Piala Dunia datang lagi dan ruang eskapisme dibentangkan seluas-luasnya. Kecanduan temasya bola sepak ini menghalakan penduduk dunia ke satu ruang yang penuh keseronokan dan keterujaan. Ia memberikan pesona yang luar biasa hebatnya merentasi sempadan agama, bangsa dan budaya.

Penduduk dunia sudah menerima Piala Dunia sebagai ritual yang wajib diikut serta, dilibatkan dan membentuk kelompok-kelompok yang berlawanan antara satu dengan lain. Mereka memilih untuk memihak seperti khalayak purba di Rom memihak kepada gladiator yang berlawan kekuatan di Coliseum.

Demikian hebatnya Piala Dunia yang mampu menenggelamkan seketika realiti hidup apabila menghamparkan eskapisme yang datang empat tahun sekali itu.Temasya bola sepak ini umpama candu. Piala Dunia membuatkan orang lupa seketika pada realiti dan larut dalam keterujaan yang sangat spektakular. Ini membuatkan manusia lupa tentang realiti hidup dan melayang bersama-sama pasukan negara yang dipilih untuk disokong sebagai juara.

Media adalah paksinya. Pada era di mana media yang sangat ke depan teknologinya dan sangat luar biasa pengaruhnya pula mewujudkan dominasi apakah yang harus dan tidak harus dilakukan. Dominasi media antara ciri-ciri pascamoden masyarakat dunia menjadikan Piala Dunia sebagai subjek konsumerisme.

Arak jenama Budweiser antara empat penaja utama Piala Dunia 2018
Rusia menjadi tuan rumah Piala Dunia 2018
Logo rasmi Piala Dunia 2018

Sosiologis terkemuka Perancis, Jean Baudrillard mengatakan, pada era pascamoden kehidupan sosial dan peribadi penduduk dunia bergantung kepada imej yang dipancarkan media. Mereka bertindak balas kepada imej yang dicipta bukannya sosok peribadi dan peristiwa manusia sebenar.

Dengan domonasi dan pengaruh media, gaya dan cara hidup penduduk dunia berubah hingga ke tahap yang tidak dapat dijangka, berbaur antara realiti dan fiksi. Akhirnya muncullah yang disebut hiper realiti di mana realiti dan fiksi tidak dapat dibezakan lagi. Dengan dominasi media juga kehidupan sosial bukan lagi diatur oleh realiti tetapi simulasi dari representasi imej yang diciptakan.

Piala Dunia dalam konteks pascamoden adalah simulasi hiper realiti yang diserap oleh sebahagian besar penduduk dunia termasuk kita. Piala Dunia dipergayakan sedemikian spektakular hingga yang menolaknya dianggap anti kemajuan dan kemodenan. Maka realiti sebahagian penduduk dunia tertindas dalam konflik dan pembunuhan tenggelam di sebalik hiper realiti Piala Dunia yang diperagakan media.

Sosiologis Itali, Umberto Eco dalam bukunya Faith in Fakes: Travels in Hyperreality (1986) menganggap sukan bola sepak khususnya dalam Piala Dunia sebagai antitesis kepada hiruk pikuk politik dunia yang penuh dengan penindasan dan pembunuhan. Peminat tegar Piala Dunia selesa berada dalam hiper realiti ciptaan neo-kapitalis yang penuh dengan keseronokan dan keterujaan.

Dijangka lebih 80 peratus daripada penduduk dunia akan terhala ke Rusia dan menonton Piala Dunia menerusi siaran TV. Dianggarkan lebih 37 bilion daripada mereka akan menonton perlawanan akhir yang menentukan pasukan juara. Statistik ini tentu sekali baik untuk memperagakan jenama yang menjadi penaja.

Temasya bola sepak ini sebenarnya idea neo-kapitalis negara-negara kuasa besar bagi meluaskan penguasaan ekonomi sekaligus ideologi. Dengan menguasai media, Piala Dunia digambarkan sebagai temasya yang mesti diraikan dan disertai, setidak-tidaknya memihak kepada satu-satu pasukan negara yang bertanding. Kemudian menjadi konsumer pada jenama yang disekutukan dengan kehebatan dan keunggulan.

Neo kapitalis ini mengaut kekayaan dengan memasarkan Piala Dunia yang penuh kecanduan itu ke seluruh dunia. Walaupun Rusia membelanjakan AS$12 bilion untuk temasya ini, tetapi pulangannya dijangka lebih AS$31 bilion. Ini belum lagi industri persisir yang menyumbang kepada pendapatan negara.

Sektor pelancongan Rusia misalnya meledak apabila semua hotel dari yang bertaraf paling murah hingga paling mewah di beberapa bandar raya yang menjadi lokasi perlawanan menaikkan kadar sewa beratus kali ganda.

Piala Dunia sebenarnya melampaui acara sukan. Kenyataan retorik bekas Presiden Persekutuan Bola sepak Antarabangsa (FIFA), Jules Rimet dalam tahun 1926 bahawa Piala Dunia wadah keamanan dunia adalah karut semata-mata.

Sebaliknya Piala Dunia menyemarakkan nasionalisme dan rasisme oleh negara peserta. Inilah medan menentukan siapa yang berkuasa lagi berpengaruh. Temasya ini juga agenda penting pasca Perang Dunia Kedua untuk negara-negara tertentu mempamerkan kekuatan, kebijaksanaan dan menguasai dunia.

Negara-negara kecil, tidak berpengaruh malah tidak terlibat sedikit pun dengan Piala Dunia seperti Malaysia hanya dibekalkan candu untuk menyambut dan merayakan temasya ini. Kemenangan pasukan negara yang menjadi pilihan memberikan keseronokan, kebanggaan dan kebahagiaan.

Piala Dunia kali ini bertepatan bulan perayaan Aidilfitri. Selama sebulan sepanjang Syawal, Piala Dunia akan mengisi setiap waktu. Sudah tentu topik perbualan dari warung teh tarik di kaki lima hingga restoran lima bintang berkisar tentang Piala Dunia.

Diharapkan Syawal tahun ini tidak hilang di sebalik gegak gempita Piala Dunia yang sudah pasti merampas banyak masa kita untuk bercakap dan berfikir tentang temasya ini. Berilah ruang kepada Syawal untuk dihayati dan amalan kunjung mengunjung tidak terhenti demi mengeratkan siratulrahim sama seagama.

Please follow and like us:

Author / Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *