilah cash is king atau ada duit semua dapat. Untuk memiliki Hermes Birkin misalnya, tanpa mempunyai jaringan dengan butik, ada duit belum tentu sempat membeli.

Kalau gagal, carilah yang sanggup menjualnya dengan harga berganda. Itu bukan urusan Hermes. Tetapi mereka berusaha menzahirkan mimpi-mimpi itu kerana Hermes Birkin adalah memiliki harta yang tidak susut nilai selain tanda duduknya status pemilik. Antara selebriti yang mengumpul koleksi Hermes Birkin ialah Victoria Beckham, Alessandra Ambrosio, Kate Moss dan , Kim Kardashian. Mereka memiliki tidak kurang 100 beg setiap seorang. Bayangkan nilainya apabila dijual semula.

Advertisement
Please follow and like us:

Author / Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *